5 Hutan Paling Tua Di Dunia

Sembang, ZAP

Kalau ditanya dekat kawan-kawan kita apakah hutan paling tua di dunia, mesti rata-rata akan jawab hutan Amazon. Mungkin sebab nama hutan Amazon ni terlalu popular sampaikan hutan di Malaysia yang lebih tua daripada hutan Amazon pun ramai yang tak tahu. Mesti ramai tak tahu kan? Dah selalu sangat kita dengar nama hutan Amazon ni, so kali ni aku bawa korang menjelajah ke hutan-hutan lain pula yang telah pun dikategorikan paling tua di dunia. Dia punya paling tua tu siap ada yang sezaman dengan zaman dinosaur. Jom tengok dekat mana hutan-hutan ni.

5. REUNION NATIONAL FOREST, MADAGASCAR

Hutan ini terbentuk di atas sebuah pulau sekitar 2.5 juta tahun dahulu. Mengikut kajian, pulau tersebut terhasil daripada aktiviti gunung berapi, dan hutan yang ada sekarang adalah antara hutan tertua yang tidak disentuh oleh manusia. Walaupun ada hutan yang lebih tua daripada hutan ini, keindahan hutan ini tidak dapat dibandingkan dengan tempat lain di dunia. Pulau ini sekarang berada di bawah pemerintahan kerajaan Perancis walaupun ianya berada berhampiran dengan benua Afrika. 

4. HUTAN HUJAN AMAZON, AMERIKA SELATAN

Hutan Hujan Amazon adalah salah satu hutan yang paling menggagumkan di dunia. Tapi dikatakan masih lagi menjadi tempat yang sukar untuk dilawati kerana tiadanya jalan yang terbina untuk menjelajah ke hutan itu. Jadi cara terbaik untuk melawat dan mengembara ke dalam hutan Amazon adalah dengan menaiki bot ataupun pesawat ringan. Dikatakan masih ramai orang asli yang masih tinggal di Amazon. Ini menjadikan ia salah satu tempat di Bumi yang masih belum ditakluki oleh kemodenan dunia sekarang.

Orang asli di dalam Amazon masih lagi hidup dengan mengamalkan cara hidup yang sama beribu tahun dahulu. Dikatakan juga beberapa kaum orang asli di situ sehingga kini masih belum ditemui lagi oleh siapa-siapa. Orang luar pula ramai yang berkunjung ke Amazon untuk mencari penawar semula jadi, atau apa yang disebut sebagai ‘plant medical’ yang digunakan sendiri oleh penduduk asal Amazon. Selain itu, hutan Amazon juga sering dikaitkan dengan sejarah-sejarah mistik seperti ketamadunan atau peradaban yang hilang di Amazon (Lost City of Z). Walaupun menjadi hutan keempat tertua di dunia, ia tetap menjadi hutan terbesar di dunia.

3. TAMAN NEGARA, MALAYSIA

Ini lah hutan hujan kebanggaan rakyat Malaysia, iaitu Hutan Hujan Taman Negara yang dianggarkan berusia sekitar 130 juta tahun. Ia merupakan antara hutan yang paling dikenali sebagai hutan yang paling tua di dunia serta hutan hujan yang tertua sekali. Taman Negara telah berdiri begitu lama di muka Bumi ini, sama zaman dengan zaman dinosaur. Jadi boleh dikatakan apa yang kita lihat sekarang adalah sama dengan apa yang haiwan zaman dinosaur lihat satu ketika dahulu.

Bila difikirkan, agak menarik dan beruntung juga rakyat Malaysia kerana berpeluang melihat sendiri hutan hujan yang telah wujud pada zaman prehistoric ni. Fakta menarik tentang Hutan Hujan Taman Negara adalah ia merangkumi tiga negeri di Malaysia, iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu. Setiap negeri ini pula memiliki kawasan ‘Taman Negara’ yang tersendiri. Satu lagi fakta menarik, hutan ini tidak pernah diusik oleh sebarang bencana alam pun dan ia masih mengekalkan rupa yang sama dari berjuta tahun dahulu. So siapa yang belum pernah menjelajah Taman Negara boleh lah pergi ke situ lepas ni.

2. HUTAN HUJAN PAMAH BORNEO, INDONESIA

Hutan yang berada berhampiran dengan Sabah dan Sarawak ini direkodkan berada di Bumi sekitar 140 juta tahun dahulu. Kira lama sikit je lah daripada Hutan Hujan Taman Negara. Ia merupakan rumah kepada lebih daripada 600 spesies burung dan 10 spesies monyet. Dikatakan hutan ini semakin hari semakin mengecil akibat daripada pelbagai aktiviti seperti penebangan hutan, perubahan iklim, perlombongan serta pencerobohan spesies asing. Akibatnya, ramai orang berebut-rebut untuk melihat sendiri hutan tertua di dunia ini sebelum ianya betul-betul lenyap. Tapi yang ramai-ramai datang tu mesti group pencinta alam sekitar. 

1. HUTAN HUJAN DAINTREE, AUSTRALIA

Ini lah yang dikatakan sebagai hutan paling tua di dunia. Hutan Hujan Daintree yang terletak di Australia ini telah wujud sejak zaman prasejarah, iaitu sekitar 100 hingga 180 juta tahun dahulu. Negara Australia juga dikatakan lambat ditemui oleh orang Eropah, iaitu pada tahun 1600-an baru ia ditemui. Mungkin sebab kedudukan geografinya membuatkan ia lambat ditemui. Hutan ini dikatakan mengandungi lebih 12,000 spesies serangga serta 3,000 spesies tumbuhan yang jarang ditemui dan dikategorikan sebagai spesies terancam. Mungkin juga ini antara sebab kenapa Australia terkenal dengan jenis-jenis serangga atau haiwan yang berbisa. Walau bagaimanapun, ia tetap menjadi salah satu daya tarikan bagi pelancong luar. 

KATALAKI: Sekarang korang dah boleh melawat salah satu hutan tertua di dunia. Dekat Malaysia je bro!

Last modified: 28 July 2020