Arsenal Pun Terpaksa Buang Pekerja Sebab COVID-19

Aktif, Bola

Pandemik COVID-19 bukan je memberi impak kepada diri kita dan ekonomi negara kita sendiri, tapi juga memberi kesan kepada industri sukan profesional di seluruh dunia. Acara-acara sukan bertaraf dunia antaranya EURO 2020 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 terpaksa ditunda. Perlawanan bola sepak, perlumbaan MotoGP dan Formula One semuanya terpaksa dianjurkan dalam keadaan tanpa penonton. Bila takde penonton, dah tentu sekali takde income menerusi penjualan tiket, makanan, merchandise dan sebagainya. Itu yang kita boleh nampak secara kasar. Belum kira lagi keuntungan yang terjejas melalui penyiaran hari perlawanan, aktiviti komersial dan penaja.

Yang terbaru, salah satu kelab bola sepak ternama Eropah, Arsenal, baru je mengumumkan berita mengenai cadangan mengurangkan 55 pekerjaan di Arsenal, bertujuan untuk mengurangkan kos kerugian yang perlu ditanggung selepas pandemik COVID-19 menyerang dunia. Arsenal yang baru je menjulang FA Cup selepas berjaya menewaskan Chelsea, merupakan kelab Premier League terawal yang mengumumkan secara terbuka mengenai impak COVID-19 yang memberi kesan besar kepada status kewangan kelab.

Selain bercadang untuk mengurangkan 55 pekerjaan, Arsenal juga menegaskan yang pemain-pemain dan barisan kejurulatihan sudah pun bersetuju untuk mengurangkan gaji masing-masing secara sukarela bagi membantu mengurangkan beban kewangan kelab. Menurut Arsenal, menerusi pelbagai cara yang digunakan untuk mengurangkan beban kewangan kelab, Arsenal masih lagi fokus untuk membuat pelaburan dalam memantapkan barisan pemain yang beraksi di atas padang. Jadi, kalau tiba-tiba Arsenal mengumumkan mengenai pemain baru yang berjaya dibeli, korang tak boleh nak marah atau terkejut sebab Arsenal dah bagi tahu yang prestasi kelab di atas padang adalah lebih penting.

Buat masa ni, Arsenal belum lagi mengumumkan mengenai sebarang pembelian pemain baru untuk mengharungi saingan musim terbaru Premier League 2020/21 yang akan bermula pada 12 September 2020. Pada tahun 2019, sebelum pandemik COVID-19 menghantui penduduk dunia, Arsenal melaburkan sekurang-kurangnya 160 Juta Euro untuk membeli pemain-pemain baru bagi memantapkan lagi barisan pemain yang terdiri daripada Nicolas Pépé, William Saliba, Kieran Tierney, Gabriel Martinelli, Pablo Marí dan David Luiz.

Selepas saingan Premier League 2019/20 yang tertangguh berbulan-bulan disambung semula, Arsenal yang dibimbing oleh Mikel Arteta menamatkan saingan di tempat ke-8, gagal melayakkan diri untuk bersaing di UEFA Champions League 2020/21. Walau bagaimanapun, sebab Arsenal dah berjaya menang FA Cup baru-baru ni, secara automatik, Arsenal layak untuk bertanding di UEFA Europa League 2020/21.

KATALAKI: Arsenal masih lagi memegang rekod kelab terakhir yang berjaya menamatkan musim Premier League tanpa sebarang kekalahan, memegang gelaran The Invincibles pada musim 2003/04.

Last modified: 6 August 2020