Bahaya Kongsi Nombor Akaun Bank Di Media Sosial!

Sembang, ZAP

Perayaan Aidilfitri tahun 2020 ni memang berbeza sangat dari kebiasaan. Kita cuma dibenarkan melakukan tradisi ziarah-menziarahi pada hari raya pertama sahaja. Itu pun setiap rumah tidak boleh melebihi 20 tetamu dalam satu masa. Begini lah normal baharu sambutan perayaan bagi membendung penularan wabak COVID-19. Antara tradisi lain semasa musim perayaan adalah pemberian duit raya kepada kanak-kanak terutamanya walaupun yang dah besar panjang ni pun ada yang dapat lagi. Baru-baru ni dilihat trend pemberian duit raya melalui transaksi bank semakin berleluasa. Bank-bank pun dah promote pasal e-duit raya sempena hari raya ni. Jadi tak perlu dah nak tukar duit lama ke duit baru semata-mata nak bagi duit raya.

Di media sosial pula, terdapat segelintir individu yang membuat posting pemberian duit raya dimana ia mendapat respon yang sangat menggalakkan. Hasil dari posting tersebut, maka ramai juga lah yang share nombor akaun bank diorang di ruangan komen dengan harapan dapat duit raya. Tapi tak apa ke kita share nombor akaun bank kita secara public macam tu?

BOLEH MENGUNDANG BAHAYA

Kalau korang nak tahu tindakan meletakkan nombor akaun secara public boleh mendedahkan anda kepada bahaya jenayah siber. Nombor akaun bank kita sebenarnya merupakan sebahagian daripada data peribadi kita. Lagi bahaya kalau kita kongsikan sekali dengan nombor telefon dan alamat emel kita. Ia akan mendedahkan kita kepada risiko penipuan atas talian seperti scammer dan pancingan data. Maklumat-maklumat ini boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk memecah masuk ke dalam akaun bank anda.

Tambahan lagi, maklumat peribadi yang kita kongsikan di media sosial ini boleh digunakan oleh penjenayah siber untuk menyamar menjadi diri anda dan membuat panggilan ke bank. Ataupun mereka boleh gunakan maklumat peribadi kita tu untuk menyamar jadi kita dan tipu kenalan-kenalan kita pula. Mungkin niat kita pada asalnya sekadar ingin mendapatkan duit raya boleh mengakibatkan kita kehilangan duit beribu ringgit. Nampak macam harmless tapi sebenarnya bahaya!

AMALKAN KESELAMATAN DI ALAM SIBER

Apa yang kita boleh lakukan adalah sentiasa berhati-hati dengan maklumat peribadi kita seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan juga alamat rumah. Kalau boleh hanya beri maklumat kita kepada orang tertentu sahaja dan jangan post secara public. Selain itu, kita juga perlu berhati-hati semasa berkongsi gambar di media sosial. Penjenayah siber boleh menggunakan maklumat yang ada dalam gambar tersebut untuk melakukan ‘aktiviti’ jenayah mereka. Apa-apa pun kena sentiasa beringat sebelum kita kongsikan maklumat yang dikira peribadi di media sosial.

KATALAKI: Mungkin bukan ‘trend’ yang baik untuk kongsikan nombor akaun di media sosial…

Last modified: 27 May 2020