5 Nasib Marvel Cinematic Universe Tanpa Spider-Man?

Sembang

Nampaknya sarang labah-labah Spider-Man tidak akan bertahan lama dalam dunia Marvel Cinematic Universe. Selepas Sony dan Marvel Studios berjaya menerbitkan dua filem solo Spider-Man yang dibintangi Tom Holland, kecoh dan hangat diperkatakan pula apabila Sony dan Disney tiada kata sepakat untuk hakcipta Spider-Man. Susulan itu, Sony dikatakan akan mengambil semula hakcipta dan kebenaran watak Peter Parker dan Marvel Studios serta Disney tidak lagi dibenarkan untuk memasukkan Spider-Man didalam filem-filem Marvel Cinematic Universe.

Kali ini Thelaki nak share sedikit kronologi dan apa yang korang harus tahu tentang masa depan Marvel Cinematic Universe tanpa Spider-Man.

DUA KALI MARVEL HILANG SPIDER-MAN!

Pada sekitar tahun 1990an, ia merupakan tahun yang sukar buat Marvel Comics apabila mereka harus menjual hakcipta watak siri popular mereka, Spider-Man yang dijual kepada Sony dan X-Men serta Fantastic Four dijual kepada Fox. Sony mengambil peluang dengan menerbitkan trilogi gah Spider-Men mereka yang dibintangi oleh Tobey Maguire. Tetapi siri Spider-Man dibawah Sony mula jatuh apabila Sony menukar watak lakonan hero labah-labah popular kepada pelakon baru; Andrew Garfield. Filem yang dibintangi Garfield tidak mendapat kutipan seperti yang dijangkakan.

Pada tahun 2008, pencaturan Marvel Studios membuahkan hasil apabila filem pertama Iron-Man mendapat sambutan. Dari situ Disney mula menjalankan tugas dengan membantu mengembangkan lagi Marvel Cinematic Universe dengan melahirkan lebih banyak filem dan watak-watak seperti Avengers, Guardians of the Galaxy, Black Panther, Captain Marvel & ramai lagi.

Walaupun Marvel Cinematic Universe sudah berkembang dengan jayanya. Marvel Studios masih lagi tidak lengkap tanpa kehadiran Spider-Man. Ketua Marvel Studios, Kevin Feige yakin yang mereka mampu mengambil semula hakcipta watak Spider-Man pada tahun 2015 dengan membuat perjanjian dimana Marvel Studios ingin membantu Sony menerbitkan reboot siri Spider-Man jika Marvel Studios diberikan kebenaran untuk mengunakan Spidey didalam siri filem Marvel Studios. Tapi Sony masih lagi memegang hak untuk watak-watak siri Spider-Men yang lain seperti Venom dan menerbitkan filem-filem dari dunia komik Spider-Man tanpa pertolongan Marvel Studios.

Selepas perjanjian tersebut, kita dapat lihat kehadiran Peter Parker didalam siri filem Avengers. Disini bermulanya hubungan rapat mentor & mantee antara Tony Stark dan Peter Parker. X-Men dan Fantastic Four juga kembali dibawah bumbung Marvel Studios apabila Disney membeli 21st Century Fox. Ini membolehkan Kevin Feige serta krew Marvel Studios untuk mencipta apa-apa cerita dengan mana-mana watak dari dunia komik Marvel.

Namun selepas kes hakcipta antara Sony & Marvel Studios berlanjutan, nampaknya kelihatan seperti Marvel Cinematic Universe kembali sekali lagi tanpa Spider-Man. Kevin Feige juga dengan jelas tidak mengumumkan filem ketiga Spider-Man di Comic-Con pada July 2019.

SPIDEY LEBIH POPULAR

Antara banyak-banyak superhero dalam Marvel Cinematic Universe, Spider-Man adalah watak yang boleh dikatakan relatable dengan manusia biasa kalau nak dibandingan dengan Thor yang merupakan daripada dunia lain dan Tony Stark yang merupakan jutawan playboy. Spider-Man juga antara watak komik superhero yang lebih popular antara superhero yang lain. Jadi ini adalah antara sebab kenapa Marvel Studios betul-betul nakkan hakcipta untuk Spider-Man.

Spider-Man juga adalah ahli yang paling muda dalam team Avengers, maka Spider-Man mampu memberikan masa depan yang cerah untuk francais tersebut jika salah satu antara superhero team Avengers bersara atau meninggalkan siri tersebut. Keseluruhan plot daripada Spider-Man: Far From Home fokus kepada Peter Parker yang mewarisi tanggungjawab yang diberikan oleh Iron Man.

AVENGERS LAIN GANTI TONY STARK

Selepas banyak watak-watak superhero yang kita suka dalam Avengers: Endgame diperlihatkan seperti menamatkan jalan cerita masing-masing seperti kematian Iron Man dan Black Widow, Captian America bersara dan memberikan tanggungjawabnya kepada Sam Wilson serta Thor yang ke angkasa bersama team Avengers.

Ramai fans beranggapan dengan kemunculan Spider-Man dalam siri Avengers, Spider-Man akan kekal terus dalam group tersebut. Dalam hal ini, fan theory ini menjadi kuat kerana dalam filem Spider-Man: Far From Home (filem kesinambungan pertama selepas Avengers: Endgame), Spider-Man kelihatan seperti akan mengantikan Iron Man dalam team Avengers.

Jika Disney berterusan gagal untuk mendapatkan hak sepenuhnya buat Spider-Man, ianya juga masih lagi tidak jelas bagaimana watak-watak lain dalam Marvel Cinematic Universe berhadapan dengan kehilangan Spider-Man.

Tetapi jangan pula kita lupa tentang watak-watak superhero lain yang masih lagi wujud seperti Captain America terbaharu versi Sam Wilson, Captain Marvel, Black Panther, Doctor Strange serta Ant-Man dan Wasp. Tak lupa watak superhero terbaharu yang bakal muncul dengan filem solo mereka juga seperti Eternals dan Shang-Chi. Watak-watak ini kelihatan masih lagi berpeluang untuk mengantikan Iron Man dalam team Avengers. Pada aku, nampak macam Black Panther ada peluang yang besar disebabkan teknologi yang beliau cipta dengan bantuan geng-geng dari Wakanda.

HILANG SARANG SPIDER-MAN

Dalam dua filem solo; Spider-Man: Homecoming dan Spider-Man: Far From Home, kedua filem ini banyak meninggalkan persoalan-persoalan yang mungkin tak terjawab apa yang akan terjadi sekiranya Spider-Man hilang daripada Marvel Cinematic Universe.

Spider-Man: Homecoming juga ada memberi hint tentang Miles Morales, remaja half-black + half-Puerto Rican yang digigit oleh labah-labah radioactive lalu mendapat kuasa Spider-Man dalam filem Spider-Man: Into the Spider-Verse. Tak percaya? Ada, perasan tak ada kemunculan Donald Glover aka Childish Gambino, watak beliau dalam tu merupakan ‘Uncle Aaron” yang juga merupakan pak cik saudara kepada Miles Morales.

Banyak juga plot-plot yang tergantung dalam dua filem solo Spider-Man, seperti geng supervillain Sinister Six dan dalam Far From Home, juga kita ditinggalkan dengan Mysterio yang berjaya mendedahkan identiti sebenar Peter Parker sebagai Spider-Man. Kalau Sony ingin meneruskan filem-filem Spider-Man tanpa bantuan Disney, maka kita juga akan kehilangan Nick Fury dan juga watak Happy Hogan disebabkan watak-watak ini dimiliki oleh Disney.

SPIDERVERSE VS MCU

Selepas kejayaan Sony apabila berjaya meraih kutipan box office sebanyak $856 juta daripada filem antihero Venom yang diambil daripada jalan cerita siri Spider-Man yang dilakonan oleh Tom Hardy. Dengan kejayaan filem Venom, Sony dikatakan bakal mengeluarkan lebih banyak lagi filem antihero; seperti Jared Leto yang akan membintangi filem Morbius; watak villian-vampire yang diambil daripada komik Spider-Man. Penerbit filem Venom, Amy Pascal juga ada mengatakan yang Sony sudah mengambil langkah antaranya mengeluarkan filem solo antihero Sinister Six; 6 watak supervillian daripada siri Spider-Man.

Selain filem-filem antihero yang bakal dikeluarkan oleh Sony. Tidak lupa juga yang filem Spider-Man: Into the Spiderverse; filem animated yang memenangi anugerah Oscar untuk Best Animated Picture. Dalam filem Spiderverse ini, kita dapat lihat lebih banyak versi-versi Spider-Man seperti Spider-Gwen, Spider-Ham, Spider-Man Noir. Watak-watak daripada filem Spiderverse ini juga dilaporkan berkemungkinan besar akan mempunyai filem spinoff mereka sendiri.

Nampaknya Sony cuba untuk mengembangkan lagi sarang Spiderverse mereka sebesar Marvel Cinematic Universe.   

Untuk aku, aku masih lagi menunggu filem Spider-Man versi Jepun pula. Kalau ada Spider-Man versi Jepun, confirm gempak!

KATALAKI: MCU tanpa spiderman seperti <isi tempat kosong>… 

Last modified: 25 August 2019