Bunuh Tanpa Motif – Penjenayah Disyaki Sebagai Psychopath

Sembang, ZAP

Kisah pembunuhan kejam terhadap seorang wanita yang tidak bersalah ini rasanya sudah diketahui oleh masyarakat umum di Malaysia. Kes rogol dan pembunuhan kejam Canny Ong bukan sahaja mendapat liputan media tempatan, tapi media luar juga turut membuat liputan terhadap kes ini. Bagi aku, kes ini wajar diceritakan sekali lagi buat generasi muda untuk dijadikan sebagai iktibar. Kadang-kadang tu bukan suka-suka orang tua kita larang untuk keluar malam sorang-sorang. Mungkin sebab kes-kes jenayah yang pernah terjadi di negara kita yang membuatkan orang tua kita risau dengan keselamatan diri kita. So kes jenayah ini melibatkan seorang wanita bernama Canny Ong yang dirogol dan dibunuh kejam oleh seorang lelaki bernama Ahmad Najib pada tahun 2003.

MALAM BERSAMA KELUARGA BERTUKAR MIMPI NGERI

Pada malam 13 Jun 2003, dikatakan Canny Ong bersama keluarganya serta rakan-rakan baru sahaja menikmati makan malam di restoran yang terletak di Bangsar Shopping Centre. Sekitar jam 10.30 malam mereka selesai meluangkan masa bersama dan beransur pulang. Semasa hendak membayar parkir, Canny Ong menyedari tiket parkirnya tertinggal di dalam kereta dan dia pun pergi mengambil tiketnya itu di tingkat bawah bangunan. Manakala ketika itu ibu dan adik perempuannya menunggunya di tingkat atas.

Setelah hampir 20 ke 30 minit Canny Ong tidak memunculkan diri, maka ibunya mula merasa risau dan menelefonnya. Perasaan cemas kian memuncak apabila panggilan telefon tidak dijawab. Ibunya bersama dengan adik perempuannya kemudian bergegas ke tempat parkir kereta, tapi alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati kereta Canny Ong tidak kelihatan di situ. Pada saat itu mereka menyedari Canny Ong berkemungkinan diculik bersama kenderaannya. 

TERSEREMPAK DENGAN POLIS

Selepas si penculik itu berjaya menculik Canny Ong bersama kenderaannya, dia membawanya ke satu kawasan lain sehingga lah dua anggota polis yang sedang meronda menahan mereka. Menurut anggota polis tersebut, pada asalnya dia berasa curiga dengan keadaan sebuah kereta yang berada di tepi jalan. Semasa melakukan pemeriksaan, dia mendapati terdapat seorang lelaki Melayu dan seorang wanita Cina berdua-duaan di dalam kereta. Anggota polis tersebut mengesyaki ini mungkin pasangan kekasih kerana Ahmad Najib tidak menunjukkan sebarang reaksi yang mencurigakan.

Anggota polis tersebut kemudian meminta kad pengenalan diri dari mereka berdua, dan tiba-tiba ternampak Canny Ong yang duduk di tempat penumpang membuat isyarat seolah-olah sedang berdoa. Mungkin isyarat untuk meminta pertolongan daripada anggota polis tersebut. Disebabkan berasa curiga, anggota polis tersebut pun meminta Ahmad Najib untuk keluar daripada kenderaan. Tapi mungkin penjenayah itu lebih tangkas, enggan menuruti arahan dan terus memecut laju tanpa menghiraukan kad pengenalannya tadi. 

Maka berlaku lah aksi kejar mengejar di antara mereka sehingga anggota polis itu sempat melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta itu. Tapi itu tidak menghalang penjenayah tersebut dan dia terus memecut laju sehingga hilang daripada radar polis tersebut.

SAKSI LAIN YANG SEMPAT MELIHAT CANNY ONG

Selepas memandu ke kawasan lain dengan tayar yang sudah bocor, Ahmad Najib dikatakan memberhentikan kenderaan dan cuba menukar tayar tersebut tetapi gagal. Waktu itu sekitar jam 12 tengah malam, seorang wanita yang dikenali sebagai Aminah dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dia memberhentikan kenderaannya di tepi jalan, kira-kira 20 kaki dari kenderaan yang dipandu Ahmad Najib itu. 

Ahmad Najib yang ternampak Aminah, kemudian keluar dari kereta dan menghampiri Aminah untuk meminjam car jack. Ketika itu, Aminah sempat memandang ke arah kereta mereka dan ternampak lambaian seorang wanita seperti meminta tolong. Sebaik sahaja Ahmad Najib selesai menukar tayar dan pergi memandu dari tempat itu, Aminah mula percaya ada sesuatu yang tidak kena dan segera membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya. 

DIROGOL, DIBUNUH DAN DIBAKAR

Menurut laporan, Canny Ong telah dirogol di dalam keretanya di bawah jejantas yang masih dalam pembinaan berhampiran Taman Datuk Harun di Jalan Kelang Lama sekitar jam 1 ke 5 pagi (14 Jun 2003). Kemudian, dia turut dibunuh dengan dua tikaman pisau. Tubuh Canny Ong telah dihenyak ke dalam lubang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen. Tapi itu tidak cukup buat Ahmad Najib untuk menghapuskan bukti jenayahnya. 

Pada 15 Jun 2003, Ahmad Najib dilihat telah membeli dua botol petrol di sebuah stesen minyak Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. Dia kemudian kembali ke lokasi dia membuang mayat Canny Ong dan menjiruskan petrol yang dibelinya untuk membakar mayat mangsa sehingga rentung. Pada 17 Jun 2003, seorang pengurus tapak binaan lebuh raya bagi Projek Lebuhraya Pantai Baru (NPE) telah menemukan satu mayat yang rentung hangus di situ dan terus membuat laporan polis. Selepas itu, pada 20 Jun 2003, pihak polis telah membuat serbuan dan tangkapan terhadap Ahmad Najib di kediamannya di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Beberapa bahan bukti seperti baju dan juga seluar telah diambil sekali oleh pihak polis.

Berdasarkan laporan bedah siasat, mayat Canny Ong dijumpai dalam keadaan kedua-dua tangannya diikat dengan sehelai kain sebanyak tiga lilitan. Dalam masa yang sama terdapat juga kesan cedera parah di bahagian abdomen mangsa. Walaupun terdapat kesan tikaman, laporan menyatakan kematian Canny Ong adalah akibat dijerut dan dicekik di leher. 

PENJENAYAH DISYAKI SEBAGAI PSIKOPAT

Antara persoalan terbesar yang masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini adalah motif pembunuhan. Dikatakan Ahmad Najib tidak mempunyai sebarang motif untuk menyerang dan membunuh mangsanya. Jenayah yang dilakukannya juga dikatakan dalam keadaan spontan dan tanpa sebarang perancangan. Jadi hal ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan samada Ahmad Najib ini seorang Psikopat ataupun tidak. Menurut rakan-rakan yang mengenali Ahmad Najib, dia merupakan seorang yang mudah untuk bersosial dan dilihat tidak menimbulkan sebarang masalah.

Sememangnya mereka yang mengalami gejala psikopat ini melalui kehidupan yang serba normal, serta mampu untuk memperdaya orang sekeliling dengan keperibadiannya yang baik. Jadi mungkin sebab itu agak sukar untuk orang sekeliling mengetahui samada seseorang itu psikopat ataupun tidak. Ahmad Najib merupakan seorang pekerja pencuci kabin kapal terbang. Dia juga sebenarnya mempunyai seorang isteri dan dua orang anak.

KES JENAYAH PALING LAMA DI MALAYSIA

Sebenarnya menurut laporan, Canny Ong merupakan pemegang tali pinggang hitam dalam seni bela diri Taekwan-do. Ini antara persoalan yang bermain di minda penyiasat ketika itu kenapa Canny Ong tidak berjaya melepaskan diri daripada penjenayah itu sedangkan dia mempunyai pengetahuan untuk mempertahankan diri. Tapi mungkin realiti sebenar jenayah itu tidak sama dengan latihan di dalam kelas. Hal seperti ini lah yang membuatkan orang tua kita risau akan keselamatan anak-anak, terutamanya anak perempuan.

Perbicaraan ke atas Ahmad Najib berlangsung selama 13 tahun, dan ia dianggap sebagai ke jenayah paling lama berlangsung dalam lanskap jenayah Malaysia. Dengan bukti kukuh seperti kesan air mani Ahmad Najib yang dijumpai bersama mayat Canny Ong, maka Ahmad Najib dijatuhkan hukuman gantung. Pada 23 September 2016, selepas waktu subuh, Ahmad Najib selesai menjalani hukumannya. Dia dikatakan telah insaf dengan jenayah yang dilakukannya itu.

KATALAKI: Takziah buat seluruh keluarga Canny Ong. Bahaya juga bila orang yang nampak biasa ni pun ada potensi untuk lakukan jenayah kejam…

Last modified: 24 August 2020