Betul Ke Patung Seks Ganti Penyokong Di Stadium?

Aktif, Bola

Kalau sebelum ni setiap hari kita disajikan dengan berita bola sepak yang berlaku di dalam padang, kini tidak lagi sejak normal baharu menjadi budaya baru penduduk dunia. Berita yang paling meletup buat masa ni adalah mengenai kelab bola sepak yang beraksi di K-League, Korea Selatan, FC Seoul yang menggunakan patung seks di tempat duduk penyokong untuk menggantikan penyokong yang tidak dibenarkan hadir ke dalam stadium sejak pandemik COVID-19 menyerang dunia. Malang sekali, penyokong FC Seoul sendiri tidak bersetuju dengan tindakan kelab menggunakan patung seks di tempat duduk penyokong.

Disebabkan menerima kecaman yang teruk daripada peminat bola sepak dan penyokong sendiri, FC Seoul mengeluarkan kenyataan permohonan maaf tak lama selepas tamat perlawanan, di Instagram dan Facebook. Menurut FC Seoul, patung tersebut bukan patung seks, tapi sebaliknya merupakan patung premium yang ditempah khas untuk diletakkan di tempat penyokong. Walau bagaimanapun, FC Seoul tetap mengaku yang patung tersebut dibekalkan oleh pembekal patung seks. Secara keseluruhan, sebanyak 30 patung yang diletakkan di tempat duduk penyokong FC Seoul, 28 patung perempuan dan 2 patung lelaki.

Kalau korang tak berapa kenal kelab bola sepak di K-League, FC Seoul yang ditubuhkan sejak tahun 1983, merupakan salah satu kelab bola sepak paling ternama dan berjaya di Korea Selatan, pernah menjulang piala K-League sebanyak 6 kali pada tahun 1985, 1990, 2000, 2010, 2012 dan kali terakhir pada tahun 2016, sejak K-League bergelar liga bola sepak profesional pada tahun 1983.

Selain daripada FC Seoul, kelab bola sepak Korea Selatan lain yang memberi saingan sengit kepada FC Seoul adalah Pohang Steelers (5 kali juara K-League), Jeonbuk Hyundai Motors (7 kali juara K-League) dan Seongnam FC (7 kali juara K-League).

K-League merupakan liga bola sepak di dunia yang terawal memulakan aksi perlawanan bola sepak selepas ditangguh disebabkan penularan wabak COVID-19. Berbeza dengan liga bola sepak Eropah yang tertangguh semasa saingan liga dah pun bermula, K-League baru memulakan saingan liga musim terbaru selepas dibenarkan berlangsung secara tertutup berserta peraturan baru yang perlu dipatuh untuk mengelakkan pandemik COVID-19 kembali berulang.

KATALAKI: Buat masa ni, belum ada lagi pemain ternama Eropah yang berani beraksi di K-League.

Last modified: 19 May 2020