3 Cara Battle Permainan Beyblade

Sembang

Hari Raya tahun 2019 ni nampaknya permainan lama yang moden kini dah kembali menghantui ramai adik-adik iaitu Beyblade. Berapa ramai bladers yang tengah baca artikel ni? Berapa banyak dah Beyblade dalam koleksi korang?

Image Via : toysonfire.ca

Bagus gak sebenarnya adik-adik sekarang ni ramai yang minat dengan permainan Beyblade. Takde la menghadap smartphone sorang-sorang. Mungkin ada abang, abah atau pun pak cik yang tak berapa faham lagi macam mana cara sebenarnya nak main Beyblade ni. Mari kita kaji sikit!

Asal Usul Beyblade

Beyblade sebenarnya berasal dan dicipta oleh sebuah syarikat mainan kanak-kanak di Jepun iaitu Takara Tomy dan dipasarkan bermula Julai 1999. Beyblade juga diinspirasikan daripada sebuah manga bersiri di Jepun yang diberi nama Beyblade, ditayangkan pada September 1999.

Pada tahun 2002, Hasbro berjaya memperoleh lesen daripada Takara Tomy untuk mengeluarkan Beyblade tersendiri. Sekarang ni, pada tahun 2019, ada dua je pengeluar yang dibenarkan untuk jual Beyblade secara sah iaitiu Takara Tomy dan Hasbro.

Image Via : YouTube

Apa Yang Kena Ada Untuk Battle?

Kalau Beyblade dah tersedia, takkan nak simpan je, betul? Tiba lah masanya untuk battle, waktu penentuan untuk tengok Beyblade siapa yang lagi padu. Ini antara benda yang kena ada kalau nak battle.

Beystadium

Image Via : YouTube

Jangan main-main. Siap ada stadium. Dalam Beystadium ni la pertarungan Beyblade akan berlaku. Beyblade akan bertembung sesama sendiri untuk berentap dan menentukan Beyblade siapa yang paling kukuh dan paling lama berputar.

Image Via : YouTube

Ada macam-macam jenis Beystadium. Setiap Beystadium, ada bentuk yang tersendiri. Kalau takde Beystadium, kuali nenek kat dapur pun jadi.

Beylauncher

Image Via : YouTube

Lebih mudah dan pusingan Beyblade lebih padu kalau gunakan Beylauncher. Kalau yang jenis kena tarik tu, hati-hati. Pastikan kat belakang takde orang. Kang tak pasal-pasal makan siku.

Beyblade

Image Via : YouTube

Beyblade nampak je macam sama semuanya. Tapi sebenarnya ada beberapa jenis Beyblade yang mempunyai kelebihan tersendiri. Kelebihan untuk setiap jenis Beyblade tersebut bergantung kepada 4 ciri-ciri ni antaranya serangan, stamina, pertahanan dan kestabilan.

Cara Nak Battle

Ada 3 cara untuk menentukan Beyblade mana yang menang dalam setiap battle antaranya Ring Out Finish, Survivor Finish dan Burst Finish.

Ring Out Finish

Salah satu Beyblade tercampak keluar dari Beystadium. Beyblade yang kekal di dalam Beystadium dikira pemenang.

Survivor Finish

Salah satu Beyblade berhenti berputar di dalam Beystadium. Beyblade yang masih lagi kekal berputar, dikira pemenang.

Burst Finish

Salah satu Beyblade berkecai selepas bertembung sesama sendiri dalam Beystadium. Beyblade yang masih lagi kukuh, dikira pemenang.

KATALAKI: Yang tak faham lagi pasal Beyblade ni korang boleh suakan artikel ni kat dorang okeh!

Last modified: 8 June 2019