Asal Usul Nama Kota Kinabalu

Sembang

Macam dah selalu sangat kita bercerita tentang sejarah negara luar, jadi kali ni kita buka semula kisah atau sejarah yang berlaku di tanah air kita. Sejarah negeri dibawah bayu, iaitu negeri Sabah memang jarang atau tak banyak diceritakan, terutamanya kepada generasi-generasi muda. Korang tahu tak dahulunya Kota Kinabalu dikenali dengan nama Jesselton? Ni kalau orang Sabah mungkin tahu lah nama asal Kota Kinabalu ni, tapi untuk penduduk di negeri-negeri lain mungkin tak tahu pasal ni. So jom kita imbau kembali macam mana nama Jesselton ni ditukarkan menjadi Kota Kinabalu.

NAMA ASAL KOTA KINABALU

Nama asal Kota Kinabalu ini ditukar pada tahun 1968, kira lepas Malaysia ditubuhkan lah. Cadangan untuk menukarkan nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu mula dinyatakan oleh Tun Mustapha Bin Datu Harun pada tahun 1966 dalam satu perhimpunan rakyat di Tambunan, Sabah.

Dikatakan Kota Kinabalu dinamakan sempena Gunung Kinabalu yang terletak lebih kurang 50 kilometer yang menjadi mercu tanda negeri Sabah. Hari ni kita belajar sikit maksud ‘kinabalu.’ Sebenarnya ‘kinabalu’ berasal daripada nama ‘Aki Nabalu.’ Aki itu bermaksud “datuk” dan Nabalu pula bermaksud “gunung” dalam bahasa Dusun. Tapi terdapat juga sumber lain yang mengatakan bahawa perkataan ‘kinabalu’ diambil daripada perkataan ‘Ki Nabalu’ dimana Ki bermaksud “wujud” dan Nabalu bermaksud “semangat orang “mati.”

Disebabkan Jesselton yang terletak di kawasan seperti pekan atau bandar, maka nama Kota Kinabalu digunakan secara rasmi sehingga lah sekarang. Sememangnya langkah untuk menukarkan nama kepada Kota Kinabalu adalah tepat untuk melambangkan identiti negeri Sabah itu sendiri.

SELAIN JASSELTON, ADA JUGA NAMA ASAL LAIN…

Ingatkan sebelum Kota Kinabalu, hanya nama Jasselton sahaja digunakan. Rupanya terdapat beberapa teori lain tentang nama asal Kota Kinabalu. Teori yang paling terkenal adalah daripada penduduk tempatan sendiri yang menyatakan nama Api-Api pernah digunakan sebelum Kota Kinabalu. Nama tersebut digunakan sempena memperingati pembakaran pejabat pentadbiran British di Pulau Gaya oleh Mat Salleh, serta kejadian kebakaran lain yang biasa dilakukan oleh lanun. Dakwaan lain pula ada menyatakan bahawa nama ‘Api-Api’ itu diambil sempena sungai berdekatan yang dipanggil Sungai Api-Api.

Selain ‘Api-Api,’ nama lain yang pernah diberikan kepada Kota Kinabalu adalah Deasoka yang bermaksud “di bawah pokok kelapa.” Penduduk tempatan, terutamanya orang Bajau, menggunakan nama tersebut untuk merujuk kepada sebuah kampung di bahagian selatan bandar yang dipenuhi pokok kelapa. Lagi satu nama lain Kota Kinabalu adalah Singgah Mata yang bermaksud “mata transit” atau “menyenangkan mata.” Ia merupakan nama yang diberikan oleh nelayan-nelayan dari Pulau Gaya suatu ketika dahulu. 

Hari ini, korang boleh lihat sendiri nama-nama lama Kota Kinabalu ni diabadikan menjadi nama-nama jalan atau bangunan di sekitar bandar tersebut. Contohnya seperti Lintasan Deasoka, Api-Api Centre dan Jalan Singgah Mata. Nama Jesselton juga ada diabadikan di Sabah iaitu sebagai sebuah pusat membeli belah yang bernama Jesselton Mall.

Penukaran nama Jesselton  kepada Kota Kinabalu dilakukan pada tanggal 30 September 1968 dan telah menerima status bandar raya daripada kerajaan Malaysia pada 2 Februari 2000. Jadi itu lah sedikit sebanyak sejarah dan juga asal usul nama Kota Kinabalu.

KATALAKI: Lepas ni kalau melancong ke Sabah boleh lah usha nama-nama lama Kota Kinabalu yang ada di sekitar bandar tu…

Last modified: 17 July 2020