Can You Ever Forgive Me? – Movie Review, Tanpa Spoilers

Sembang

Hampa pernah tak tengok sesebuah filem yang berjaya buat hampa gelak dan menangis dalam ruang filem yang sama? Semalam saya pi tonton tayangan filem Can You Ever Forgive Me?, dan saya bersyukur yang saya buat keputusan untuk tengok, pasai saya dapat lalui roller-coaster perasaan yang saya sebut awai tadi tu dalam panggung wayang. Dalam artikel ni saya akan kongsikan pendapat-pendapat saya tentang cerita ni, dan saya habaq awai-awai yang saya sangat suka filem ni.

Sinopsis

Can You Ever Forgive Me? (CYEFM) ialah sebuah cerita benar tentang seorang penulis yang bernama Lee Israel (dimainkan oleh Melissa McCarthy). Kita ikuti Lee pada tahun 1991 yang sedang menghadapi kesusahan hidup dari segi kewangan, kerja dan sosial. Kita dapati yang Lee hanya punyai seorang (atau seekor) kawan, iaitu kucingnya. Kita juga nampak yang Lee sudah tidak membayar sewa rumahnya untuk tiga bulan berturut-turut, disamping menghadapi kesusahan untuk mendapatkan penerbit untuk idea buku barunya.

 Sumber: IMDB

Hidup Lee sedikit berubah apabila dia berjumpa dengan kenalan lamanya Jack Hock (dimainkan oleh Richard E. Grant), dan mereka mula menjadi kawan rapat apabila mendapati yang mereka berdua suka minum arak dan benci akan orang kaya yang berlagak.

Demi mendapatkan sedikit wang, Lee membuat keputusan untuk menjual surat yang diberi oleh pelakon terkenal Amerika Syarikat zaman 30-an Katharine Hepburn kepada Lee. Oleh kerana kandungan surat itu tidak begitu mengujakan, Lee membuat keputusan untuk membuat penambahan pada surat itu supaya ia tampak lebih menarik, dan dengan cara itu dia dapat menjualnya dengan harga yang lebih mahal.

 Sumber: IMDB

Sepanjang filem ini, kita mengikuti perjalanan Lee, dan kemudiannya bersama kawannya Jack untuk mencipta dan menjual surat palsu oleh selebriti-selebriti terkenal dari Amerika Syarikat. Filem ini diadaptasi daripada buku autobiografi Lee Israel sendiri yang mempunyai tajuk yang sama.

Positif

Pertama sekali, saya suka penceritaan dalam filem ni. Bila bacakan sinopsis cerita ni, macam tak berapa nak menarik ja, tapi saya rasa cara penulis dan direktor filem ni buat saya kisah tentang cerita ini sangat berkesan, sampai selepas sepuluh minit pertama, saya dapat rasa yang saya “kenal” dengan Lee Israel, dan walaupun saya faham dia seorang manusia yang ada kelemahannya dari segi personaliti, saya tetap kisah dengan kisahnya, dan mahukan dia berjaya atasi kesusahan yang dia lalui.

 Sumber: IMDB

Kerana pembikin filem ini mengambil masa untuk membenarkan saya faham perwatakan, kemahuan dan keperluan watak utamanya, saya jadi lebih ambil berat tentang perjalanan Lee dan lebih senang untuk bersimpati dengan kesusahan yang dilaluinya. Saya rasa yang penceritaan dalam filem ni berjaya membuat saya engaged dengan ceritanya daripada mula sampai habis.

 Sumber: IMDB

Saya juga suka bagaimana filem ini memberi penonton merasakan seperti betul-betul berada di New York pada awal 90-an, dengan isu-isu anti-LGBTnya, dengan jazz bar bawah tanahnya, dengan kedai bukunya, dengan manusia yang tak berapa nak friendly-nya, dengan penggiat sastera yang berlagaknya.

Saya rasa yang cara Marielle Heller (pengarah filem ini) menunjukkan suasana New York pada tahun 1991 sangat cemerlang, dan saya dapat merasakan seperti New York juga jadi satu lagi watak di dalam filem ini, khususnya New York daripada kanta mata Lee Israel.

Saya sendiri dapat merasakan daya humanity yang kuat daripada semua watak yang penting di dalam filem ini. Saya sebagai penonton dapat faham apa yang setiap watak mahukan, dan dalam kes Lee dan Jack, saya dapat lihat dan rasa insecurity yang berada di dalam watak-watak tu, tanpa ia perlu disebut dalam dialog.

Kita seolah dapat merasakan apa yang terpendam dan tersirat di dalam kebanyakan tindakan watak-watak dalam filem ni tanpa perlu diberitahu secara explicit apa perkara-perkara itu, menjadikan pengakhiran filem ini sungguh memuaskan hati saya kerana saya dapat merasakan watak-watak itu akhirnya berdepan dengan apa yang mereka takuti itu.

 Sumber: IMDB

Disamping itu, persembahan Melissa McCarthy, Richard E. Grant, Dolly Wells dan Jane Curtin sangat cemerlang. Bakat mereka untuk mendalami, menghayati dan mempersembahkan watak-watak yang mereka mainkan terserlah diatas skrin. Saya sendiri terpukau dengan mereka setiap masa mereka berada diatas skrin, dan mereka buat saya betul-betul percaya yang mereka berjaya memanusiakan watak-watak itu dengan hebat sekali.

 Sumber: IMDB

Negatif

Sejujurnya, saya tiada rungutan mengenai filem ini, kecuali untuk beberapa ketika yang ringkas bila dialog mengulangi apa yang telah ditunjuk di atas skrin. Watak-watak ini telah pun membuat perkara itu, dan saya sebagai penonton telah pun faham akan keadaannya, tapi dua atau tiga baris dialog terselit di dalam filem ini yang cakap semula apa yang bagi saya, lebih baik tak disebut di dalam dialog. Tapi ketika dimana perkara ini berlaku sangat sikit, dan sangat senang untuk dimaafi.

Kesimpulan

Saya sangat menyukai filem ini. Besar kemungkinan akan termasuk dalam senarai cerita wayang kegemaran saya sepanjang 2019. Ia tercalon untuk tiga kategori dalam Academy Awards (Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik), dan selepas menontonnya, saya dapat faham sebab-sebab ia menerima pencalonan-pencalonan tersebut.

Saya akan mencadangkan sesiapa yang suka cerita tentang manusia sebenar untuk menonton filem ini. Kalau anda seorang yang menyukai penerokaan kehidupan dan pemikiran manusia, dan tak kisah kalau tak ada scene-scene yang ada kereta meletup dan robot bertarung, cerita ini adalah sesuatu yang istimewa untuk anda.

Rating: A-

Last modified: 22 February 2019