Ahmad Suradji – Dukun Kejam Indonesia!

Sembang

Pada tahun 1997, negara-negara di Asia telah digemparkan dengan satu kes pembunuhan yang berkait rapat dengan ajaran ilmu hitam. Kes pembunuhan seumpama ini boleh dikatakan kes yang paling kejam selepas kes Mona Fandey yang berlaku pada tahun 1993.

Kes yang aku nak cerita adalah tentang kes Ahmad Suradji yang telah membunuh seramai 42 orang wanita di Indonesia. Seperti Mona Fendey, Ahmad Suradji juga merupakan seorang bomoh ataupun dukun yang dikenali dan digeruni oleh masyarakat setempat.

Sebelum ini, Ahmad bukanlah seorang dukun ataupun bomoh tapi dia cuma seorang pengembala lembu di kawasan perkampungan di Sumatra Utara. Namun satu hari, dia telah menyatakan dia telah bermimpi tentang arwah ayahnya.

Di dalam mimpi tersebut, ayahnya memberitahu yang Ahmad mempunyai kemahiran untuk menjadi seorang bomoh dan untuk menjadikan dia seorang bomoh yang terhebat, dia perlu meminum air liur daripada 70 mayat wanita muda.

Ahmad mempunyai tiga orang isteri dan ketiga-tiga isteri dia adalah adik beradik. Ketiga-tiga isterinya juga tahu tentang Ahmad ingin menjadi bomoh tapi dua daripada isterinya tidak tahu pembunuhan yang dia lakukan. Hanya isteri pertamanya sahaja yang tahu dan dia juga dikatakan turut membantu Ahmad semasa dia melakukan pembunuhan.

Ahmad tahu untuk mencari air liur daripada 70 mayat wanita muda bukannya satu kerja senang, jadi dia mengambil keputusan untuk membunuh wanita-wanita ini sendiri bagi mempercepatkan proses untuk dia menjadi bomoh atau dukun yang terhebat.

Disebabkan itu, dia dan isterinya mula memberitahu orang-orang kampung dia mempunyai ilmu untuk menyembuhkan orang-orang yang sakit dan juga mampu membantu wanita-wanita untuk kelihatan cantik dan terus nampak muda.

Dengan cara ini, Ahmad tidak perlu keluar untuk membunuh wanita-wanita ini tapi mereka sendiri yang akan datang ke rumahnya untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan daripada Ahmad. Orang ramai mula percaya dengan kehebatan Ahmad dan mereka telah memberikan dia gelaran Datuk Maringgi dan juga Nasib Kelewang.

Mangsa-mangsa Ahmad kebanyakannya adalah pelacur-pelacur yang ingin dapatkan perkhidmatan daripada Ahmad untuk memastikan mereka kekal cantik dan senang mencari pelanggan. Ahmad juga tahu dengan membunuh pelacur-pelacur ini, risiko untuk dia dikesan oleh pihak polis adalah sangat rendah kerana pelacur-pelacur ini biasanya cuma hidup sebatang kara dan tiada siapa yang kisah tentang kehilangan mereka.

Wanita-wanita yang menjadi mangsa kekejaman Ahmad biasanya akan datang ke rumah Ahmad pada waktu malam supaya tidak penduduk-penduduk kampung tidak tahu mereka datang untuk berubat. Setelah melakukan beberapa ritual di rumahnya, Ahmad akan membawa wanita-wanita ini ke kebun tebu yang terdapat di belakang rumahnya.

Setibanya di kebun tebu tersebut, Ahmad akan menyuruh wanita-wanita ini untuk masuk ke dalam lubang yang telah dia gali dan berdiri tegak dalam lubang tersebut. Ahmad kemudiannya akan menanam wanita tersebut sehingga paras pinggang dan ini menyukarkan wanita tersebut melarikan diri ataupun keluar daripada lubang tersebut.

Setelah selesai menanam wanita tersebut, dia akan mengeluarkan tali yang dia simpan dan terus mencekik wanita tersebut sehingga mati dan kemudianya Ahmad akan mengumpul air liur mangsanya tadi untuk diminum.

Dia kemudianya akan mengambil semua pakaian mangsanya dan menanam wanita tersebut di kebun tebu tersebut. Satu lagi benda pelik yang dilakukan oleh Ahmad adalah dia akan menanam mayat mangsanya dengan kepala mangsanya menghadap ke arah rumahnya kerana dia percaya dengan cara itu, ilmu bomohnya akan bertambah kuat.

Selama 11 tahun, tiada seorang pun tahu yang Ahmad merupakan seorang pembunuh bersiri. Orang-orang kampung pula berkata Ahmad merupakan seorang yang sangat baik hati kerana selalu membantu orang-orang kampung bila dia diperlukan dan selalu bersedekah kepada orang yang memerlukan.

Namun pada tahun 1997, kegiatan sebenar Ahmad akhirnya tersebar dan diketahui ramai. Pada masa itu, seorang wanita bernama Sri Kamala Devi telah hadir ke rumah Ahmad untuk mendapatkan perkhidmatannya.

Seperti mana mangsa-mangsa lain, Sri telah dibunuh dengan kejam dan ditanam di kebun tebu belakang rumah Ahmad. Tapi ini merupakan pembunuhan terakhir Ahmad kerana setelah tiga hari mayat Sri ditanam, seorang penduduk kampung telah terjumpa tempat Sri ditanam dan kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

Setelah polis melakukan siasatan, mereka telah mendapat maklumat bahawa Ahmad merupakan orang yang terakhir berjumpa dengan Sri pada malam Sri dibunuh. Semasa polis menyiasat kediaman Ahmad, polis telah menjumpai baju dan juga barang milik Sri.

Ahmad telah mengakui dia adalah orang yang telah membunuh Sri dan juga mengakui telah membunuh wanita-wanita lain. Ahmad telah membawa pihak polis ke kebun tebu dibelakang rumahnya dan memberitahu dimanakan kedudukan kubur mangsa-mangsanya yang lain.

Ahmad telah disabitkan bersalah di atas kesalahan membunuh 42 orang wanita dan salah seorang isterinya iaitu Tumini juga turut disabitkan bersalah kerana didapati bersubahat dengan Ahmad. Pada 10 Julai 2008, Ahmad telah dikenakan hukuman tembak sampai mati di atas kesalahan yang dia telah lakukan.

KATALAKI: Nasib baik cita-cita untuk bunuh 70 orang wanita dia tak tercapai!

Last modified: 16 October 2019