Bapa Power, Anak Pun Power Kat Atas Padang

Aktif, Bola

Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Pepatah ni memang sesuai untuk pemain bola sepak yang berjaya menyambung legasi bapa masing-masing, bukan je sebab berjaya jadi pemain profesional tapi berjaya menjadi salah seorang pemain bola sepak ternama di dunia.

Kalau sebelum ni kita dah pernah tengok macam mana legenda bola sepak dunia yang dah bersara beraksi di dalam padang, tapi korang tahu tak sebenarnya ada anak-anak kepada legenda bola sepak dunia yang sekarang ni semakin mula mencipta nama? Pemain bola sepak terkini mana satu yang korang boleh kenal siapa bapanya yang pernah menggegarkan dunia bola sepak antarabangsa? Kali ni, mari kita tengok sama ada korang kenal atau tak bapa kepada pemain bola sepak yang kini bergelar pemain ternama dunia.

Erling Braut Håland / Alf-Inge Håland

Lahir pada tahun 2000 di England, nama Erling Braut Håland mula popular pada tahun 2019 selepas aksi mantap yang ditampilkan bersama pasukan Norway dan Red Bull Salzburg di pentas Piala Dunia 2019 Bawah 20 Tahun dan UEFA Champions League.

Bersama dengan pasukan kebangsaan Norway, Erling Braut Håland berjaya mencipta rekod baru dalam perlawanan menentang Honduras, pemain paling banyak yang pernah jaringkan gol dalam satu perlawanan di Piala Dunia 2019 Bawah 20 Tahun. Erling Braut Håland jaringkan 9 gol dalam perlawanan tersebut.

Bapa kepada Erling Braut Håland iaitu Alf-Inge Håland sebenarnya juga pemain bola sepak profesional dan pernah beraksi bersama Manchester City pada tahun 2000. Alf-Inge Håland pernah mengaku yang dirinya terlalu benci dengan Manchester United dan Roy Keane selepas insiden yang berlaku di dalam padang, Alf-Inge Håland dibentes secara kasar oleh Roy Keane sehingga menyebabkan kecederaan yang berpanjangan sehingga terpaksa bersara awal.

Ada peluang la nampaknya untuk Erling Braut Håland berpindah ke Manchester City untuk ikut jejak langkah bapanya.

Justin Kluivert / Patrick Kluivert

Justin Kluivert mula mencipta nama dalam arena bola sepak antarabangsa semasa beraksi bersama pasukan Ajax Amsterdam sebelum berpindah ke A.S. Roma pada tahun 2018.

Justin Kluivert yang lahir pada tahun 1999 memegang rekod pemain A.S Roma paling muda dalam sejarah yang pernah menjaringkan gol dalam perlawanan UEFA Champions League, menentang Viktoria Plzeň. Gol tersebut juga merupakan gol pertama yang dijaringkan oleh Justin Kluivert untuk A.S Roma.

Bapa kepada Justin Kluivert iaitu Patrick Kluivert, tipu la kan kalau korang minat bola tapi tak kenal siapa Patrick Kluivert. Pemain legenda Belanda ni pernah menang UEFA Champions League pada tahun 1995 bersama Ajax. Sekarang ni Patrick Kluivert bertugas sebagai pengarah akademi bola sepak Barcelona sejak bulan Julai 2019.

Luca Zidane / Zinedine Zidane

Kalau nak cerita pasal anak kepada legenda Perancis dan Real Madrid iaitu Zinedine Zidane, semua 4 orang anak lelaki Zinedine Zidane terlibat dalam bola sepak. Ada yang dah bermain secara profesional dan ada gak yang masih digilap di akademi bola sepak Real Madrid.

Anak kedua Zinedine Zidane iaitu Luca Zidane sekarang ni antara pemain bola sepak muda yang semakin mencipta nama. Tapi Luca Zidane bukan bermain sebagai pemain tengah macam Zinedine Zidane. Luca Zidane merupakan penjaga gol untuk pasukan Racing Santander yang dipinjamkan daripada Real Madrid pada tahun 2019. Pada tahun 2015, Luca Zidane pernah menjulang piala UEFA European Bawah 17 Tahun bersama pasukan Perancis.

KATALAKI: Setakat ni belum pernah lagi ada anak-beranak yang menang Ballon d’Or.

Last modified: 26 November 2019