Anjing Versi Halal Kini Boleh Dibeli

Gadget, Tech, ZAP, ZeKool

Kali pertama anjing robot yang dikenali sebagai Spot mula dipertontonkan kepada orang ramai adalah semasa kerajaan Singapura menggunakan Spot di Bishan-Ang Mo Kio Park untuk memberi amaran dan peringatan kepada orang ramai mengenai gaya hidup penjarakan sosial yang perlu diamalkan bagi mengelakkan wabak COVID-19 terus menular. Kini, Spot yang dibina oleh syarikat Boston Dynamic boleh dibeli secara atas talian dengan harga USD 75,000.

Kalau ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia, Spot dianggarkan bernilai RM320,000. Harga macam tu dah boleh beli sebuah kereta mewah. Harga tersebut bukan lah semata-mata diletakkan oleh Boston Dynamic untuk sebuah anjing robot. Tapi, harga yang ditetapkan disertakan sekali dengan pakej servis, latihan, baik pulih, penyenggaraan dan sebagainya. Bukan boleh beli Spot macam tu je dan terus bawa balik ke rumah.

Malang sekali, buat masa ni Boston Dynamic hanya menerima tempahan daripada pembeli yang berada di Amerika Syarikat sahaja. Menurut Boston Dynamic, Spot juga bukan lah sebuah robot yang sesuai digunakan di dalam rumah macam haiwan peliharaan. Spot lebih sesuai digunakan untuk tujuan komersial dan industri. Kalau ada individu yang teringin memiliki Spot bukan untuk tujuan komersial dan industri, individu tersebut diwajibkan untuk menjalani latihan bagi mengawal dan menggunakan Spot dengan cara yang berhemah.

Kegunaan yang dimiliki oleh Spot termasuk lah pemeriksaan, pengesanan dan boleh diprogramkan untuk melakukan beberapa tugas antaranya mengangkat beban dan menerjah kawasan yang sukar dihadapi oleh manusia. Sebab tu Spot lebih sesuai digunakan untuk tujuan komersial dan industri. Spot juga dilengkapi dengan kamera 360 darjah yang boleh dikawal dari jauh dan hanya boleh beroperasi dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter dari manusia setiap masa. Selain tu, segala data termasuk visual yang dirakamkan oleh Spot juga tidak akan disimpan oleh Boston Dynamic tanpa kebenaran pemilik.

Spot kali pertama diperkenalkan kepada dunia oleh Boston Dynamic pada tahun 2016 dengan menunjukkan demonstrasi kebolehan Spot yang boleh membuka pintu menggunakan aksesori tambahan tangan robot, mengangkat kotak di belakang badan dan boleh berdiri semula dengan sendiri jika terjatuh atau terbalik.

KATALAKI: Dunia dah semakin terlampau canggih. Kita sebagai manusia yang rasa semakin seram.

Last modified: 21 June 2020