Bukti The Rock Sebenarnya Raja Selfie

Sembang, ZAP, ZeKool

Siapa sangka, lelaki yang terkenal sebagai manusia paling gagah di dunia, Dwayne Johnson atau The Rock sebenarnya pemegang rekod paling banyak menangkap gambar selfie dalam masa 3 minit, diiktiraf oleh Guinness World Records pada tahun 2015. Rekod yang dicipta oleh The Rock ni berlaku semasa sesi karpet merah tayangan perdana filem San Andreas di Odeon Leicester Square, London, The Rock berjaya menangkap 105 gambar selfie dalam masa 3 minit.

Sebelum The Rock dianugerahkan rekod rasmi daripada Guinness World Records, ada beberapa peraturan yang perlu diikut dan dipantau sendiri oleh wakil daripada Guinness World Records antaranya menangkap gambar selfie bersama orang ramai yang menampakkan keseluruhan muka dan leher, dan tidak dalam keadaan kabur. Ada beberapa gambar yang ditangkap oleh The Rock terpaksa dibatalkan sebab tak menepati kriteria yang ditetapkan, tapi kesudahannya The Rock berjaya mengumpul sebanyak 105 gambar selfie untuk dianugerahkan rekod The Most Self-portrait Photographs (Selfies) Taken In Three Minutes oleh Guinness World Records.

The Rock yang mula mencipta nama sebagai ahli gusti selama 8 tahun sejak tahun 1996 di World Wrestling Federation (WWF) atau kini digelar World Wrestling Entertainment (WWE), semakin popular di seluruh dunia selepas terlibat secara serius dalam bidang lakonan sehingga bergelar salah seorang pelakon Hollywood yang menerima bayaran dan keuntungan paling tinggi di dunia setanding Chris Hemsworth, Robert Downey Jr. dan Jackie Chan.

Kalau korang boleh ingat lagi, kali pertama The Rock tampil dalam filem memegang watak utama adalah menerusi filem The Scorpion King yang ditayangkan pada tahun 2002, sebelum semakin meletup dengan filem The Rundown pada tahun 2003 dan The Walking Tall pada tahun 2004. Yang paling terkini dan paling dinanti-nantikan oleh peminat The Rock di seluruh pelosok dunia adalah kemunculan The Rock yang bakal memegang watak superhero komik DC, Black Adam dalam filem terbaru yang bakal ditayangkan pada tahun 2021. Ni kali pertama The Rock akan melakonkan watak superhero di dalam filem selepas lebih 20 tahun terlibat dalam dunia perfileman.

Baru-baru ni, anak perempuan kepada The Rock yang dikenali sebagai Simone Johnson bakal meneruskan legasi keluarga The Rock untuk menceburkan diri dalam sukan gusti di World Wrestling Entertainment (WWE), menjadikan Simone Johnson satu-satunya ahli gusti WWE generasi ke-4 dalam sejarah. Datuk dan ayah kepada The Rock juga pernah terlibat dalam sukan gusti di WWF sebelum The Rock muncul di bawah empayar WWF.

KATALAKI: Sampai sekarang tak ramai lagi yang faham dengan maksud tersirat, “If you smell, what The Rock is cooking”.

Last modified: 19 June 2020