Apa Dah Jadi Dengan PSP?

Sembang

Ada tak antara korang yang masih lagi memiliki PSP sekarang ni? Boleh berfungsi lagi atau pun tak tu tak penting. Tapi kalau korang ada lagi PSP yang disimpan kat dalam almari atau di celah-celah longgokan baju, korang antara penggemar permainan PlayStation yang hebat.

PSP atau dikenali sebagai PlayStation Portable mula dipasarkan di Jepun pada tahun 2004 dan di seluruh dunia pada tahun 2005, merupakan musuh ketat kepada Nintendo DS yang juga mula dipasarkan sekitar tahun 2005. PSP juga merupakan permainan video mudah alih pertama yang pernah dipasarkan oleh PlayStation selepas kejayaan PlayStation 2 yang wujud pada tahun 2000.

Ada 5 model PSP yang diperkenalkan sepanjang tahun 2004 sehingga 2011 antaranya PSP-1000, PSP-2000, PSP-3000, PSP Go dan PSP Street. Kalau korang boleh ingat lagi, game paling popular yang pernah dimainkan oleh penggemar-penggemar permainan video kat PSP adalah Grand Theft Auto: Liberty City Stories dan seterusnya Grand Theft Auto: Vice City Stories.

Game lain yang pernah memeriahkan lagi PSP adalah Monster Hunter, Gran Turismo, Daxter, Twisted Metal dan Metal Gear Solid: Peace Walker. Selain daripada digunakan untuk main game, PSP boleh gak digunakan untuk tengok filem, gambar dan buka web browser.

Bertahan hampir 12 tahun, kemegahan PSP akhirnya berakhir pada tahun 2016 selepas Sony menghentikan semua sokongan peranti dan hardware untuk PSP bagi memberi tumpuan kepada PlayStation Vita yang merupakan penyambung legasi PSP, mula dipasarkan pada tahun 2011. Malang sekali, PlayStation Vita tidak mampu bersaing dengan kemegahan yang pernah dirasai oleh Sony melalui PSP yang popular di seluruh dunia dalam jangka masa yang panjang. Selepas menerima saingan yang terlalu sengit dengan smartphone yang mula muncul dengan pelbagai jenis dan harga yang lebih murah, Sony akhirnya menamatkan pengeluaran dan sokongan peranti PlayStation Vita pada tahun 2019.

KATALAKI: Buat masa ni, mungkin takkan ada lagi permainan video mudah alih macam PSP akan dihasilkan oleh Sony memandangkan semua tengah tertumpu dengan PS5.

Last modified: 29 January 2020