5 Sebab Yang Seram Tentang ‘Suicide Forrest’ Di Jepun

Sembang

Mungkin ramai yang dah tahu tentang sebuah hutan yang agak menyeramkan di negara Jepun yang dikenali dengan nama ‘Suicide Forrest.’ Kalau dah nama pun begitu, maksudnya hutan tu sememangnya menjadi tempat utama masyarakat di Jepun untuk menamatkan riwayat mereka sendiri. Artikel ini bukan bertujuan untuk mempromosi the act of suicide, tapi sekadar berkongsi kisah-kisah yang dikatakan seram berlaku dalam hutan tersebut. Jadi kali ini Thelaki akan kongsikan beberapa fakta menarik dan menakutkan tentang hutan ini.

MENJADI TEMPAT PALING RAMAI MANGSA BUNUH DIRI

Hutan Aokigahara yang terletak di barat laut Gunung Fuji ini dikatakan menjadi destinasi terakhir masyarakat di Jepun sebelum mereka menamatkan riwayat di situ. Kalau ikutkan statistik kadar mangsa bunuh diri di Aokigahara, ia tidak dapat direkodkan dengan tepat kerana keadaan hutan yang begitu tebal sehingga sukar untuk menjumpai kesemua mayat mangsa. Walau bagaimanapun, dianggarkan lebih kurang 100 orang dalam setahun akan menamatkan riwayat mereka di situ. Cara paling kerap digunakan untuk membunuh diri di situ adalah dengan mengantungkan diri di pokok, diikuti dengan cara meracuni diri dengan drug overdose.

Sebenarnya amalan membunuh diri atau menamatkan riwayat sendiri bukan lah perkara yang hanya berlaku dalam dunia moden di Jepun. Ianya sudah menjadi perkara biasa sejak dahulu sehingga tidak menjadi stigma dalam masyarakat di Jepun. Dahulu, amalan bunuh diri yang dikenali sebagai ‘Seppuku’ telah pun dipraktikkan oleh samurai dan ia dianggap sebagai satu penghormatan. Kini di Jepun, membunuh diri sendiri dilihat sebagai satu cara seseorang itu memikul tanggungjawabnya. Mungkin sebab itu juga Jepun mempunyai rekod kes bunuh diri paling tinggi di dunia. Sememangnya kefahaman ini tidak boleh dibawa ke negara kita ataupun mana-mana tempat lain di dunia. 

HUTAN SERAM YANG SEMULA JADI

Hutan ini dikatakan kurang sesuai sebagai tempat untuk pelancong datang bersiar-siar sambil menikmati alam semula jadi. Suasana dan juga keadaan hutan ini sememangnya sudah semula jadi berbahaya. Hal ini disebabkan lokasi hutan ini yang berada di dasar gunung, serta mempunyai tanah yang tidak rata. Tapi apa yang membuatkan hutan ini lebih seram adalah suasananya yang asing daripada kehidupan di dunia ini.

Pokok-pokok yang padat dalam hutan menyebabkan angin pun sukar untuk dirasai, ditambah dengan tiadanya hidupan liar. Kalau siapa-siapa yang masuk ke dalam hutan ini, umpama dia berada seorang diri di situ. Mereka yang pernah masuk ke dalam hutan tersebut menggambarkan suasana sunyi dalam hutan itu adalah seperti keadaan jiwa yang kosong. Sehinggakan nafas sendiri pun kedengaran seperti raungan. Sememangnya bukan tempat untuk kita melancong.

KISAH YANG MENJADIKAN IA ‘SUICIDE FOREST’

Dikatakan tradisi untuk menjadikan ‘Suicide Forest’ sebagai tempat menamatkan riwayat seseorang adalah berasal daripada sebuah novel. Novel yang ditulis pada tahun 1960 itu ada menceritakan tentang bagaimana seorang kekasih yang patah hati membunuh dirinya dalam hutan tersebut. Selepas novel ini, hutan ini disebut juga sebagai tempat yang sesuai untuk bunuh diri di dalam buku ‘The Complete Manual of Suicide.’ Buku panduan ini ada dijumpai bersama dengan barang-barang yang ditinggalkan mayat mangsa bunuh diri. Macam tak patut pula buku macam ni diterbitkan. 

Selain itu, terdapat juga kisah lagenda yang telah menambahkan lagi keseraman hutan tersebut serta membina reputasi hutan itu sebagai destinasi terakhir sebelum mati. Terdapat satu mitos tentang satu amalan dimana sebuah keluarga akan meninggalkan orang yang paling tua dalam keluarganya di dalam hutan dan membiarkan dia mati. Amalan ini dikenali sebagai ‘Ubasute’ yang bermaksud meninggalkan wanita tua. Tujuannya adalah untuk mengurangkan tanggungan keluarga, dan ia hanya dilakukan dalam keadaan yang sangat terdesak sahaja. Walaupun ia dianggap sebagai mitos atau kisah lagenda, ia tetap menjadi kisah yang sering diceritakan dan menambahkan lagi keseraman hutan tersebut.

HUTAN BERHANTU!

Kalau dah ramai yang meninggal dekat situ memang tak mustahil akan ada kisah-kisah atau cerita yang menyatakan hutan tu berhantu. Mereka yang pernah mengunjungi hutan tersebut juga mengatakan terdapat satu aura yang kurang disenangi di situ, seperti ianya benar-benar dihantui. Antara cerita rakyat yang popular mengatakan roh-roh mereka yang telah mati di situ akan menganggu dan menyeksa pengunjung, terutamanya mereka yang dalam kesedihan sehingga tersesat dalam hutan. Roh-roh itu dikatakan berdendam, tapi tak pasti berdendam dengan siapa atau sebab apa. 

MASIH BOLEH BERKHEMAH DALAM ‘SUICIDE FOREST’

Berkhemah di dalam hutan tersebut adalah dibenarkan, tetapi para pengunjung yang membawa khemah bersama dipercayai masih belum membuat keputusan samada mahu menamatkan nyawa mereka di situ ataupun tidak. Dikatakan mereka yang berkhemah berhari-hari di situ akan memikirkan nasib mereka samada untuk membunuh diri ataupun tidak. Pihak yang melakukan rondaan di situ (suicide prevention patrol) akan menghampiri mereka yang berkhemah dan akan berbicara dengan lembut supaya mereka tidak melakukan apa-apa perkara yang membahayakan diri. Kemudian mereka akan diminta untuk meninggalkan hutan tersebut.

Walau bagaimanapun, hutan ini dikatakan sangat tebal dan mudah untuk seseorang hilang di dalamnya sekiranya tidak menandakan jalan dengan sebarang penanda. Kalau ada yang fikir boleh membuat panggilan telefon di dalam hutan untuk mendapatkan bantuan, mungkin boleh lupakan niat itu. Tiada sambungan telefon boleh didapati di dalam hutan tersebut. Jadi kalau ada yang teringin nak melawat ‘Suicide Forest,’ pastikan mengikut panduan yang ditetapkan untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku. 

KATALAKI: Kadang-kadang disebalik keindahan alam semula jadi pun ada tersimpan kisah-kisah yang menyeramkan…

Last modified: 13 August 2020