Bintang² Bola Sepak Paling Rajin Menderma

Aktif, Bola, Sembang, ZAP, ZeKool

Pemain bola sepak sekarang dah jadi salah satu kerjaya yang berpendapatan tinggi. Tapi mungkin bukan semua pemain bola dapat gaji yang tinggi. Semuanya bergantung kepada ‘market’ masing-masing juga. Walau bagaimanapun, bila dah bergelar seorang bintang bola sepak dan menjadi pemain yang mempunyai demand yang tinggi, tentu sekali pemain bola sepak itu akan mendapat imbuhan yang banyak. Maka ada lah juga bintang bola sepak yang menggunakan hasil kekayaannya bermain bola sepak untuk membantu orang lain. Dalam erti kata lain, mereka banyak melakukan amal jariah dengan memberikan sumbangan kepada NGO² yang memerlukan. Kalau biasa kita dengar nama bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo dan juga Mohamed Salah yang selalu memberikan sumbangan, kali ini kita gali lagi siapakah bintang-bintang bola sepak lain yang suka menderma.

WILFRIED ZAHA

Wilfried Zaha merupakan pemain yang kini beraksi bersama kelab bola sepak Crystal Palace F.C dalam Liga Perdana Inggeris, dan juga mewakili negaranya Ivory Coast dalam piala dunia. Pemain berusia 28 tahun ini pernah merangkul Anugerah Best of Africa 2019 sebagai Philanthropic Endeavour atas jasa dan amal baiknya memberikan 10 peratus daripada gaji bulanannya kepada badan amal di negara asalnya. Keputusan untuk memberikan 10 peratus daripada gajinya itu dikatakan telah lama dirancangnya, iaitu bermula dari awal karier bola sepaknya. Menurut Zaha, dia turut membantu rumah anak yatim milik kakaknya dan perkara itu membuatkan dia berasa seronok kerana dapat melihat anak-anak yatim itu terjaga dan gembira.

JUAN MATA

Juan Mata boleh dikatakan antara bintang bola sepak yang terkenal juga. Sering dilihat beraksi bersama kelab bola sepak Chelsea sekitar tahun 2011 sebelum berpindah ke Manchester United pada tahun 2014. Sikap dermawan Juan Mata dikatakan bukan sahaja hanya menyumbangkan hasil duitnya sendiri, tetapi turut mengajak rakan-rakan profesionalnya yang lain untuk menyumbang. Mata memulakan kumpulan amal ‘Common Goal’ bersama dengan Jurgen Griesbeck dan Thomas Preiss pada tahun 2017, dan setakat ini kumpulan amal tersebut berjaya mengajak 122 pemain dan pengurus bola sepak yang mana masing-masing menyumbangkan 1 peratus daripada gaji bulanan mereka. 

Common Goal kemudian menghantar wang yang dikumpulkan ke pelbagai NGO di seluruh dunia seperti SportForLifeUK, Program Pembangunan Bola Sepak Cameroon dan juga Projek One World Play. 

HECTOR BELLERIN

Pemain pertahanan Arsenal pernah menjadi tajuk utama akhbar pada bulan Jun 2017 kerana memberikan sumbangan besar kepada mangsa kebakaran Grenfell Tower. 72 nyawa terkorban dalam tragedi yang berlaku kira-kira tujuh batu dari stadium Emirates Arsenal, dan Héctor Bellerín menjadi orang pertama dalam komuniti bola sepak yang menghulurkan sumbangan. Menurut laporan, pemain yang berasal dari Sepanyol itu berjanji untuk menyumbangkan sebanyak 50 pound sterling untuk setiap minit masa dia bermain pada Kejohanan Eropah U21. Selain itu, Bellerín turut menyatakan hasrat untuk menyumbangkan kasut bola jenama Puma kepada badan amal yang memerlukan, dan turut membantu Reach Out UK.

JERMAIN DEFOE

Jermain Defoe dikatakan banyak melakukan amal kebajikan sehingga dianungerahkan Order of the British Empire (OBE) semasa Ulang Tahun Kelahiran Permaisuri England pada tahun 2018. Penyerang bagi pasukan bola sepak Rangers dalam Liga Perdana Scottish itu dikatakan memulakan ‘Jermain Defoe Foundation’ pada tahun 2013 untuk membantu kanak-kanak yang terancam di Caribbean.

Bagi peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris mesti mengenali Defoe yang sering dilihat bermain bersama kelab Tottenham Hotspur. Tapi nama Defoe mula dikenali sebagai bintang bola sepak yang baik hati selepas dia membantu seorang anak kecil yang menderita penyakit barah. Anak kecil tersebut adalah Bradley Lowery, dan beberapa kali dilihat dibawa oleh Defoe ke dalam stadium sebagai maskot sebelum game dimulakan. Anak kecil tersebut menghembuskan nafas terakhir pada bulan Julai 2017 dan Defoe mendedikasikan anugerah OBE yang diterimanya kepada Bradley Lowery serta mereka yang terlibat dengan Jermain Defoe Foundation.

MESUT OZIL

Mesut Ozil ni antara bintang bola sepak yang terkenal juga lah. Dia dikatakan tidak membelanjakan hasil gajinya untuk diri sendiri sahaja, tetapi selalu memberikan sumbangan kepada badan amal. Semasa perlawanan Piala Dunia 2014, sebelum memulakan acara kejohanan itu, Ozil berjanji untuk membantu 11 anak kecil Brazil yang sakit kritikal di hospital dengan menanggung segala kos rawatan. Tapi selepas dia menjuarai Piala Dunia tersebut, Ozil menaikkan jumlah bantuan kepada 23 pesakit kanak-kanak. Sumbangan berjumlah 237,000 pound sterling telah diberikan oleh Ozil dan dikatakan ia merupakan jumlah keseluruhan bonus kemenangannya.

CRISTIANO RONALDO & MOHAMED SALAH

Kedua-dua bintang ini pula memang tidak asing lagi sebagai bintang bola sepak yang rajin memberikan sumbangan. Dikatakan Cristiano Ronaldo semasa memenangi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid, dia telah menyumbangkan kesemua bonus kemenangannya yang berjumlah 450,000 pound streling kepada badan kebajikan. Ronaldo turut menjadi duta besar untuk tiga badan amal utama iaitu Save the Children, Unicef dan juga World Vision.

Manakala Mohamed Salah pula menerusi ‘Mohamed Salah Charity Foundation‘ telah membantu sebanyak 450 keluarga dengan memberikan bantuan kewangan secara bulanan. Selain itu, Salah turut membantu bekas-bekas pemain bola sepak di negaranya dengan sumbangan lebih daripada 23,000 pound sterling. Pada tahun 2017, dilaporkan Salah membantu kerajaan Mesir yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi dengan sumbangan berjumlah 234,000 pound sterling. Kemudian dia juga pernah memberikan sumbangan berjumlah 2.5 juta pound sterling kepada National Cancer Institute of Egypt berikutan serangan pengganas di Kaherah.

KATALAKI: Mungkin dunia ni akan lebih baik kalau ramai lagi orang-orang yang dermawan macam bintang-bintang bola sepak ni…

Last modified: 23 July 2020