Asal Usul Watak Winnie The Pooh!

Sembang, ZeKool

Korang mesti dah baca article aku tentang asal usul Mickey Mouse tempoh harikan? Kalau korang tak baca lagi, korang boleh baca dekat SINI. Untuk hari ini, aku akan bercerita lagi tentang salah satu animasi yang menjadi kegilaan kanak-kanak iaitu Winnie the Pooh!

Untuk mengetahui origin tentang Winnie the Pooh, kita balik ke 24 Ogos 1914. Pada hari tersebut, Lieutenant Harry Colebourn tiba di White River, Ontario dan sebaik sahaja dia turun daripada kereta api, dia ternampak seekor anak beruang yang dirantai dan sedang dijual kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Harry sememangnya dari kecil sangat sayang dengan haiwan. Pada usia 18 tahun, dia telah berhijrah ke Kanada untuk belajar Veterinary Surgery. Selepas habis belajar pada tahun 1911, dia telah berkhidmat dalam Department of Agriculture di Winnipeg.

Namun semasa perang dunia pertama tercetus, dia telah diserap masuk untuk menjadi tentera dan dipindahkan ke kem tentera di Quebec. Masa itulah dia ternampak anak beruang ini dan dia bercadang untuk membelinya daripada penjual tersebut. Penjual tersebut memberi tahu yang ibu kepada beruang ini telah dibunuh dan dia tak sanggup untuk melakukan benda yang sama kepada anak beruang tersebut. Harry kemudiannya bersetuju untuk membeli anak beruang ini pada harga USD20 dan menamakannya sebagai Winnipeg semperna nama kampung halamannya.

Semasa menjalani latihan di kem tentera Canadian Expeditionary Force di Valcartier, Harry selalu memanggil Winnipeg sebagai Winnie. Dia telah melatih Winnie dan memberikan anak beruang tersebut buah-buahan, susu dan juga corn syrup. Anak beruang ini juga turut tidur sama-sama dengan Harry dan mengikuti Harry seperti seekor anak anjing. Anak beruang ini juga jinak dengan askar-askar lain dan mereka selalu menangkap gambar bersama-sama dengan Winnie. Winnie kemudiannya dipilih untuk menjadi maskot untuk regiment mereka.

Pada awal bulan Oktober, Harry telah membawa Winnie menaiki kapal S.S Manitou untuk berlayar ke England. Dia telah ditugaskan untuk menjaga Western Front, salah satu kawasan yang selalu diserang oleh pihak musuh. Harry merasakan Winnie tidak selamat untuk berada disini dan dengan berat hati dia telah membawa Winnie ke London Zoo.

Dia kemudiannya menyerahkan Winnie kepada penjaga zoo tersebut dan berjanji akan mengambil Winnie kembali apabila perang sudah tamat dan membawanya pulang ke Kanada. Walaupun Harry hampir menemui ajal ketika sedang berperang dengan pihak musuh, dia akhirnya berjaya bertemu semula dengan Winnie pada tahun 1918.

Namun dia berasa berat hati untuk membawa Winnie pulang ke Kanada kerana semasa Winnie berada di London Zoo, dia merupakan antara haiwan yang paling jinak dan semua kanak-kanak menyukai Winnie. Pihak zoo juga membenarkan kanak-kanak untuk menunggang dan berjalan-jalan dalam kandang Winnie.

Dia akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Winnie dan pulang semula ke Kanada untuk berkerja kembali di Department of Agriculture sebelum dia mengambil keputusan membuka klinik haiwan berdekatan dengan rumahnya.

Semasa Winnie di London Zoo, seorang kanak-kanak mula menunjukkan minatnya kepada Winnie. Kanak-kanak tersebut sebenarnya adalah Christopher Robin Milne, anak kepada A.A. Milne seorang penulis terkenal dan juga merupakan pencipta watak Winnie the Pooh! Setiap hari Chris akan meminta ayahnya membawa dia ke London Zoo untuk berjumpa dengan Winnie.

Disebabkan dia sangat menyukai Winnie, Chris telah menukar nama anak patung beruangnya dari Edward kepada Winnie the Pooh. Chris juga mempunyai beberapa anak patung lain seperti Piglet, Eeyore, Kanga, Roo dan juga Tigger. Melihat anaknya cukup sayang dengan Winnie, ini telah memberikan idea kepada Milne untuk mencipta watak Winnie the Pooh dan meletakkannya dalam buku kanak-kanaknya yang bertajuk When We Were Very Young.

Watak Winnie the Pooh kemudiannya mula menjadi terkenal dan merupakan antara watak animasi yang digemari oleh kanak-kanak pada masa itu. Namun umur Winnie yang sebenar tidak panjang apabila dia telah mati pada tahun 1934. Kematiannya beruang tersebut telah mengejutkan seluruh dunia.

Demi memperingati kematian beruang jinak itu, tengkoraknya telah dihantar ke Royal College of Surgeons untuk dipamerkan. Tugu peringatannya juga telah dibina di London Zoo dan Winnipeg Assiniboine Park Zoo yang menampilkan Harry dan Winnie berpegangan tangan untuk menunjukan keakraban antara askar dari Kanada tersebut dan anak beruang yang diselamatkan daripada pemburu!

KATALAKI: Sedihnya cerita dia 🙁

Last modified: 17 December 2019