Barkley Marathon – Larian Marathon Paling Extreme!

Sembang

Setiap tahun sebelum hari April Fools, dalam 40 orang pelari telah dipilih untuk bertanding dalam salah satu acara marathon paling extreme di dunia iaitu Barkley Marathon. Dalam acara marathon ini, kesemua 40 orang pelari perlu menyelesaikan lima pusingan yang sejauh 160 kilometer yang mana setiap tahun, 98% orang yang bertanding akan gagal!

Bagi korang yang tak pernah dengar tentang Barkley Marathon, ianya merupakan acara marathon tahunan yang dijalankan di kawasan pergunungan Tennessee, Amerika Syarikat. Acara marathon ini sangat unik kalau nak dibandingkan dengan marathon lain sebab peserta tidak akan tahu bila waktu marathon ini akan bermula.

Satu-satunya cara untuk mereka tahu acara tersebut akan berlangsung adalah apabila mereka terdengar bunyi wisel yang mana itu akan menandakan mereka ada masa lagi sejam sebelum acara bermula. Biasanya ia akan bemula pada waktu tengah malam dan ini agak menyukar pelari untuk menyelesaikan larian mereka.

Apabila acara bermula, pelari cuma mempunyai masa selama 60 jam untuk menyelesaikan larian marathon ini. Pelari akan berlari sejauh 160 kilometer dalam keadaan gelap gelita di dalam hutan. Pada tahun 2017, beberapa orang pelari hampir terjatuh daripada tebing bukit kerana kabus yang tebal dan banyak pelari yang menarik diri selepas 12 jam berlari.

Walaupun acara ini diadakan di dalam hutan, banyak sebenarnya benda-benda menarik yang dorang akan jumpa semasa sedang berlari. Salah satunya mereka akan melalui Brushy Mountain State Penitentiary, sebuah penjara yang telah lama tidak digunakan lagi.

Macam yang aku cakap tadi, acara marathon ini akan bermula dengan 40 orang namun bukan semua berjaya menyelesaikan larian ini. Dari tahun 1986, ketika acara marathon ini pertama kali diadakan sehingga tahun 2017, hanya 14 orang sahaja yang berjaya tamatkan larian ini.

Pasti korang tertanya-tanya macam mana Barkley Marathon ini boleh tercipta dan seterusnya dijadikan sebagai acara tahunan. Sebenarnya ia bermula pada tahun 1977 apabila James Earl Ray, pembunuh Martin Luther King telah berjaya melarikan diri daripada Brushy Mountain Prison. Dia telah berada di dalam hutan tersebut selama 60 jam, namun cuma mampu melarikan diri sejauh 12 kilometer sahaja.

Ketika itu, Gary Cantrell telah memberitahu rakan-rakannya yang dia boleh berlari sejauh 160 kilometer lebih jauh daripada James kalau diberikan masa 60 jam. Lalu dia dan rakan-rakannya mula bertaruh namun Gary tidak pernah dapat menyelesaikan larian tersebut.

Semenjak dari itu, larian ini telah menjadi semakin popular dan Gary yang kini dikenali sebagai Lazarus Lake telah menjadi orang yang bertanggungjawab untuk memulakan acara ini setiap tahun. Untuk membuktikan seseorang itu berjaya menyelesaikan larian, mereka perlu mencari beberapa buah buku yang telah diletakkan di sepanjang laluan larian ini.

Buku-buku ini pula telah dipilih sendiri oleh Gary dan hanya dia sahaja yang tahu buku apa yang dia telah letakkan disepanjang laluan ini. Bagi mereka yang terpilih untuk acara marahon ini, mereka hanya perlu membawa USD1.60 dan sekotak rokok sahaja sebagai yuran penyertaan. Bagi mereka yang baru pertama kali menyertai larian ini, mereka perlu membawa license plate daripada kawasan tempat tinggal mereka untuk digantungkan dihadapan pintu masuk.

KATALAKI: Setakat hari ini, tiada sorang pun yang pernah terkorban dalam acara larian marathon ini.

Last modified: 21 October 2019