Asal Usul Kewujudan Panggung Wayang

Sembang, ZAP, ZeKool

Bermula 1 Julai, kerajaan Malaysia telah membenarkan panggung wayang untuk dibuka semula. Kepada kaki wayang tu, mesti korang rindu nak tengok wayang kan? Kalau dah biasa tiap-tiap minggu tengok wayang, kali ini disebabkan wabak COVID-19 kita terpaksa tahan nafsu untuk tengok wayang hampir 4 bulan. Tapi pernah terfikir tak kehidupan tanpa adanya panggung wayang? Kali ini Thelaki akan bawa korang merentas masa ke zaman di mana bermulanya panggung wayang, yang kini telah pun menjadi sebahagian daripada hiburan wajib.

SIAPA YANG MENCIPTA CINEMA

Sebenarnya tak ada siapa pun yang boleh claim dia lah yang mencipta panggung wayang. Walau bagaimanapun, pada tahun 1891, Syarikat Edison telah dengan jayanya menghasilkan prototaip Kinetoscope. Ia merupakan sebuah alat yang membolehkan seseorang melihat gambar bergerak. Hasil daripada ciptaan Kinetoscope ini, ia membolehkan gambar yang dimainkan dengan laju dipancarkan sebagai satu bentuk paparan bergerak seperti video. Ini dianggap sebagai benda baru pada zaman dahulu, dan yang pertama mengenakan bayaran kepada penonton yang ingin melihat ‘gambar bergerak’ ini adalah  Lumière brothers pada tahun 1895 di Paris.

Pada asalnya, filem yang dihasilkan dan ditayangkan adalah sangat pendek. Kadang-kadang hanya beberapa minit sahaja, atau kurang daripada itu. Audio juga tidak disertakan dalam wayang gambar, dan kalau ada iringan muzik pun ia dimainkan secara live oleh pemuzik. Ia ditayangkan di kawasan lapang atau di dewan muzik, atau di mana sahaja tempat yang cukup gelap untuk membolehkan ‘wayang gambar’ dimainkan. Antara paparan awal atau kandungan gambar wayang adalah termasuk permandangan-permandangan setempat dan luar negara, komedi pendek, serta events yang dirasakan berbaloi untuk ditayangkan.

WAYANG GAMBAR SEMAKIN BERKEMBANG

Menjelang tahun 1914, beberapa industri filem peringkat nasional ditubuhkan. Negara-negara Eropah, Russia, Amerika serta negara-negara Nordik, antara yang terawal mempelopori industri perfileman. Hasilnya, wayang gambar menjadi lebih panjang dan mempunyai penceritaannya sendiri. Selepas itu, semakin ramai lah orang yang sanggup untuk membayar untuk menonton ‘wayang gambar.’ Panggung wayang yang lebih selesa juga mula dibina bagi membenarkan lebih ramai orang menonton wayang. 

Jadi dari situ lah bermulanya kewujudan panggung wayang ini, dan kini kita boleh lihat panggung wayang sekarang lebih selesa dan canggih. Siap ada panggung wayang yang sediakan katil lagi untuk penonton tengok wayang sambil baring.

PERMULAAN ‘CINEMA’ DI MALAYSIA

Tapi mesti ada yang terfikir bila lah panggung wayang mula diperkenalkan di Malaysia (atau Tanah Melayu lebih tepat). Di Tanah Melayu, filem pertama kali mula diperkenalkan kepada umum ada lah pada tahun 1898 oleh penjajah Inggeris yang menayangkan sebuah filem dokumentari-berita berjudul ‘Diamond Anniversary Celebration of Queen Victoria.’ Waktu itu tak ada panggung wayang lagi. Panggung wayang pertama dibina di Singapura pada tahun 1907 yang diberi nama Alhambra. Ia terletak di persimpangan antara Beach Road dan Middle Road, berhampiran dengan pantai laut. Dikatakan, semasa filem dimainkan, para penonton boleh mendengar bunyi deruan ombak memukul-mukul tembok.

Kemudian Alhambra dibeli oleh Shaw Brothers pada tahun 1930-an, dan kemudian menjadi panggung wayang pertama di Singapura yang menggunakan penyaman udara. Panggung wayang pertama pula yang ada di Malaysia adalah Coliseum Theater pada tahun 1928 yang terletak di Kuala Lumpur. Dengan adanya panggung wayang ini, maka semakin mekar lah industri perfileman kita, dan semakin ramai lah yang gemar untuk menonton filem di panggung wayang. Kalau nak tahu, filem melayu pertama yang ditayangkan adalah pada tahun 1933, iaitu filem Leila Majnun yang diarahkan oleh B.S. Rajhans (pengarah berasal dari India).

KATALAKI: Kalau tak ada panggung wayang, agak-agak nak tengok movie dekat mana?

Last modified: 2 July 2020