Asal Usul Sukan Permotoran F1

Motorsports, Sembang, ZAP, ZeKool

Walaupun Formula 1 (F1) dah tak dianjurkan lagi di Malaysia, tapi rata-rata rakyat Malaysia tahu berkenaan kejohanan sukan permotoran F1 ni. Mungkin boleh dikatakan siapa yang pernah menonton F1 di Sepang International Circut adalah antara yang bertuah sebab lepas ni siapa yang nak tengok F1 mungkin kena terbang ke negara lain yang menganjurkannya. Antara sebab kenapa F1 dah tak buat di Malaysia adalah kosnya yang semakin tinggi, dan isu kos ni memang dari dulu lagi menjadi salah satu isu sebelum nak anjurkan F1. Walaupun sejarah F1 di Malaysia bermula semenjak tahun 1999, tetapi sejarah sukan permotoran ni telah lama bermula sejak pasca Perang Dunia Kedua lagi di Eropah.

BERMULA DARI EROPAH

Perkataan ‘Formula’ di dalam F1 sebenarnya merujuk kepada kumpulan peraturan yang harus dipatuhi oleh semua peserta dan juga kereta. Pada awalnya ia dikenali sebagai ‘Formula A’ sebelum ditukarkan kepada F1, dan selepas itu muncul pula beberapa ‘Formula’ lain iaitu F2, F3 dan F4. Perancangan untuk menganjurkan kejuaraan F1 telah di bincangkan pada akhir tahun 1930-an tetapi terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada Perang Dunia Kedua. 

Tetapi benih kepada permulaan perlumbaan F1 bermula awal daripada itu, iaitu pada tahun 1920-an dan 1930-an semasa kejuaraan Grand Prix Eropah diadakan. F1 mula diselia dan diseragamkan pada tahun 1946. Perlumbaan Kejuaraan Dunia pertama diadakan adalah pada tahun 1950 di Silverstone dan perlumbaan F1 pertama berlangsung sebulan sebelumnya di Pau Circuit, Perancis. Pada tahun-tahun awal perlumbaan, sekitar 20 perlumbaan diadakan dari hujung musim bunga hingga awal musim luruh di Eropah. Sebilangan besar kereta yang hebat-hebat yang menyertai perlumbaan itu datang dari Itali (pasukan Alfa Romeo) dan mereka menguasasai kebanyakan perlumbaan sekitar tahun 1950-an. 

EVOLUSI PERLUMBAAN F1

Acara perlumbaan F1 melalui banyak perubahan dari zaman ke zaman. Pada tahun 1958, jarak perlumbaan dipendekkan dari sekitar 300 batu kepada 200 batu sahaja, dan kereta-kereta yang bertanding harus menggunakan Avgas sahaja dan bukan campuran bahan bakar lain bersama metanol sebagai komponen utama mereka. Pada tahun 1962 pula, pasukan Lotus memperoleh kejayaan melalui teknologi baharu yang diperkenalkan mereka, iaitu kepingan aluminium pada kerangka dalam kereta yang menggantikan reka bentuk yang lama. Ini menjadikan kereta dan enjin mereka lebih efisien, dan ia merupakan permulaan Era Lotus. Melalui Lotus, Jim Clark memenangi gelaran F1 dua kali dalam masa tiga tahun. 

Semasa Grand Prix Mexico pada tahun 1965, ia merupakan kemenangan pertama buat kereta dari Jepun. Berlaku juga peristiwa ngeri semasa F1 di Jerman pada tahun 1968 di mana juara dunia, Jim Clark terbunuh dalam nahas perlumbaan. Tragedi ini telah menyebabkan peraturan keselamatan diperketatkan untuk mengelakkan tragedi yang sama berulang kembali. Kalau korang nak tahu F1 pun ada ‘world cup‘ dia sendiri yang dipanggil A1, di mana setiap pelumba mewakili negara masing-masing. Tapi acara ni cuma berlangsung dari tahun 2005 hingga 2009 je sebab tak begitu popular, atau mungkin kos yang agak tinggi untuk dianjurkan.

APA PERBEZAAN F1, F2, F3 DAN F4?

F1 adalah perlumbaan bertaraf tinggi dari semua kenderaan yang menggunakan enjin 3.5L V8 dan tidak kurang dari 850 atau lebih daripada 900 kuasa kuda. Bagi perlumbaan F1, dengan kos penyertaan yang tinggi, maka bukan mudah untuk seseorang itu menjadi pelumba F1. Kebiasaannya pemandu F1 telah pun menjadi pemandu dalam perlumbaan Grand Prix lain selama beberapa tahun.

F2 pula sebenarnya dah lama dihentikan penganjurannya sebab dah tak ramai yang berminat, dan kali terakhir diadakan adalah pada tahun 2005. Tapi acara yang paling hampir dengan F2 adalah GP2 yang masih dianjurkan sekarang. Jenis enjin dan badan dalam perlumbaan GP2 juga berbeza dengan F1. Perlumbaan GP2 dibangunkan bagi membolehkan pemandu muda memasuki pertandingan di peringkat permotoran tertinggi, iaitu F1.

F3 menggunakan enjin L4 2.0L, yang mana kuasanya tidak melebihi 200 kuasa kuda. F3 juga dianggap sebagai batu loncatan untuk calon pemandu muda yang baru nak berjinak-jinak dengan sukan permotoran. Kategori F4 pula dicipta sebagai siri perlumbaan karting yang banyak menjadi titik permulaan kepada pemandu muda. Kesemua ‘Formula’ ini berbeza dari segi jenis enjin, kereta yang digunakan dan juga kelayakan pemandu. Kalau dilihat untuk memulakan karier sebagai pemandu F1, semuanya akan bermula pada kategori paling bawah iaitu F4 atau F3. 

KATALAKI: Siapa sempat tengok F1 dekat Sepang International Circuit?

Last modified: 26 June 2020