Apa Istimewanya Controller Terbaru PS5?

Gadget, Tech

Memang waktu yang sesuai Sony mengumumkan kepada orang ramai mengenai controller terbaru PlayStation 5, memandangkan sekarang ramai penggemar-penggemar permainan video masih kekal berada di dalam rumah selama berminggu-minggu. Apa reaksi korang bila tengok controller PlayStation 5 yang dijangka akan mula dipasarkan hujung tahun 2020? Dah ada yang mula membezakan controller PlayStation 5 dengan Xbox Series X yang nampak macam lebih kurang sama.

Info penting untuk korang, Xbox Series X merupakan alat permainan video terbaru daripada Microsoft yang akan berentap dengan PlayStation 5, juga mula dipasarkan di hujung tahun 2020. Mana satu yang korang akan beli?

Berita mengenai kewujudan PlayStation 5 kali pertama dibincangkan oleh Mark Cerny yang mewakili PlayStation bersama sebuah majalah teknologi terkenal di Amerika Syarikat, Wired pada bulan April tahun 2020.

Menurut PlayStation, controller terbaru yang akan didatangkan bersama dengan PlayStation 5, dikenali sebagai DualSense, diperhebatkan lagi dengan teknologi yang mampu merangsang deria pemain di dalam permainan video. Mengambil kira deria sentuh dan bunyi, DualSense dipertingkatkan lagi dengan teknologi haptic feedback yang mampu memberi pengalaman dan perasaan sebenar melalui permukaan jalan yang berbeza apabila menggunakan DualSense untuk game lumba kereta contohnya.

Selain tu, PlayStation juga mempertingkatkan penggunaan button L2 dan R2 yang digelar Adaptive Triggers, membolehkan pemain merasai tahap rintangan yang dihadapi semasa bermain game. Contohnya, macam mana susahnya nak tarik tali anak panah, boleh dirasa melalui button L2 dan R2.

Controller pertama PlayStation mula dipasarkan pada tahun 1994 bersama PlayStation (PS1). Masa zaman controller PlayStation yang pertama ni, kita tak kenal lagi macam mana rasa main game guna analog kat controller. Menerusi PlayStation (PS1) juga, Sony mencipta beberapa jenis controller yang menjadi salah satu kelebihan dan kekuatan kepada jenama PlayStation yang masih lagi bertahan sehingga kini antaranya Dual Analog Controller dan beberapa siri DualShock.

Dual Analog Controller kali pertama dipasarkan pada tahun 1997. Masa ni lah baru kita dapat rasa betapa bahagianya main game dah tak sakit jari sebab dah boleh main guna analog. Selepas kejayaan Dual Analog Controller, PlayStation mula memasarkan controller dengan teknologi baru iaitu DualShock yang memberikan kesan getaran kepada pemain. Diteruskan lagi dengan penambahbaikkan menerusi DualShock 2, DualShock 3 dan DualShock4 untuk PlayStation 4, kini legasi DualShock bakal digantikan oleh DualSense yang akan mula digilai ramai di penghujung tahun 2020.

KATALAKI: Kami membayangkan bila guna DualSense nanti, bukan badan je boleh bergegar, roh pun boleh bergegar.

Last modified: 9 April 2020