5 Rakyat Malaysia Yang Berjaya ‘Tawan Dunia’

Sembang, ZAP, ZeKool

Masih teringat lagi lagu ‘Standing in the eyes of the world’ nyanyian ratu rock negara, Ella, yang mengambarkan betapa hebatnya rakyat Malaysia di mata dunia. Memang dah menjadi sebahagian daripada harapan kita juga sebenarnya untuk meletakkan Malaysia di peta dunia, biar orang luar kenal dengan negara Malaysia. Tapi tugas itu bukan lah mudah, dan mereka yang berjaya mengharumkan nama negara layak digelar wira negara. So kali ini Thelaki akan share lima orang rakyat Malaysia yang satu ketika dahulu pernah ‘tawan’ dunia sehingga nama Malaysia menjadi perhatian dunia.

MAGENDRAN DAN N. MOHANDAS

Tahun 1997 dunia menyaksikan bahawa negara kecil seperti Malaysia juga mampu untuk menawan puncak Gunung Everest. Malaysia ketika itu merupakan negara ke-21 yang telah berjaya sampai ke puncak Everest yang berketinggian 29,000 kaki itu. Ekspedisi mendaki Gunung Everest yang berlangsung selama 55 hari ini disertai seramai 23 orang, namun hanya dua orang sahaja yang berjaya sampai ke puncaknya iaitu Datuk M. Magendran dan juga Datuk N. Mohandas.

Kedua-dua wira negara ini disambut meriah di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pada 3 Jun 1997. Sambutan kepulangan wira negara itu turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mengikut laporan, Projek Everest ini merupakan ilham daripada Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Tujuannya adalah untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. 

AZHAR MANSOR

Jangan kata gunung, lautan juga sanggup diredahi oleh pelayar solo Malaysia iaitu Datuk Azhar Mansor. Beliau telah menjadi rakyat Malaysia yang pertama untuk melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia! Siapa yang pernah pergi ke laut tahu lah betapa seramnya suasana laut, lagi-lagi bila berombak. Dikatakan pada asalnya pelayaran tersebut dirancang untuk dilakukan dalam tempoh 100 hari. Tetapi akibat masalah tiang layar yang patah semasa berada di Cape Horn, Amerika Syarikat, tempoh pelayaran terpaksa ditambah. Kegigihan Azhar Mansor patut dicontohi apabila beliau berjaya juga menamatkan pelayaran solonya dalam masa 190 hari.

Apa yang menarik, pelayaran ini merupakan pelayaran yang membawa nama Malaysia dimana beliau berlayar menggunakan kapal layar yang bernama Jalur Gemilang. Pelayaran Azhar Mansor meliputi 21,600 batu nautika, dan pada 11 Ogos 1999 beliau selamat tiba di Awana Porto Malai Resort, Langkawi. Kepulangannya disambut sebagai wira negara oleh rakyat Malaysia dan turut disertai oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kita tolak tepi sebarang kontroversi yang pernah melanda Datuk Azhar Mansor, dan contohi keberanian beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia.

ABDUL MALIK MYDIN

Pada bulan Ogos tahun 2003, perenang maraton negara iaitu Dato’ Abdul Malik Mydin telah memulakan renangan merentasi Selat Inggeris. Renangan itu dikatakan sejauh 32.8 kilometer. Mungkin kalau kita yang berenang dalam kolam 50 meter pun dah rasa penat dah. Pada ketika itu, Abdul Malik baru sahaja berusia 28 tahun tetapi sudah berjaya melakukan renangan yang agak jauh itu. Renangan tersebut bermula dari pantai Abbots Cliff dan dipantau oleh para pegawai Persekutuan Renang dan Pengemudian Selat (CSPF) yang menaiki bot Aegean Blue.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu merupakan rakyat Malaysia dan juga Asia Tenggara pertama ketika itu yang berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dalam masa 17 jam 42 minit. Walaupun terdapat perenang Malaysia lain juga yang cuba berenang merentasi Selat Inggeris, namun Abdul Malik tentunya merupakan inspirasi kepada perenang-perenang lain. Pada tahun 2004, Leenard Lee yang berusia 20 tahun ketika itu telah berjaya memecahkan rekod renangan di Selat Inggeris dalam tempoh masa 9 jam 45 minit.

SHARIFAH MAZLINA

Beliau merupakan wanita Asia pertama yang berjaya merentasi Antartika secara solo. Wanita negara kita pun bukan calang-calang juga ya. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir merupakan bekas pensyarah bidang Psikologi Sukan di Fakulti Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya merentasi Antartika sejauh 1,110 kilometer dalam tempoh masa 22 hari pada tahun 2004. Beliau menamatkan ekspedisinya dua hari lebih awal daripada rekod sebelum itu yang dipegang oleh seorang lelaki warga Britain. Walaupun ekspedisi kedua beliau ke Kutub Utara dilanda kontroversi, semangat dan keberaniannya merentasi Antartika secara solo harus dijadikan sebagai inspirasi. 

SHEIKH MUSZAPHAR SHUKOR

Memang nama yang tidak asing lagi dan masih lagi diingati sehingga ke hari ini. Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, angkasawan pertama Malaysia! Yang ni siapa yang masih di bangku sekolah masa tu mesti ingat lagi dengan perjalanan pemilihan angkasawan negara sehingga lah berlepasnya angkasawan negara ke International Space Station (ISS). Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebenarnya merupakan seorang doktor bedah ortopedik. Beliau diumumkan sebagai angkasawan negara pertama Malaysia pada 25 September 2007 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. 

Beliau berlepas ke angkasa pada 10 Oktober 2007 dengan menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan oleh ISS. Beliau dikatakan menyertai program ini di bawah perjanjian bersama Russia menerusi program Angkasawan, dan telah kembali ke Bumi selepas sembilan hari berada di stesen angkasa berkenaan. Pada 21 Oktober 2007, beliau selamat kembali ke Bumi. Siapa yang ingat lagi masa tu kita dapat menyaksikan angkasawan negara kita melakukan ibadah puasa serta meraikan Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas. Siap makan rendang dekat atas sana!

Kalau ikutkan ramai lagi rakyat Malaysia yang berjaya bawa nama Malaysia ke mata dunia seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang, Datuk Nicol Ann David, dan Yunalis Zarai dan ramai lagi, kalau nak senaraikan lagi memang takkan habis lah senang cerita. Mungkin yang tu kiteorang boleh cerita dalam next artikel.

KATALAKI: Memang secara tak langsung kita rasa bangga jadi anak Malaysia. Malaysia Boleh!

Last modified: 14 August 2020