Bob, Kucing Jalanan Popular Sah Meninggal Dunia

Sembang, ZAP, ZeKool

Kucing yang pernah terbiar di jalanan, dikenali ramai sebagai “Bob the cat”, disahkan meninggal dunia oleh tuannya sendiri, James Bowen pada 16 Jun 2020 yang lepas. Bob merupakan kucing jalanan yang memberi inspirasi dan semangat kepada James Bowen untuk pulih daripada masalah ketagihan dadah, pernah diceritakan sendiri oleh James Bowen dalam sebuah buku yang terjual di seluruh dunia bertajuk “A Street Cat Named Bob”.

Bob dan James Bowen kali pertama dipertemukan pada tahun 2007, semasa James Bowen yang tengah mengalami masalah ketagihan dadah terserempak dengan seekor kucing yang terbiar di kaki lima dalam keadaan sakit dan tenat, sebelum dijaga dan diberi nama Bob. Kasih dan sayang antara Bob dan James Bowen semakin tak boleh dipisahkan sejak kali pertama dipertemukan apabila Bob yang semakin sihat dan aktif setia menemani James Bowen yang menjalankan aktiviti busking sambil menjual majalah The Big Issue di tengah kota London selama bertahun-tahun. Majalah The Big Issue terkenal sebagai sebuah majalah yang membantu dan menyumbangkan keuntungan kepada orang gelandangan di United Kingdom.

Kisah kesetiaan antara Bob dan James Bowen yang berputik di jalanan dan berkekalan selama bertahun-tahun menyebabkan banyak syarikat akhbar tempatan mula menceritakan kisah Bob dan James Bowen di dalam akhbar sehingga menjadi perhatian orang ramai terutama sekali di London. Pada tahun 2012, sebuah buku yang diberi nama “A Street Cat Named Bob” yang ditulis oleh James Bowen sendiri berjaya diterbitkan dan terjual laris di seluruh dunia terutama sekali di United Kingdom. Buku “A Street Cat Named Bob” menceritakan dengan mendalam mengenai kisah pertemuan kali pertama Bob dan James Bowen, mengubah James Bowen untuk menjalani kehidupan yang lebih baik, sehingga lah pernah ditampilkan dalam majalah The Big Issue.

Tak cukup dengan sebuah buku yang berjaya memberikan inspirasi dan semangat kepada pembaca, sebanyak 3 buah buku lagi ditulis oleh James Bowen menceritakan kisah Bob dan James Bowen menerusi buku yang bertajuk “The World According to Bob” pada tahun 2013, “A Gift from Bob” pada tahun 2014 dan “The Little Book of Bob” pada tahun 2018 yang terjual lebih daripada 8 juta cetakan di seluruh dunia dalam 40 bahasa.

Buku pertama yang bertajuk “A Street Cat Named Bob” pernah difilemkan pada tahun 2016, menampilkan Bob dan Luke Treadaway yang melakonkan watak James Bowen ditayangkan di seluruh dunia dan berjaya menggondol anugerah Best British Film di National Film Awards UK pada tahun 2017. Sebuah filem terbaru, sambungan kepada filem “A Street Cat Named Bob” yang bertajuk “A Gift From Bob”, dijadualkan untuk ditayangkan kepada umum pada tahun 2021 nanti. Menurut James Bowen, umur Bob dianggarkan berusia 14 tahun ketika disahkan meninggal dunia.

KATALAKI: Lepas ni kalau berniat nak bela kucing, boleh bagi nama Bob sebagai inspirasi.

Last modified: 18 June 2020