Apa Kena-Mengena Nissan & Datsun?

Sembang, ZAP, ZeKool

Penggemar kereta hasil buatan dari Jepun mesti cukup kenal dengan jenama kereta Nissan dan Datsun yang boleh dikatakan antara jenama kereta yang disegani di atas jalan raya. Tapi korang tahu tak sebenarnya Nissan dan Datsun ada kena-mengena? Nissan atau Datsun yang lahir dulu? Ini sejarah Nissan dan Datsun yang korang kena tahu.

Pada tahun 1911, sebuah syarikat yang dikenali sebagai Kwaishinsha Jidosha Kojo ditubuhkan oleh Masujiro Hashimoto dengan impian untuk menghasilkan kereta yang sesuai dijual dan digunakan di Jepun, dalam masa yang sama, juga menyimpan angan-angan kereta tersebut boleh dieksport ke negara luar. 3 tahun kemudian, Masujiro Hashimoto berjaya menyiapkan sebuah kereta bersaiz kecil yang dijenamakan sebagai DAT. Nama DAT tersebut diambil daripada singkatan nama 3 orang pelabur yang membantu Masujiro Hashimoto merealisasikan impian untuk menghasilkan sebuah kereta, yang terdiri daripada Kenjirō Den, Rokurō Aoyama dan Meitarō Takeuchi.

Selepas berjaya membuktikan kebolehan membina sebuah kereta kepada orang ramai, syarikat Kwaishinsha Jidosha Kojo yang dimiliki oleh Masujiro Hashimoto bergabung dengan sebuah lagi syarikat yang pernah menghasilkan kenderaan beroda tiga, dikenali sebagai Jitsuyo Jidosha untuk membentuk sebuah syarikat baru yang diberi nama DAT Jidosha Seizo, bertujuan untuk menghasilkan kenderaan bersaiz yang lebih besar untuk kegunaan tentera semasa berperang. Disebabkan permintaan yang kurang menguntungkan untuk menghasilkan kenderaan ketenteraan, DAT Jidosha Seizo seterusnya mula beralih arah, cuba menghasilkan kenderaan penumpang yang boleh digunakan oleh orang awam. Pada tahun 1931, lahirnya sebuah kenderaan yang boleh membawa penumpang, dikuasakan dengan enjin berkeupayaan 500 cc yang diberi nama DATSON. Tapi disebabkan SON dalam bahasa Jepun bermaksud “loss“, SON ditukar kepada SUN yang membawa maksud lebih baik dalam bahasa Jepun dan tercipta lah sebuah jenama kereta yang diberi nama DATSUN, mula dijual kepada orang ramai pada tahun 1932 dengan nama Datsun Type 11. Tapi masa bila pula datangnya nama Nissan?

Pada tahun 1928, Nihon Sangyo, sebuah syarikat yang memiliki saham di beberapa syarikat korporat di Jepun, ditubuhkan oleh Yoshisuke Aikawa yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan sehingga berjaya membuat kemunculan di Tokyo Stock Exchange menggunakan nama NISSAN pada tahun 1933. Syarikat DAT Jidosha Seizo yang bergabung dengan salah satu syarikat di bawah Nissan iaitu Tobata Casting pada tahun 1933, sekali gus menjadikan DAT Jidosha Seizo dimiliki oleh Nissan dan  bermulanya era Nissan dalam bidang automotif.

Pada tahun 1934, nama DAT Jidosha Seizo ditukarkan kepada Nissan Motor Co., Ltd. yang memasarkan lagi jenama kereta Datsun ke pasaran luar negara iaitu di negara-negara Asia, Australia dan seterusnya Amerika Syarikat. Selepas jenama kereta Datsun yang terdiri daripada 510, 240z, Fairlady dan Bluebird terjual lebih daripada 20 juta unit di 190 negara di seluruh dunia, penggunaan jenama dan logo Datsun akhirnya dihentikan pada tahun 1981, digantikan dengan logo Nissan untuk memperkuatkan lagi jenama Nissan di mata dunia sehingga kini.

Pada tahun 2013, jenama Datsun pernah buat comeback, dengan restu Nissan, apabila sebuah kereta yang digelar Datsun Go dilancarkan di India. Dengan penjenamaan baru Datsun, Nissan mempromosikan Datsun sebagai sebuah kereta moden mampu milik yang juga dipasarkan di Indonesia, Nepal, Afrika Selatan dan Rusia. Senang cerita, Datsun versi moden ni kereta keluaran Nissan yang jauh lebih murah berbanding kereta yang menggunakan logo Nissan.

KATALAKI: Siapa ada lagi simpan kereta Datsun yang lama tu memang rare habis.

Last modified: 1 July 2020