Apa Kena-Mengena Star Wars Dan 4 Mei?

Sembang, ZAP, ZeKool

Tanggal 4 Mei setiap tahun, sambutan Star Wars Day diraikan oleh seluruh peminat Star Wars di seluruh dunia, berserta ungkapan wajib, May The 4th Be With You. Kalau jenis yang tak nak langsung ambil tahu pasal Star Wars, mesti tak faham kenapa Star Wars Day disambut pada 4 Mei sedangkan filem Star Wars yang pertama ditayangkan pada 25 Mei 1977.

Ungkapan May The 4th Be With You berasal daripada dialog May The Force Be With You yang selalu diucapkan oleh beberapa watak di dalam siri filem Star Wars. Sebab tu gak lah 4 Mei dipilih untuk menyambut Star Wars Day. Ungkapan May The 4th Be With You mula tersebar luas di seluruh dunia selepas wujudnya media sosial, kali pertama diraikan oleh peminat-peminat Star Wars pada tahun 2011 dalam sebuah acara di Kanada.

Kini, sambutan Star Wars Day dengan ungkapan wajib May The 4th Be With You, diiktiraf oleh Disney yang kini merupakan pemilik francais Star Wars, diraikan setiap tahun dengan mengadakan acara sambutan dan festival sejak tahun 2013.

Sehingga kini, Star Wars merupakan salah satu francais media yang paling banyak mendapat keuntungan menerusi buku, filem, permainan video, komik, animasi, drama bersiri dan berbagai-bagai jenis media, di belakang Mickey Mouse, Winnie the Pooh, Hello Kitty dan Pokémon. Star Wars juga berada di tempat ke-2, dibelakang Marvel Cinematic Universe, francais filem yang paling banyak mengaut keuntungan.

Star Wars dicipta oleh George Lucas, yang juga merupakan pencipta kepada kisah pengembaraan Indiana Jones, pengasas kepada Lucasfilm sejak tahun 1971, sebelum dibeli oleh Disney pada tahun 2012.

Setakat ni dah ada 11 filem di bawah francais Star Wars dalam masa 42 tahun sejak tahun 1977 sehingga 2019. Siri filem Star Wars yang pertama, juga digelar sebagai Star Wars: Episode IV – A New Hope, ditayangkan pada tahun 1977, menampilkan Mark Hamill sebagai Luke Skywalker dan Harrison Ford sebagai Han Solo, merupakan filem Star Wars yang paling banyak menggondol anugerah di Academy Awards.

Kisah mengenai Skywalker Saga tamat pada tahun 2019 menerusi filem Star Wars: The Rise of Skywalker, pertemuan hidup dan mati antara Rey, anak didik kepada Luke Skywalker dan Kylo Ren, anak kepada Han Solo.

KATALAKI: Filem Star Wars mana satu yang paling best bagi korang?

Last modified: 5 May 2020