4 App Popular China Yang Kena Banned Di India

Gadget, Tech, ZAP, ZeKool

Secara rasmi, India dah pun menghalang atau banned aplikasi yang kini semakin popular di seluruh dunia iaitu TikTok daripada digunakan di India. Kalau korang pernah mengembara dalam aplikasi TikTok, mesti korang sedar yang pengguna TikTok dari India antara pengguna yang paling kreatif menghasilkan video TikTok untuk tatapan umum. Walaupun tak mempunyai alatan yang canggih, tapi video-video TikTok dari India tak pernah gagal menghiburkan kita semua.

Keputusan kerajaan India mengharamkan aplikasi TikTok di India bukan semata-mata sebab tak nak rakyat India menghabiskan masa asyik bertiktok, tapi ada berkait juga dengan isu keselamatan negara India dan China yang baru-baru ni hampir mencetuskan peperangan. Selain daripada TikTok, ini antara aplikasi popular lain yang berasal dari China, juga diharamkan daripada digunakan di India.

WECHAT

WeChat bukan lah aplikasi yang popular di India kalau nak dibandingkan dengan Whatsapp. Pengguna di India masih lagi mempunyai beberapa pilihan aplikasi lain yang boleh digunakan sebagai alat perhubungan di alam maya selain WeChat antaranya Hike, Zingr, Telegram dan banyak lagi. Nampaknya, selepas WeChat diharamkan di India, China lah yang rugi.

MOBILE LEGENDS

India juga tak terkecuali daripada melahirkan bakat-bakat muda yang pakar dalam bidang permainan video. Yang pasti, ada rakyat India yang kecewa dengan keputusan kerajaan mengharamkan Mobile Legends di India memandangkan bidang e-sports semakin mula diterima ramai di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, majoriti penduduk di India lebih gemar bermain permainan video yang lebih mudah di smartphone antaranya Candy Crush, Temple Run dan sebagainya berbanding Mobile Legends yang memerlukan pemain bermain secara taktikal.

UC BROWSER

Aplikasi UC Browser merupakan salah satu aplikasi web browser paling popular di India, jauh meninggalkan populariti Mozilla Firefox, Google Chrome dan Safari. Antara kelebihan yang dimiliki oleh aplikasi UC Browser sehingga popular di India termasuk lah menjimatkan penggunaan data, boleh memuat turun video dan mudah digunakan oleh pengguna Android. Ada kawasan di India yang tak mempunyai kelajuan internet yang mencukupi, sebab tu UC Browser yang menjadi pilihan.

BIGO LIVE

Kalau melibatkan aplikasi video-streaming, Bigo Live adalah salah satu aplikasi yang popular di India, di belakang TikTok. TikTok masih lagi aplikasi paling popular di India sebelum diharamkan. Tapi berbeza dengan TikTok, ada gak pengguna di India yang menggunakan aplikasi Bigo Live untuk mencari duit sampingan dengan mengadakan sesi live. Kat mana-mana negara pun macam tu kan. Tapi dengan pengharaman Bigo Live di India, semakin berkurang lah peluang penduduk India mencari duit tambahan di alam maya.

Selain daripada aplikasi yang disenaraikan kat atas ni, secara keseluruhan sebanyak 59 aplikasi dari China diharamkan di India dan akan dibuang daripada simpanan Google Play Store dan App Store. Tapi India tak perlu nak risau sangat rasanya. Ada je aplikasi popular di India yang dibangunkan oleh syarikat yang berasal dari India. India pun terkenal sebagai salah satu negara yang dipenuhi dengan rakyat bijaksana dalam bidang teknologi.

KATALAKI: Lepas ni boleh lah India cipta satu aplikasi baru yang seakan-akan TikTok untuk digunakan oleh penduduk India. Mesti boleh popular gak.

Last modified: 7 July 2020