Bill Gates & Microsoft Penyelamat Apple

Sembang

Umum dah tahu mengenai Apple dan Microsoft yang merupakan dua syarikat gergasi dalam bidang teknologi. Apple berjaya dengan sistem operasi macOS yang diangkat sebagai sistem operasi komputer paling selamat di dunia dan Microsoft dengan sistem operasi Windows yang sentiasa menjadi pilihan kebanyakan pengguna komputer. Walaupun Apple dan Microsoft dianggap musuh ketat dalam bidang teknologi dan komputer, tapi pengasasnya, Steve Jobs dan Bill Gates ada sejarah tersendiri.

Penubuhan dua syarikat terkemuka di dunia, Apple dan Microsoft juga berlaku dalam jangka masa yang dekat, selang setahun. Microsoft ditubuhkan oleh Bill Gates dan Paul Allen pada 4 April 1975, Apple ditubuhkan oleh Steve Jobs, Steve Wozniak dan Ronald Wayne pada 1 April 1976. Masa zaman tersebut, persaingan antara Apple dan Microsoft sentiasa berada di tahap tertinggi memandangkan masing-masing fokus menghasilkan sebuah komputer paling berguna kepada manusia dan software terbaik untuk komputer masing-masing. Zaman tu belum wujud lagi persaingan untuk mencipta telefon pintar paling canggih di dunia. Walau bagaimanapun, Apple lebih sukar mencapai kejayaan kalau nak dibandingkan dengan Microsoft daripada segi penjualan produk memandangkan produk Apple lebih mahal daripada produk yang dipasarkan di bawah jenama Microsoft.

Pada tahun 1985, Steve Jobs pernah meletakkan jawatan dan meninggalkan Apple selepas kecanggihan Macintosh dikalahkan oleh komputer yang dikeluarkan oleh IBM. Tapi, pada tahun 1997, semasa Apple mengalami kerugian teruk sehingga hampir bankrap, Steve Jobs dipujuk untuk kembali bersama dengan Apple bagi membetulkan kekalutan yang berlaku. Dalam masa yang sama, Apple juga pernah memfailkan saman terhadap Microsoft pada tahun 1995 selepas Microsoft dikatakan mencuri dan meniru beberapa software yang dikeluarkan oleh Apple.

Pada 6 Ogos 1997, satu berita yang mengejutkan, diumumkan sendiri oleh Steve Jobs. Apple yang diketuai oleh Steve Jobs, mengumumkan mengenai kerjasama bersama Microsoft, memasarkan software Microsoft Office versi terbaru yang boleh digunakan di Macintosh. Sebagai tanda persetujuan, Microsoft yang diketuai oleh Bill Gates, melabur sebanyak 150 juta USD untuk membeli stok Apple. Sejak menerima nilai pelaburan sebanyak 150 juta USD dari Microsoft, Apple berjaya mempersembahkan produk terbaru dikenali sebagai iMac pada tahun 1998, yang mengangkat semula jenama Apple di persada dunia dan berkekalan sehingga kini.

KATALAKI: Kadang-kadang, musuh kita sendiri yang boleh membantu diri kita untuk mencapai potensi diri.

Last modified: 29 July 2020