5 Kereta Malaysia Paling Berjaya Dalam Sejarah

Motorsports, Sembang, ZAP

Bagi kaum lelaki, kereta merupakan satu kemahuan dan juga keperluan dalam hidup bila dah memasuki alam pekerjaan. Kalau jenis yang berduit atau ikut trend tu mesti lah terus bawa keluar kereta jenama luar macam Honda ataupun Toyota. Tapi kalau jenis marhaen macam kita ni biasanya akan usha kereta buatan tempatan sebagai kereta pertama. Walaupun pelagai kecaman yang diterima oleh pengeluar kereta tempatan, antara Proton dan Perodua, ternyata kereta tempatan tetap menjadi salah satu pilihan bila kita nak beli kereta.

Kali ni aku akan share 5 kereta tempatan yang boleh dikira sebagai berjaya di Malaysia yang pernah dikongsi oleh Youtuber automotif Nazz Abdullah. Kegagalan dan kejayaan sesuatu kereta adalah bergantung kepada hasil jualan vs target jualan pada awal pengeluarannya. So jom tengok ada tak antara lima ni yang korang teka betul.

5. PERODUA AXIA

Kereta jenis compact yang menjadi rebutan buat mereka yang kerja di bandar. Antara sebabnya adalah jimat minyak yang amat sangat. Satu liter minyak pada kereta ni boleh pergi sehingga 21 kilometer. Perodua Axia mula diperkenalkan pada tahun 2014, dan tahun ni dah mencecah usia 6 tahun. Anggaran angka jualan bagi Perodua Axia sudah pun mencecah lebih setengah juta unit dengan purata jualan sebanyak 6,000 unit sebulan. Kereta ini juga sebenarnya sebagai penganti kepada Perodua Viva. Kereta Perodua Axia juga pernah memenangi anugerah Compact Car Of The Year pada tahun 2017. Bagi aku kereta ni memang sesuai untuk buat ulak-alik pergi kerja.

4. PROTON SAGA

Bagi yang membesar pada tahun 1985 pasti ingat lagi semasa pelancaran kereta nasional pertama iaitu Proton Saga. Sesuatu yang hebat juga yang dilakukan oleh Mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu dimana hanya negara-negara besar je yang mampu untuk mewujudkan industri automotif nasional. Memang menjadi kebanggaan buat rakyat Malaysia semasa Proton Saga dilancarkan dan menjadi antara kereta rebutan ketika itu. Proton Saga generasi pertama merupakan sebuah model yang dihasilkan dengan kerjasama Mitsubishi. Model pertama kereta ini tidak terhad di Malaysia sahaja, tetapi mula dijual juga di United Kingdom pada tahun 1989. Proton Saga merupakan kereta nasional yang paling lama bertahan di pasaran, iaitu selama 21 tahun (1986 – 2007).

3. PERODUA KANCIL

Boleh dianggap sebagai kereta nasional kedua buat Malaysia. Perodua Kancil mula dilancarkan pada tahun 1994 dengan kerjasama dengan Daihatsu. Perodua Kacil antara kereta yang famous juga atas jalan raya sekitar tahun 2000. Ia juga merupakan kereta compact pertama pengeluaran syarikat automotif tempatan. Pada tahun ia dilancarkan, kira tahun tu negara sedang mengalami krisis ekonomi. Jadi pengeluaran Perodua Kancil sememangnya tepat kerana mampu dibeli oleh golongan pertengahan dengan harga bermula RM29,000. Perodua Kancil juga antara kereta tempatan yang lama berada di pasaran, iaitu dari tahun 1994 sehingga 2009. Dalam tempoh 15 tahun itu dianggarkan lebih 700 ribu unit berjaya dijual. Not bad kancil.

2. PROTON WIRA

Satu lagi model kereta keluaran Proton. Selepas kejayaan hasil jualan Proton Saga, pada tahun 1993 Proton sekali lagi memperkenalkan model keduanya iaitu Proton Wira. Kalau korang nak tahu Proton Wira dikenali dengan nama Persona di United Kingdom dan juga Australia. Proton Wira dihasilkan berdasarkan model Mitsubishi Lancer generasi keempat. Dalam masa 3 tahun dari tahun 1996 sehingga 1998, Proton Wira berjaya dijual sebanyak 220 ribu unit.

Proton Wira bertahan di pasaran selama 13 tahun (1993 – 2006) sebelum digantikan dengan Proton Persona. Ia juga merupakan model Proton yang mempunyai paling banyak variant dan menjadi model asal bagi model Proton yang lain seperti Proton Putra, Proton Arena dan Proton Satria. Tambahan lagi, Proton Wira merupakan model paling banyak dieksport ke luar negara iaitu lebih dari tujuh buah negara di Asia serta di rantau Austalia, Afrika, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Latin. Betul-betul wira negara.

1. PERODUA MYVI

Ini lah kereta yang paling banyak di atas jalan raya dan yang paling banyak buat hal seperti masuk ke sawah padi dan terbang ke gerai buah. Memang tak dapat dinafikan Perodua Myvi merupakan model yang paling laris dipasaran sejak ia dilancarkan pada tahun 2005. Hasil jualan juga telah melebihi 1 juta unit dari mula ia diperkenalkan. Perodua Myvi  berjaya bergelar The Most Selling Car Of The Year selama lapan tahun berturut-turut dari tahun 2006 sehingga 2013. Owner kedai Perodua memang masyuk masa ni.

Rahsia Perodua Myvi menjadi kereta paling laris mungkin disebabkan ia diperkenalkan pada masa yang tepat, iaitu ketika model kereta Proton mula mendapat complain daripada orang ramai dan juga pengeluaran model Proton yang kurang berjaya seperti Proton Juara dan Proton Arena. Apa-apa pun, Perodua Myvi merupakan kereta nasional yang paling banyak dijual sepanjang zaman.

KATALAKI: Kereta nasional mana yang menjadi pilihan dan idaman korang?

Last modified: 27 May 2020