Adab Dalam Gym Yang Korang Kena Tahu

Life x Tips, Sembang

Selain daripada membina dan menguatkan otot, gym juga merupakan tempat untuk korang menguatkan lagi adab dan toleransi di dalam diri masing-masing. Sama ada gym tu korang bayar secara bulanan atau pun secara percuma, adab kat dalam gym korang tetap kena jaga sebab gym tersebut untuk kegunaan bersama.

Mungkin ada antara kita yang masih tak tahu atau tak faham lagi mengenai adab di dalam gym. Ya betul. Memang ada adab kalau berada di dalam gym. Tak kisah la sama ada gym karat atau gym komersial, kali ni kami nak kongsikan adab untuk korang yang suka merembeskan peluh kat dalam gym. Lightweight baby!

Susun Balik

Lepas korang dah guna peralatan kat dalam gym tu, pastikan korang susun balik atau rerack sama ada weight plate, dumbbell, barbell, skipping rope dan sebagainya. Kalau korang ada adjust mesin senaman mengikut keselesaan korang, kembalikan balik mesin senaman tersebut dalam keadaan asal selepas guna.

Kebersihan

Dalam setiap gym, ada disediakan air pembersih dan kain pengelap. Tujuannya ialah untuk korang bersihkan mesin senaman yang korang gunakan selepas terkena peluh yang meleleh tu. Dalam masa sama, boleh gak jaga ketahanan mesin senaman tersebut untuk kegunaan masa panjang.

Bau

Tipu la kalau korang masuk dalam gym tapi tak keluar peluh kan. Bila dah berpeluh, ada sesetengah manusia yang ada bau badan yang tersendiri. Demi menjaga keharmonian hidung pengguna gym yang lain, korang dinasihatkan untuk pakai deodorant dan bawa tuala supaya takde la peluh korang tu dibiarkan macam hujan ribut di bulan November. Selain tu, elakkan gak pakai baju yang sama sampai berbau seakan-akan bau bangkai.

Hempas

Otot semakin kuat tak bermakna korang boleh hempas barang yang ada dalam gym sekuat hati. Barang senaman yang ada kat dalam gym boleh rosak gak kalau digunakan secara kasar dan rakus walaupun diperbuat daripada besi. Pastikan korang tak hempas barang yang korang guna semasa melakukan dan menggunakan barang senaman di dalam gym.

Earphones/Headphones

Tak bersemangat la kalau takde muzik masa tengah bersenam kat dalam gym. Tapi korang kena tahu yang bukan semua orang suka dengar lagu pilihan korang dan bukan semua orang suka dengar lagu masa bersenam. Ada yang lebih suka dengar dengusan diri sendiri. Jadi, cara yang terbaik ialah gunakan earphones atau headphones kalau korang nak dengar lagu masa bersenam kat gym.

KATALAKI: Bunyi pun salah satu pencemaran gak. Kalau korang mendengus kat dalam gym, fikir gak orang sekeliling. Kalau kuat sangat boleh menggangu orang lain.

Last modified: 16 October 2019