Beza Setiap Jenis Durian Popular Di Malaysia

Sembang

Musim durian datang lagi. Musim yang paling ditunggu-tunggu oleh penggemar buah durian setiap tahun. Kalau nak kira biji mungkin dah tak terkira, tapi berapa banyak duit yang korang dah laburkan untuk memuaskan selera durian korang setakat ni? Digelar raja segala buah, durian mempunyai beberapa jenis yang pastinya memiliki kelainan yang tersendiri dan dah tentu sekali harga yang berbeza. Tapi, sebenarnya masih ada lagi penggemar buah durian yang belum lagi kenal perbezaan sebenar setiap jenis durian. Lain orang, lain jenis buah durian yang diburu.

Sebelum kita kenal beberapa jenis durian yang akan kami ceritakan kejap lagi, ada juga yang dah berkongsi mengenai tip memilih buah durian sebelum membeli di media sosial. Ada yang berpendapat, pilih durian berdasarkan tangkai. Kalau tangkai buah durian tebal dan pendek, durian tersebut mempunyai isi yang banyak dan tebal. Kalau buah durian bertangkai nipis dan panjang, durian tersebut mempunyai isi yang sikit. Korang dah pernah cuba petua ni?

Selain daripada tu, ada juga yang mengatakan warna buah durian tidak memberi apa-apa makna dan petunjuk mengenai isi yang ada dalam durian tersebut. Buah durian yang hijau segar, belum tentu lagi mempunyai isi yang enak untuk ditelan. Banyak lagi sebenarnya tips memilih buah durian yang korang boleh kaji dan cuba, cari je di internet lepas tu kena lah cuba sendiri sama ada betul atau tips yang korang baca tu. Sekarang ni, mari kita kenal beberapa jenis buah durian popular yang selalu menjadi dambaan penggemar-penggemar buah durian.

MUSANG KING

Salah satu jenis buah durian paling popular bila tiba musim durian. Bila banyak permintaan, korang pun kena lah faham macam mana harganya. Durian Musang King memiliki isi yang sederhana besar, tebal dan berbentuk bulat membujur. Rasanya pula manis, pahit dan berlemak.

D24

Daripada luaran, penggemar buah durian dah boleh kenal mana satu durian D24. Berkulit hijau muda, nipis dan mudah dibuka, durian D24 juga mempunyai rasa manis, pahit dan berlemak. Tapi durian D24 memiliki isi durian yang lebih tebal berbanding jenis-jenis durian yang lain.

UDANG MERAH

Mempunyai isi buah durian yang berbentuk bujur, durian Udang Merah juga memiliki rasa lemak dan manis, tapi takde rasa pahit. Isi buah durian Udang Merah juga lebih melekit dan lembik berbanding jenis buah durian yang lain.

BESERAH

Buah durian Berserah mempunyai saiz yang besar dan berbentuk bulat, berasal dari Beserah, Pahang. Buah Durian Berserah juga memiliki rasa lemak dan manis, tapi isinya lebih halus kalau nak dibandingkan dengan jenis buah durian yang lain. Aroma yang dimiliki oleh durian Berserah pula tidak terlalu kuat.

BLACK PEARL

Warna kulit buah durian Black Pearl tidak sehijau jenis-jenis durian yang lain. Isi buah durian Black Pearl juga berwarna kuning pucat. Tapi, durian Black Pearl memiliki biji yang kecil dan isi yang tebal menyebabkan kita cepat rasa kenyang walaupun dimakan dalam kuantiti yang sikit. Rasanya, berlemak dan sedikit pahit.

KATALAKI: Semasa kita tengah menggila dengan musim durian, kita tetap kena hormat sensitiviti orang lain yang tak boleh langsung terhidu bau durian.

Last modified: 23 June 2020