4 Benda Tak Normal Selepas PKP

Sembang

Perkataan normal bermaksud perkara atau aturan yang biasa berlaku. Kalau ada sesuatu yang lain daripada kebiasaan berlaku, contohnya Pak Salleh pertama kali keluar rumah dengan memakai seluar jeans, Pak Salleh akan dianggap tidak normal. Tapi, tak normal bukan bermakna salah, cuma sesuatu yang lain daripada kebiasaan.

Jadi, memandangkan kita sebagai rakyat Malaysia yang hampir selesai menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac 2020, sepatutnya dah bersedia dengan perkara tak normal yang patut kita amalkan atau juga digelar sebagai Normal Baharu untuk mengelakkan daripada tercetusnya gelombang baru wabak COVID-19.

Banyak sebenarnya normal baharu yang patut menjadi kebiasaan kepada kita merangkumi cara bekerja, pulang ke rumah, bersosial dan bermacam-macam lagi. Kali ni, kami nak kongsikan mengenai 4 perkara yang memang langsung tak normal kepada kita, tapi kita tetap kena amalkan demi kesejahteraan manusia sejagat, terutama sekali keluarga kita. Dalam masa yang sama, kami akan kongsikan gak beberapa normal baharu yang lain.

STADIUM KEKAL KOSONG

Untuk mengelakkan manusia berkumpul beramai-beramai selepas dunia baru je berperang teruk dengan wabak COVID-19, sebarang perlawanan sukan termasuk bola sepak mungkin tidak akan mempunyai penyokong di dalam stadium untuk jangka masa yang lama. Perlawanan akan berlangsung secara indoor dan Esports pula dijangka akan lebih popular.

NOT EVERYONE CAN FLY

Simpan dulu angan-angan kita untuk pergi bercuti selepas dikurung dalam rumah lebih daripada sebulan sebab peraturan untuk bergerak merentasi antarabangsa diperketatkan. Setiap syarikat penerbangan juga menyediakan SOP terbaru yang perlu dipatuh oleh setiap penumpang untuk mengamalkan normal baharu ketika sebelum, semasa dan selepas berada di lapangan terbang

GENERASI DIGITAL

Pendedahan mengenai teknologi dan digital yang diterima lebih awal membuatkan kita lebih bersedia dengan cara hidup yang perlu diteruskan secara digital sama ada bekerja, memberi barang keperluan dan kekal berhubung dengan keluarga yang jauh selepas wabak COVID-19 melanda dunia. Cara hidup digital menerusi pekerjaan, pembelajaran atau pembelian tetap akan menjadi penyelamat kepada manusia untuk jangka masa yang lama bagi memastikan penularan wabak COVID-19 tidak berulang. Jadi, kalau kat rumah korang tu belum lagi mempunyai akses internet yang stabil, kena cari jalan penyelesaian dengan cepat. Internet penting sekarang ni.

BUANG BUDAYA PENGOTOR

Selain daripada terus mengamalkan gaya hidup penjarakan sosial atau social distancing, kita juga perlu mengamalkan cara hidup yang lebih bersih lepas ni. Kerap mencuci tangan dengan sabun dan sentiasa menggunakan hand sanitizer sama ada di rumah atau di tempat kerja antara cara terbaik untuk melawan wabak COVID-19. 

KATALAKI: Sekarang ni lah masa untuk kita sentiasa mengingatkan diri sendiri mengenai amalan gaya hidup normal baharu, terutama sekali social distancing, demi menjaga kesihatan.

Last modified: 2 May 2020