4 Drama Meletup Netflix Sebenarnya Diadaptasi Daripada Buku

Sembang

Netflix bukan je terkenal dengan koleksi drama dan filem yang berlambak dan boleh ditonton setiap masa, di mana sahaja, tapi salah satu kekuatan yang dimiliki oleh Netflix yang bersaing dengan jenama-jenama besar yang lain adalah menerusi karya asli yang dihasilkan oleh Netflix sendiri, dikenali sebagai Netflix Originals.

Menerusi Netflix Originals, beberapa filem atau drama yang ditampilkan sebenarnya diambil atau diadaptasikan daripada kisah yang diceritakan dalam sebuah buku, pernah dipasarkan di seluruh dunia untuk bacaan orang ramai. Kebiasaannya, ada yang tengok filem atau drama tersebut dulu, lepas tu baru menggelupur nak cari yang versi buku. Jadi, ini antara drama-drama popular kat Netflix yang mungkin korang dah pernah tengok sebelum ni, yang sebenarnya diadaptasikan daripada sebuah buku atau novel.

YOU

Buku bertajuk You kali pertama diterbitkan pada tahun 2014 yang ditulis oleh Caroline Kepnes menceritakan mengenai seorang wanita, Guinevere Beck yang berkenalan dengan seorang lelaki idaman yang ditunggu-tunggu, Joe Goldberg, namun bertukar menjadi tragedi apabila lelaki tersebut terlalu obses dengan dirinya sehingga menceroboh privasi dan mengancam keselamatan.

Pada awalnya, musim pertama drama bersiri You ditayangkan di siaran Lifetime di Amerika Syarikat pada tahun 2018 sebelum dibawa masuk ke dalam Netflix pada tahun yang sama. Selepas kejayaan musim pertama, Netflix akhirnya berjaya memperoleh hak eksklusif untuk menerbitkan dan menayangkan drama bersiri You musim kedua di Netflix pada tahun 2019. Ditonton oleh lebih daripada 54 juta pengguna Netflix untuk musim kedua, drama bersiri You untuk musim ketiga dijangka akan mula ditayangkan pada tahun 2021 nanti.

ORANGE IS THE NEW BLACK

Salah satu drama bersiri yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan Netflix di peringkat awal, Orange Is the New Black merupakan kisah yang diadaptasikan daripada sebuah novel bertajuk Orange Is the New Black: My Year in a Women’s Prison yang diterbitkan pada tahun 2010, ditulis oleh Piper Kerman. Drama bersiri Orange Is the New Black mengisahkan tentang pengalaman Piper Kerman sendiri yang pernah dicampak ke dalam 3 buah penjara wanita selama 13 bulan atas kesalahan pengubahan wang haram dan penyeludupan dadah yang berlaku sekitar tahun 1993 sebelum disiasat oleh pihak berkuasa pada tahun 1998 dan dijatuhkan hukuman pada tahun 2004.

Mula ditayangkan di Netflix pada tahun 2013 dan berlanjutan sehingga tahun 2019 selama 7 musim, watak Piper Kerman dipegang oleh Taylor Schilling yang sebelum ni pernah terlibat dalam filem Argo bersama Ben Affleck dan filem The Lucky One bersama Zac Efron pada tahun 2012. Taylor Schilling dah pernah menang 8 anugerah menerusi watak yang dipegang dalam drama bersiri Orange Is the New Black dan pernah gak tercalon sebanyak 2 kali di Golden Globe Awards.

THE HAUNTING OF HILL HOUSE

Diadaptasikan daripada sebuah buku yang diterbitkan pada tahun 1959 menggunakan tajuk yang sama, The Haunting of Hill House merupakan kisah seram yang menceritakan mengenai sebuah rumah agam dikenali sebagai Hill House yang terletak di celah-celah bukit dan dah tentu sekali berhantu, melibatkan 4 orang individu yang diganggu di dalam rumah tersebut pada waktu malam terdiri daripada seorang penyiasat alam mistik, dua orang wanita yang pernah mengalami pengalaman mistik dan seorang waris kepada Hill House.

Walaupun drama bersiri The Haunting of Hill House yang ditayangkan di Netflix pada tahun 2018 bukan diadaptasikan sepenuhnya daripada versi buku yang mempunyai jalan cerita dan watak yang berbeza, tapi drama bersiri The Haunting of Hill House tetap berjaya memuaskan hati penonton, sehingga pernah dipuji oleh salah seorang pakar penulis kisah seram, Stephen King.

13 REASONS WHY

Sebelum drama bersiri 13 Reasons Why meletup di Netflix, novel bertajuk Thirteen Reason Why yang diterbitkan pada tahun 2007 pernah menang beberapa anugerah di Amerika Syarikat dan merupakan salah satu novel paling laris dijual pada tahun 2011. Ditulis oleh Jay Asher, novel Thirteen Reason Why menceritakan mengenai seorang gadis yang meninggalkan beberapa pita rakaman kepada seorang rakan sekelas, menerangkan dengan mendalam punca dan sebab kenapa gadis tersebut membunuh diri.

Drama bersiri 13 Reasons Why yang mula ditayangkan pada tahun 2017 sehingga tahun 2020 bukan je bertujuan untuk menghiburkan dan memuaskan hati penonton-penonton Netflix, tapi turut dipenuhi dengan beberapa isu besar yang mempengaruhi perjalanan hidup seorang remaja antaranya bunuh diri, buli, penderaan seksual, perkauman, penyalahgunaan dadah dan bermacam-macam lagi isu yang pernah membelenggu setiap remaja di dunia. Penyanyi terkenal, Selena Gomez merupakan salah seorang penerbit eksekutif yang bekerja di sebalik tabir untuk menghasilkan drama bersiri 13 Reasons Why di Netflix.

KATALAKI: Kalau korang rasa versi drama dah cukup best, try layan yang versi buku. 

Last modified: 10 July 2020