10 Amalan Perubatan Pelik Dalam Sejarah

Sembang, ZAP, ZeKool

Dunia perubatan dah jadi semakin canggih dengan teknologi-teknologi baru. Bila alatan perubatan makin canggih ni, makin mudah nak rawat pesakit-pesakit dalam masa yang singkat. Kalau korang pergi hospital pun rasa yakin je dengan medical procedure yang dijalankan ke atas korang. Tapi dalam sejarah ketamadunan manusia, ada juga tau amalan-amalan perubatan yang boleh dikatakan pelik. So apa yang pelik sangat tentang amalan perubatan ni?

1. BLOODLETTING

Amalan perubatan yang berusia 4,000 tahun ini merupakan amalan di mana pesakit diminta untuk mengeluarkan darahnya bagi merawat sakit yang dihadapi. Kalau sakit kepala? Hiris tangan dan keluarkan darah daripada badan. Sakit perut? Sama lah juga keluarkan darah daripada badan. Amalan ini dipercayai dapat mengeluarkan darah kotor yang menyebabkan kita jatuh sakit atau badan rasa kurang sihat. Pada asalnya bloodletting diamalkan oleh tamadun kuno Egypt, tapi tidak menjadi amalan kebiasaan bagi merawat sakit sehingga lah tamadun klasik Rom dan Greece menjadikan ia common practice.

Sebenarnya amalan mengeluarkan darah kotor ni masih digunakan sehingga zaman sekarang, cuma bukan dengan cara menghiris tangan dengan pisau. Zaman sekarang kebiasaannya kita akan guna lintah atau bekam untuk mengeluarkan darah kotor dari dalam badan kita.

2. TERAPI MALARIA

Selalu orang nampak malaria ni sebagai satu penyakit. Tapi yang ni terbalik pula sebab ia dijadikan sebagai satu penawar kepada penyakit sifilis. Pada permulaan abad ke-20, pesakit yang disahkan menghidapi sifilis akan menjalani terapi malaria. Ia satu terapi di mana pesakit akan disuntik dengan virus malaria dengan tujuan menaikkan suhu badan. Dipercayai kenaikkan suhu badan daripada demam boleh membunuh kuman sifilis. Tetapi sekitar 15 peratus pesakit yang dirawat mati akibat malaria. Pesakit yang lain pula menunjukkan pemulihan pada tahap yang baik. Okay kot kalau nak cuba.

3. LOBOTOMY

Amalan perubatan ini tercipta pada awal abad ke-20. Antara penyakit yang selalu menggunakan procedure ni adalah penyakit yang berkaitan dengan kesihatan mental. Cara untuk menjalankan pembedahan lobotomy adalah dengan memasukkan alat seperti pencungkil ke bahagian otak melalui mata pesakit. Selepas itu alat tersebut akan diketuk menggunakan penukul. Walaupun tak ramai pesakit yang sembuh selepas dirawat menggunakan cara ni, sebanyak 50,000 prosedur lobotomy dijalankan di Amerika Syrikat sehingga ia dilarang pada tahun 1950-an.

4. MEROKOK

Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, semasa kesan buruk terhadap merokok belum ditemukan atau diterima secara meluas, rokok bukan sekadar untuk tujuan rekreasi, tetapi juga sebagai salah satu rawatan perubatan. Ia digunakan untuk merawat pelbagai penyakit, termasuk penyakit asma. Boleh dimaafkan lah sebab dulu diorang tak tahu bahayanya asap rokok ni. Tapi tak tahu lah pesakit asma waktu tu sembuh atau terus gone.

5. DIET CACING PITA

Semasa zaman Victoria, masyarakat pada waktu itu menghasilkan satu cara paling radikal untuk mengurangkan berat badan, iaitu dengan menggunakan cacing pita. Seseorang yang ingin mengurangkan berat badan akan memakan telur cacing pita dan bila telur ini menetas dan tumbuh dalam usus orang tersebut, ia akan makan apa sahaja yang orang tu makan. Jadi tak perlu bersusah payah untuk kawal pemakanan sebab akan ada makhluk dalam perut yang makan makanan berlebihan tu. Walaupun cacing pita di dalam usus sebenarnya  membahayakan kesihatan, namun amalan ini masih lagi dijalankan sehingga ke hari ini.

6. DUDUK DI DALAM BANGKAI IKAN PAUS

Semasa abad ke-19, rawatan yang menggunakan bangkai ikan paus diperkenalkan di Australia. Rawatan ini memerlukan pesakit untuk duduk di dalam bangkai ikan paus yang busuk selama 30 jam. Dipercayai rawatan ini mampu melegakan sakit sendi dan otot sehingga 12 bulan. Namun tiada bukti saintifik yang menunjukkan bangkai ikan paus mampu merawat sakit sendi. Tapi biasa lah orang ramai tetap ingin mencuba rawatan altenatif ini tanpa mengetahui manfaat sebenar. Sekadar nak cuba dan lihat sendiri.

7. UBAT DARI ORGAN MANUSIA

Selama beberapa ratus tahun sehingga lah sekitar tahun 1890-an, organ dalaman manusia yang diambil daripada mayat merupakan bahan dalam ubat yang biasa digunakan untuk sembuh dari pelbagai penyakit. Organ atau bahagian yang biasa digunakan untuk dijadikan ubat adalah seperti hati manusia, darah, lemak, tulang dan daging. Salah satu ubat yang paling popular pada waktu itu adalah mumia mesir yang diseludup. Sisa-sisa mumia biasanya dijadikan sebagai serbuk dan digunakan untuk merawat epilepsy, lebam dan pendarahan. Ada yang dare tak nak guna ubat ni?

8. HEROIN

Pada asalnya, heroin dicipta untuk menghasilkan satu ubat yang serupa dengan morfin tetapi kurang kuat dan kurang ketagihan berbanding morfin. Akhirnya, perkara sebaliknya pula yang terjadi. Heroin sebenarnya dua kali lebih kuat dari morfin dan menjadikan orang lebih cepat ketagih. Pada tahun 1998 hingga 1910, heroin merupakan bahan yang diletakkan di dalam ubat batuk sebagai pengganti morfin. Selain untuk merawat batuk, ia juga digunakan untuk merawat penyakit lain seperti sakit tulang belakang dan insomnia. Kalau dah menyebabkan ketagihan, dah tak jadi ubat lah heroin ni. Kita jauhi dadah okay guys.

9. MERKURI

Sekarang, kita banyak terbaca tentang bahayanya bahan merkuri terhadap kesihatan kita. Asap merkuri bukan sekadar mampu merosakkan organ dalaman seseorang, bahkan boleh membawa maut. Namun dalam sejarah manusia, merkuri digunakan sebagai satu bahan untuk kekal sihat. Selama beratus tahun, bahan kimia ini merupakan bahan utama dalam pelbagai produk kesihatan untuk merawat penyakit seperti sifilis dan influenza.

10. TERAPI AIR KENCING

Air kencing sering digunakan sebagai terapi satu ketika dahulu. Air kencing telah digunakan sebagai ubat dalam dunia perubatan dan juga dunia kecantikan dalam tamadun Rom, Cina, India dan Perancis dan merupakan teori dominan dalam budaya barat sehingga ke hari ini.  Ia banyak digunakan untuk tujuan pemutihan gigi, perlindungan kulit, penyembuhan jerawat, radang tekak dan juga patah tulang. Kalau untuk rawat bahagian dalaman, kena lah minum. Walaupun amalan ini menjadi amalan yang dikategorikan sebagai kuno, masih ada lagi orang yang mempercayai kebaikan yang ada pada air kencing. Tujuan kita kencing adalah untuk mengeluarkan sisa atau toksin yang kotor dalam badan. Rasanya kurang bijak kalau kita pergi minum balik air kencing tu atas tujuan perubatan.

KATALAKI: Mungkin amalan-amalan perubatan ni tak patut wujud dari awal…

Last modified: 27 May 2020