Apa Kelainan Terbaru Dalam FIFA 21?

Game, Tech, ZAP, ZeKool

Setiap tahun, game terbaru FIFA akan mula dipasarkan pada bulan September, selepas bermulanya saingan musim terbaru liga bola sepak Eropah. Berbeza untuk tahun 2020 yang serba tertunda, FIFA 21 akan mula dipasarkan di seluruh dunia pada 9 Oktober 2020. Untuk info, musim baru Premier League dan La Liga akan bermula pada 12 September 2020. Sebelum korang beli dan rasai sendiri keseronokan FIFA 21, ini kelainan terbaru dalam FIFA 21 yang korang kena tahu.

Kalau nak tengok kelainan daripada segi grafik dan visual, memang susah nak nampak secara ketara memandangkan game FIFA dipasarkan setiap tahun. Tapi, salah satu cara terbaik untuk kita tengok kelainan grafik dan visual FIFA 21 adalah menerusi konsol permainan video terbaru, PlayStation 5 yang akan mula dipasarkan di penghujung tahun 2020. Yang masih lagi tak tahu, kalau korang beli game FIFA 21 untuk PlayStation 4, korang juga boleh main game FIFA 21 yang sudah dibeli tu, di PlayStation 5. Dengan syarat, korang kena lah beli PlayStation 5.

Yang pertama sekali, FIFA 21 menampilkan Kylian Mbappé sebagai Cover Star terbaru, pemain muda generasi baru yang dijangka bakal menandingi kehebatan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi suatu hari nanti. Nampaknya, FIFA 21 kali ni lebih memberi tumpuan kepada pemain-pemain muda berkelas dunia selepas beberapa duta yang akan menjual jenama FIFA 21 diperkenalkan kepada dunia antaranya Trent Alexander-Arnold, Erling Haaland dan João Félix. Bagus gak la FIFA 21 kali ni lebih mempromosikan pemain-pemain muda. Boleh menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada generasi-generasi pemain bola sepak yang lebih muda untuk tidak berputus asa mencipta kejayaan. Kalau setiap tahun game FIFA asyik mengetengahkan Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Eden Hazard atau mana-mana pemain yang dah selalu mendapat perhatian dunia, boleh jadi bosan gak.

Selain tu, FIFA 21 juga akan menampilkan beberapa ciri gameplay terbaru yang terdiri daripada Agile Dribbling, Positioning Personality, Creative Runs, Natural Collision System dan Fundamentals of Football. Agile Dribbling membolehkan pemain menggelecek bola secara one-on-one dengan lebih laju dan lincah. Kalau korang memang suka menggentel bola sampai depan pintu gol bila main game FIFA, gameplay terbaru Agile Dribbling ni memang untuk korang lah. Positioning Personality pula akan menyerlahkan lagi kebijaksaan pemain bola sepak untuk mencuri ruang atau melakukan hantaran bola yang tak masuk akal. Contohnya, korang boleh guna Kevin De Bruyne untuk membuat hantaran yang melampaui batasan atau Virgil van Dijk yang sentiasa bijak menghalang hantaran atau rembatan pihak lawan.

Selain daripada ciri-ciri gameplay, FIFA 21 juga akan menampilkan kelainan baru untuk Career Mode, Ultimate Team dan VOLTA yang akan lebih memfokuskan perjalanan pembangunan pemain dan boleh mengubah sesuai stadium dalam Ultimate Team. Game FIFA sebelum ni tak pernah lagi ada ciri-ciri yang membolehkan pemain mengubah suai stadium. FIFA 21 juga akan membuang sebarang aksi meraikan gol yang boleh membangkitkan isu sensitif antaranya aksi sambutan yang digelar “shushing” dan isyarat tangan “OK”. Tak cukup dengan tu, FIFA 21 juga akan memendekkan aksi sambutan gol, dengan alasan, untuk membolehkan pemain terus kekal bermain daripada melakukan sebarang aksi yang tak diperlukan.

KATALAKI: Ada banyak lagi ciri-ciri terbaru yang akan diumumkan oleh EA Sports nanti, menjelang hari FIFA 21 dipasarkan.

Last modified: 8 August 2020