Belasah Lelaki Asia, Mark Wahlberg Pernah Dipenjarakan

Sembang, ZAP

Menurut senarai terbaru yang dikeluarkan oleh Forbes, selain daripada The Rock, Ryan Reynolds, Ben Affleck dan Vin Diesel, Mark Wahlberg juga merupakan salah seorang pelakon lelaki yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood pada tahun 2020, menerusi filem terbaru yang ditayangkan di Netflix bertajuk Spenser Confidential. Sebelum Mark Wahlberg dilabelkan sebagai salah seorang pelakon ternama Hollywood, korang tahu tak sebenarnya Mark Wahlberg pernah terlibat dengan beberapa tragedi kekejaman?

Ketika berumur 17 tahun pada tahun 1988, Mark Wahlberg pernah didakwa di mahkamah selepas menyerang dua orang lelaki yang berasal dari Vietnam, sehingga menyebabkan salah seorang mangsa pengsan, dipukul menggunakan sebatang kayu. Mangsa yang kedua, ditumbuk di bahagian mata. Mark Wahlberg yang ditahan oleh pihak polis, mengaku bersalah di mahkamah dan didenda hukuman penjara selama 2 tahun. Walau bagaimanapun, Mark Wahlberg hanya menjalani hukuman penjara selama 45 hari.

Pada tahun 1992, Mark Wahlberg sekali lagi menyebabkan kecederaan kepada orang awam, kali ni melibatkan jirannya sendiri yang retak tulang di bahagian dagu selepas ditendang oleh Mark Wahlberg. Kali ni, nasib Mark Wahlberg lebih baik, kes yang dibawa ke mahkamah berjaya diselesaikan dengan cara yang lebih mudah di luar mahkamah, berjaya mengelakkan diri daripada dikenakan hukuman yang lebih berat.

Sebelum melibatkan diri dalam bidang lakonan, Mark Wahlberg terlebih dahulu terjebak dalam dunia hiburan menerusi penglibatan dalam bidang muzik, menggunakan nama Marky Mark ketika menganggotai sebuah kumpulan hip-hop yang dikenali sebagai Marky Mark and the Funky Bunch. Sebelum menubuhkan kumpulan Marky Mark and the Funky Bunch, Mark Wahlberg merupakan salah seorang anggota asal kumpulan New Kids on the Block bersama abangnya, Donnie Wahlberg. Tapi, Mark Wahlberg memilih untuk meninggalkan kumpulan New Kids on the Block lebih awal untuk menubuhkan kumpulan baru, Marky Mark and the Funky Bunch, pernah keluar dua album pada tahun 1991 dan 1992.

Semasa nama Marky Mark yang bertubuh sasa mula mendapat perhatian media sehingga dipilih untuk memperagakan seluar dalam berjenama Calvin Klein, Mark Wahlberg mula dibawa masuk ke dalam kaca TV menerusi rancangan The Substitute yang ditayangkan pada tahun 1993. Bila ramai yang dah perasan bakat lakonan yang dimiliki oleh Mark Wahlberg, bermula lah perjalanan Mark Wahlberg sebagai seorang pelakon di Hollywood apabila diberi tanggungjawab untuk memegang watak penting dalam filem pertama lakonannya, Renaissance Man, ditayangkan pada tahun 1994. Sejak mula berlakon dalam filem pertama, Mark Wahlberg tidak lagi menggunakan nama Marky Mark tapi kekal menggunakan nama baru, Mark Wahlberg. Sehingga kini, Mark Wahlberg dah pernah berlakon dalam lebih daripada 50 filem, pernah tercalon untuk anugerah Best Supporting Actor di Academy Awards menerusi filem The Departed pada tahun 2007 dan pernah gak tercalon untuk anugerah Best Actor – Motion Picture Drama di Golden Globe Awards pada tahun 2011 menerusi filem The Fighter.

 

View this post on Instagram

 

My ❤️

A post shared by Mark Wahlberg (@markwahlberg) on

KATALAKI: Mark Wahlberg juga akan terlibat sebagai salah seorang pelakon untuk filem Uncharted, yang diinspirasikan daripada permainan video popular, digandingkan bersama Tom Holland dan Antonio Banderas.

Last modified: 17 August 2020