Bruce McLaren, Mati Semasa Menguji Kereta Jenama Sendiri

Aktif, Sembang, ZAP, ZeKool

Peminat sukan Formula One atau penggemar kereta-kereta supercar mesti dah cukup familiar dengan salah satu jenama kereta terkemuka di dunia, McLaren yang dah muncul sejak tahun 1937 selepas lahirnya Bruce McLaren, legenda permotoran yang masih disanjung sehingga kini. Korang dah kenal siapa Bruce McLaren?

Bruce McLaren yang lahir pada 30 Ogos 1937, dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mempunyai sebuah bengkel kereta di Auckland, New Zealand. Di bengkel yang dimiliki oleh keluar McLaren ni lah minat terhadap dunia permotoran dan perlumbaan mula menyerap dalam diri Bruce McLaren untuk menyambung legasi bapanya, Les McLaren yang juga merupakan seorang pelumba kereta.

Mula memecut jentera yang dibina oleh bapanya dalam perlumbaan ketika berumur 14 tahun, kehebatan Bruce McLaren di dalam litar disedari oleh salah seorang pelumba Formula One, Jack Brabham yang menyaksikan Bruce McLaren berlumba dalam perlumbaan New Zealand Grand Prix, sebelum mengaturkan satu program biasiswa untuk membawa Bruce McLaren berlumba di Eropah.

Tahun pertama berlumba di tanah Eropah, Bruce McLaren berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 dalam perlumbaan German Grand Prix yang berlangsung di salah sebuah litar lumba paling popular di dunia, Nurburgring pada tahun 1958 sebelum menyertai pasukan Cooper Car Company, menjadi rakan sepasukan kepada mentornya, Jack Brabham pada tahun 1959 untuk bersaing dalam perlumbaan Formula One.

Selepas menyesuaikan diri bersama jentera baru dalam beberapa perlumbaan Formula One, Bruce McLaren akhirnya berjaya mencipta kemenangan pertama dalam perlumbaan Formula One apabila menjadi juara dalam perlumbaan United States Grand Prix pada tahun 1959, menewaskan jaguh yang lain termasuk mentornya, Jack Brabham yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-4. Bruce McLaren juga berjaya mencipta sejarah baru, pemenang Grand Prix paling muda dalam sejarah Formula One, ketika berumur 22 tahun.

Kekal berlumba dalam perlumbaan Formula One bersama pasukan Cooper Car Company sehingga tahun 1965, Bruce McLaren seterusnya menubuhkan sebuah pasukan baru yang diberi nama Bruce McLaren Motor Racing untuk bersaing dalam perlumbaan Formula One pada tahun 1966, dipandu oleh Bruce McLaren sendiri. 2 tahun yang pertama, Bruce McLaren gagal mencipta sebarang kemenangan bersama pasukan yang baru dibentuk.

Pada tahun 1968, penat lelah Bruce McLaren akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mencipta kemenangan pertama bersama pasukan Bruce McLaren Motor Racing dalam perlumbaan Belgium Grand Prix di litar lumba Spa-Francorchamps, menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Semasa nama Bruce McLaren berada di puncak dunia permotoran selepas berjaya mencatat beberapa kemenangan dalam perlumbaan Formula One sejak perlumbaan di Belgium Grand Prix, dunia dikejutkan dengan kematian Bruce McLaren yang terkorban dalam sesi latihan pada tahun 1970 ketika berumur 32 tahun, menguji jentera baru McLaren yang dibina untuk perlumbaan Canadian-American Challenge Cup, atau juga dikenali sebagai Can-Am.

Legasi Bruce McLaren masih lagi kekal sehingga kini, menerusi pasukan McLaren F1 Team yang masih lagi bersaing dalam perlumbaan Formula One dan empayar McLaren Automotive yang masih aktif menghasilkan kereta-kereta supercar antaranya McLaren P1, McLaren F1 dan McLaren Senna.

KATALAKI: Niki Lauda, Ayrton Senna, Mika Häkkinen dan Lewis Hamilton antara legenda sukan Formula One yang pernah mencipta nama bersama pasukan McLaren.

Last modified: 14 May 2020