‘Bentong Kali’ – Tembak Sesuka Hati Dan Tak Takut Mati

Sembang

Kalau korang membesar sekitar tahun 1990-an (membesar tau, bukan baru lahir), mungkin korang familiar dengan kes penjenayah hati kering yang terkenal dengan nama Bentong Kali. Kalau hari tu Thelaki ada bercerita tentang Rambo Bentong, kali ini kisah Bentong Kali pula yang mana kedua-duanya merupakan penjenayah yang berbeza. Apa yang ganas tentang Bentong Kali ni adalah dia dikatakan sebagai seorang penjenayah yang tidak mempunyai hati perut kerana suka menembak orang awam yang tak bersalah tanpa sebab munasabah.

JIWA SEBATI DENGAN JENAYAH

Betong Kali atau nama sebenarnya Kalimuthu A/L Pakirisamy merupakan seorang lelaki yang berasal dari Bentong, Pahang. Dia dilahirkan pada 22 Januari 1961 dan merupakan anak ke lapan daripada 11 orang adik beradik. Kira big family juga lah keluarga dia ni. Menurut laporan, Bentong kali mula menyertai kumpulan kongsi gelap (Gang 04) seawal usia 14 tahun. Ketika itu dia sudah pun berhenti daripada alam persekolahan. Jadi bermula dari situ, Bentong kali mula berjinak-jinak dengan jenayah-jenayah ‘kecil’ seperti merompak, menyeludup dadah serta peras ugut orang awam. Tapi tak ada lah kecil mana pun jenayah yang dia mula-mula buat. Cuma dalam ‘gang’ jenayah, tu dianggap sebagai jenayah kecil lah. Dia dikatakan aktif melakukan aktiviti jenayah di sekitar Brickfields, Segambut, Sungei Way dan Ampang. 

MASUK PENJARA BUAT PERTAMA KALI

Selepas aktif lebih kurang lima tahun melakukan jenayah, Bentong Kali ditangkap buat kali pertama dan dimasukkan ke dalam penjara ketika usianya baru 19 tahun. Dah masuk penjara pada usia seawal itu pun tak mampu untuk menginsafkan dia. Selepas dibebaskan, Bentong kali mula menyertai kumpulan kongsi gelap yang lain pula iaitu ‘Gang 08.’ Menurut laporan, dalam ‘Gang 08’ Bentong Kali dikatakan mengepalai kumpulan tersebut dan melakukan jenayah seperti pengedaran dadah.

Pada bulan Julai 1985 tu dia ditahan mengikut Ordinan Darurat dan ditempatkan di Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Selepas itu dia dibebaskan pada tahun 1987 dan dikenakan house arrest di Kuantan, Pahang. Dikatakan Bentong Kali sempat membuat perancangan-perancangan jenayah yang akan dia lakukan bila dia bebas nanti. 

MATLAMAT HIDUP MENJADI PENJENAYAH

Sepertinya dunia jenayah sudah sebati dalam dirinya, sebaik sahaja dia dibebaskan, Bentong Kali menubuhkan kumpulan jenayahnya sendiri yang digelar kumpulan kongsi gelap 04. Gang kongsi gelapnya tertumpu di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Antara kegiatan utama kumpulannya adalah aktiviti mengedar dadah. Pada tahun 1990, Bentong Kali ditahan lagi dan didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya. Walau bagaimanapun, dia terlepas daripada hukuman sebab tiada bukti yang cukup untuk mensabitkan kesalahannya. 

BUNUH ORANG SESUKA HATI TANPA SEBAB MUNASABAH

Semasa awal tahun 1990-an, nama Bentong Kali mula popular. Dia ni dikatakan sangat jahat dan tak berhati perut sebab menembak mati ramai orang awam tanpa sebab. Dikatakan dia pernah menembak mati seorang penjual roti canai kerana menegurnya. Bukan teguran apa, tetapi teguran tidak puas hati sebab Bentong Kali kencing di kawasan gerai penjual roti canai itu. Nampaknya Bentong Kali tidak memerlukan alasan yang kukuh untuk menembak mati seseorang. Kena tegur pun dah cukup untuk dia menamatkan riwayat seseorang dengan tembakan jarak dekat.

Kejadian bunuh paling gila yang pernah dilakukan Bentong Kali adalah semasa dia pergi menyerbu satu birthday party. Kira-kira 40 orang awam berada pada sambutan hari jadi tersebut, dan di situ tanpa memberikan sebarang amaran, Bentong Kali bersama rakan jenayahnya melepaskan sembilan das tembakan secara rambang. Gila tak gila juga lah Bentong Kali ni. Kejadian itu telah mengakibatkan enam orang terkena peluru tembakannya, dan empat daripada mereka maut. 

Dikatakan sikap panas baran Bentong Kali ini terjadi kerana keinginannya untuk menguasai pasaran dadah di Kuala Lumpur. Kalau ada kumpulan kongsi gelap lain yang cuba untuk mencabarnya, Bentong Kali tidak teragak-agak untuk membunuh mereka. Dari tahun 1991 sehingga tahun 1993, Bentong Kali aktif membunuh dimana seramai 16 orang yang tidak bersalah telah dibunuhnya. 

MULA DIBURU POLIS SECARA BESAR-BESARAN

Pada bulan Jun 1993, pihak polis mula melancarkan Ops Buncit bagi menghentikan keganasan Bentong Kali yang sememangnya sudah tidak dapat dibendung lagi. Ops Buncit disertai seramai 200 pegawai polis dan anggota polis dari Kuala Lumpur, Pahang dan Selangor digerakkan secara besar-besaran untuk memberkas penjenayah ganas ini. Sekatan turut dijalankan di sempadan Thailand bagi mengelakkan Bentong Kali lolos ke negara jiran.

Semasa operasi memburu Bentong Kali dijalankan, pihak polis mengwar-warkan poster yang memaparkan wajah Bentong Kali di tempat awam dengan menawarkan ganjaran RM100,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah ganas itu. Kes buruan Bentong Kali terus menjadi isu hangat sehingga menimbulkan ketakutan orang awam. Disebabkan poster muka Bentong Kali dah terpapar di serata tempat awam, maka Bentong Kali pun berasa berang dan menelefon Ketua Operasi ketika itu (Dato’ Zaman Khan) untuk datang menangkapnya. Dengan polis pun dia tak takut!

Tapi sepanjang Ops Buncit itu berjalan, Bentong Kali tetap menyembunyikan dirinya daripada dikesan oleh pihak polis. Ingatkan berani sangat tadi. Sebenarnya kejayaan menumpaskan Bentong Kali adalah hasil tindakan bijak daripada pihak polis yang menghebahkan berita yang mengatakan Bentong Kali sedang berada di luar negara. Jadi berita rekaan itu telah membuatkan Bentong Kali berasa selamat daripada dicari pihak polis di dalam negara. Dalam kelekaannya, Bentong Kali keluar dari tempat persembunyiannya, dipercayai untuk mencari seorang bekas konconya di Jalan Klang Lama.

TUMPASNYA PENJENAYAH GANAS BENTONG KALI

Hasil daripada intipan pihak polis, akhirnya membawa kepada markas persembunyian penjenayah itu yang berada di sebuah rumah teres dua tingkat di Medan Damansara, Kuala Lumpur pada 29 Jun 1993. Menerusi laporan yang pernah dikeluarkan, semasa operasi untuk menumpaskan Bentong Kali, kawasan rumahnya dikepung oleh sepasukan anggota elit polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. Dikatakan juga unit pemusnah bom turut menyertai operasi tersebut.

Situasi di situ tiba-tiba bertukar genting dengan aksi tembak-menembak. Bentong Kali dan pengikutnya melepaskan dua das tembakan kepada polis, tetapi tembakan mereka tidak kena pada anggota polis. Dengan tindakan agresif penjenayah ganas itu yang cuba melarikan diri, pihak polis dengan pantas membalas tembakan ke arah mereka. Operasi yang berlaku sekitar jam 6.30 pagi itu mengakibatkan Bentong Kali bersama rakan jenayahnya mati ditembak. Satu das tembakan di kepala Bentong Kali akhirnya menamatkan riwayat sang penjenayah ganas, dan telah terpahat lah kejayaan anggota polis dalam menumpaskan penjenayah yang paling dikehendaki itu.

KATALAKI: Dia punya kejam tembak orang sesuka hati tu memang tak boleh bawak bincang…

Last modified: 3 August 2020