Benarkah Syaitan Diikat Semasa Bulan Ramadan?

Sembang, ZeKool

Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa buat umat Islam. Kalau diikutkan sirah nabi, ayat-ayat pertama Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadan. Ganjaran pahala pula lebih besar bagi setiap kebaikan yang kita lakukan. Tambahan lagi, setiap kali bulan Ramadan, banyak perkara-perkara maksiat ditinggalkan dan hanya amalan yang membawa kepada ganjaran pahala je yang dilakukan.

Sejak dari kecil memang kita dah diberitahu bila masuk bulan Ramadan, syaitan-syaitan akan diikat dan tidak boleh menghasut lagi manusia melakukan perkara yang jahat. Mungkin sebab tu ada di antara kita yang berubah jadi baik bila masuk bulan Ramadan, sebab tak ada suara-suara jahat yang menghasut. Masyarakat melayu yang percaya kuat dengan kewujudan hantu pun yakin yang bulan Ramadan tak akan ada hantu yang terlihat. Tapi bila tular video suara kuntilanak semasa bulan Ramadan, secara logiknya syaitan masih ada lah masa bulan Ramadan.

TAK SEMUA SYAITAN DIIKAT

Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dimuat naik dalam bentuk artikel, gangguan makhluk halus masih boleh terjadi di dalam bulan Ramadan. Syaitan yang diikat atau dibelenggu adalah syaitan yang besar atau kuat sahaja, manakala selebihnya masih ada. Tambahan lagi, apabila syaitan-syaitan ini diikat ia bermaksud mereka tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan lain.

Itu lah maksud utama bila kita sebut syaitan diikat bila tiba bulan Ramadan. Sebenarnya gangguan makhluk halus pun masih boleh terjadi di bulan Ramadan. Gangguan atau godaan syaitan boleh dielakkan dengan memperbanyakkan ibadah dalam bulan Ramadan seperti membaca Al-Quran, berzikir dan lain-lain ibadah.

Terdapat juga terjemahan lain tentang maksud syaitan diikat, iaitu para syaitan tidak dapat memberi godaan kepada umat Islam seperti bulan-bulan lain kerana umat Islam itu sendiri yang sibuk dengan ibadah berpuasa yang berperanan mengawal nafsu.

MASIH BERMAKSIAT DI BULAN RAMADAN

Selama 11 bulan syaitan mendidik kita untuk melakukan maksiat. Bila tiba bulan Ramadan, syaitan tak ada kuasa untuk goda kita dan apa yang kita lakukan adalah berpandukan nafsu kita sendiri. Jadi agak sukar juga untuk kita meninggalkan perkara-perkara yang jelik semasa bulan Ramadan sebab dah terbiasa melakukannya dalam bulan-bulan yang lain. Contohnya kalau kita gemar membawang dan mengata belakang orang pada bulan-bulan lain, bila masuk bulan Ramadan kita masih lagi membawang dan mengata belakang. Ini lah hasil didikan dan bisikan daripada syaitan selama 11 bulan untuk kita lakukan perkara-perkara yang jelik dalam bulan Ramadan.

Boleh dikatakan segala kemaksiatan yang kita lakukan dalam bulan Ramadan adalah nafsu kita sendiri, dan bukannya ajakan atau hasutan syaitan. Sebab itu juga lah para agamawan menyeru untuk umat Islam menyibukkan diri melakukan amal Ibadah dalam bulan Ramadan bagi membersihkan semula hati dan membuang sifat-sifat yang jelik.

Tabiat kita membeli barangan online dalam skala besar pun dikira sebagai nafsu juga dalam bulan Ramadan ni. Elakkan pembaziran merupakan amalan yang diseru kerana membazir itu amalan syaitan.

KATALAKI: Gunakan lah bulan Ramadan ni untuk bersihkan jiwa kita sebersih-bersihnya…

Last modified: 12 May 2020