Antrum – Sebuah Filem Yang Menyebabkan Kematian!

Sembang, ZAP

Sebelum tengok filem seram, mesti kita tertanya-tanya berapa hebat tahap keseraman filem tu. Adakah filem tu akan buatkan kita tak tidur malam, ataupun akan buat penonton histeria. Kalau sampai penonton histeria tu maksudnya memang seram betul lah cerita tu. Tapi sebenarnya itu tak cukup menyeramkan. Dikatakan terdapat sebuah filem yang pernah dihasilkan pada penghujung tahun 1970-an dan telah menyebabkan lebih kurang 60 kematian. Siapa yang mati? Bukan pengarah, pelakon atau kru-kru filem tu yang mati, tetapi penonton yang menonton filem itu yang dilaporkan mati. Dengan berita tentang kematian-kematian ini, maka filem ini dikatakan telah disumpah dan sesiapa sahaja yang menontonnya pasti maut akan menjemput.

Begitu lah seramnya filem yang berjudul Antrum ini yang tidak diketahui asal usulnya. Tapi kematian yang berlaku bukan disebabkan terkejut tengok filem tu, tetapi disebabkan kemalangan yang berlaku sewaktu filem itu ditayangkan. Selepas daripada kemalangan-kemalangan yang berlaku, filem itu dikatakan hilang secara misteri. Tapi selepas hampir 20 tahun menghilang secara tiba-tiba ia muncul kembali untuk dipertontonkan semula. Filem Antrum ini secara ringkasnya mengisahkan tentang sepasang kanak-kanak lelaki dan perempuan yang masuk ke dalam hutan untuk menggali lubang ke neraka. Nak buat apa oi gali lubang ke neraka! Jom kita tengok apakah insiden-insiden yang berlaku semasa filem ini dipertontonkan. 

PANGGUNG WAYANG BUDAPEST TERBAKAR – 1988

Tragedi pertama yang berlaku adalah semasa filem ini ditayangkan di sebuah panggung wayang di Budapest, Hungary. Filem Antrum mula ditayangkan pada tahun 1988 dan ia merupakan kali pertama filem tersebut ditayangkan di layar perak selepas beberapa kali kena reject. Tapi bagaimana ia boleh ditayangkan juga dikatakan agak misteri dan secara tiba-tiba. Semasa filem itu dipertontonkan, bangunan panggung wayang tersebut secara tiba-tiba terbakar. Kebiasaannya kalau berlaku kebakaran ia mungkin berpunca dari bilik projektor. Tetapi bagi tragedi ini dikatakan kebakaran bermula di bahagian yang menempatkan penonton. Sebuah bilik panggung terbakar dan runtuh ke atas 56 orang penonton di situ. Walau bagaimanapun, filem tersebut terselamat daripada kebakaran itu dan terus menjadi sebuah filem yang disyaki mempunyai sumpahan.

SUMPAHAN KEPADA PENGURUS FESTIVAL FILEM

Filem Antrum dikatakan telah dihantar ke beberapa festival filem sekitar tahun 1983 untuk ditayangkan, tetapi ia tidak pernah ditayangkan. Selepas menerima filem Antrum untuk ditayangkan, dilaporkan ramai pengurus festival filem yang mati secara misteri. Menurut laporan, mereka tidak dapat memastikan bagaimana filem tersebut dihantar kepada mereka. Ada juga yang mempercayai ia mungkin kerja iblis!

Janet Hilberg, iaitu salah satu pengurus festival filem dan juga antara mangsa pertama, dikatakan mati akibat sawan selepas tayangan filem tersebut. Kemudian Tom Stylum pula dilaporkan mati akibat renjatan elektrik. Pengurus festival filem yang terakhir, Joe Barringer dilaporkan mati disengat dengan ikan batu (stonefish). Semua ini dipercayai kerana sumpahan filem Antrum. Kematian empat lagi pengurus festival filem masih tidak diketahui sehingga kini. 

RUSUHAN PANGGUNG WAYANG SAN FRANCISCO – 1993

Insiden terakhir yang dikatakan berpunca daripada tayangan filem sumpahan ini berlaku di sebuah panggung wayang di San Francisco pada tahun 1993. Filem ini dikatakan ditayangkan ketika itu sebab ia terkenal sebagai sebuah filem yang disumpah, dan para penonton memang aware dengan sumpahan yang dikatakan itu. Mereka memasuki pawagam dengan rela hati. Semasa semua penonton menonton filem tersebut yang mulanya sekadar sebuah hiburan, dikatakan mereka secara tiba-tiba rasa kurang senang dan cemas. Bila ada penonton yang cuba keluar dari panggung tersebut, mereka mendapati semua pintu keluar terkunci. Tidak ada jalan keluar dari situ. Kemudian dalam keadaan cemas, satu rusuhan berlaku di dalam panggung tersebut dan mengakibatkan beberapa kematian. Menurut laporan, seorang wanita yang sedang sarat mengandung mati akibat rusuhan tu.

Itu merupakan insiden terakhir yang dikatakan berpunca daripada filem Antrum ini sebelum ia secara misteri hilang. Tapi selepas hampir 20 tahun kemudian, beberapa footage kepada filem ini secara misteri muncul semula untuk dipertontonkan. Footage yang dijumpai kemudian dijadikan sebuah filem yang berjudul ‘Antrum: The Deadliest Film Ever Made.’ Mungkin semua kematian itu hanya kebetulan sahaja, ataupun tidak.

KATALAKI: Filem yang membosankan juga boleh menyebabkan kematian, bored to death

Last modified: 2 September 2020