Cara Nak Fasih Bahasa Inggeris

Life x Tips, Sembang

Dulu aku cikgu bahasa inggeris, jadi kadang-kadang aku akan dapat soalan daripada kawan-kawan dan rakan sekerja yang bunyi lebih kurang macam “Macam mana nak terer speaking ah?” dan aku boleh jawab soalan ni dengan dua cara; satu, macam mana aku sendiri belajar bahasa inggeris, dan kedua, macam mana aku akan cadang orang yang dah besar panjang untuk belajar bahasa inggeris. Dalam post ni, aku akan share kedua-duanya sekali.

Cara Aku Belajar Bahasa Inggeris

Aku dapat bahasa inggeris pasai cara aku dibesarkan. Keluarga aku still cakap Bahasa Melayu bila di rumah, tapi kebanyakan rancangan TV, bahan bacaan dan lagu yang kami dengar berbahasa inggeris. Jadi hampir tiap-tiap hari aku dan adik-adik aku akan layan cerita-cerita macam Power Rangers, Barney and Friends, Hercules, Friends, Mr Bean dan sebagainya. Bapak akan pasang lagu-lagu Bon Jovi atau Dire Straits, akan belikan kami buku-buku Enid Blyton, Hardy Boys, Shakespeare dalam bentuk komik serta Reader’s Digest. Tak cukup dengan tu, Bapak langgan surat khabar News Straits Times dan The Star, jadi tiap-tiap hari selepas Bapak baca surat khabar, aku akan ambik pulak dan akan terus buka mukasurat yang ada komik-komik dalam surat khabar tu.

Tambahan pula, Bapak aku pi sambung belajar di New Zealand selama dua tahun, jadi kami anak-anak ni pun dibawa sekali pi sana. Aku merasa la belajar di negara orang putih daripada aku umur 6 sampai 7 tahun. Yang tu aku rasa penting, pasai waktu muda ni lah kita paling senang nak dapat bahasa baru. Otak kita macam sponge yang senang menyerap segala maklumat di sekeliling kita, terutamanya bahasa.

Bila kami balik ke Malaysia, aku ingat time-time dimana Bapak aku akan lekat tape hitam diatas skrin TV supaya kami tak baca sarikata, pasai dia kata sarikata tu mengganggu pengalaman kami menonton apa yang diatas skrin. Kami asyik nak baca ja apa yang ditulis sampai tak tengok pelakon-pelakon tu dok buat apa. Mak dan Bapak ada letak radio dalam bilik kami, jadi tiap-tiap pagi kami akan dengar siaran radio inggeris tempatan, sampai kami boleh hafal lagu-lagu yang depa selalu main. Aku dapat member-member yang dengar lagu-lagu Backstreet Boys, N’sync dan Linkin Park jugak, jadi kat sekolah kami akan nyanyi lagu-lagu depa sama-sama kat belakang kelas.

Sepanjang aku membesar, aku lagi banyak dengar, baca dan tonton bahan yang berbahasa inggeris, sampai dalam otak aku pun aku cakap dengan diri sendiri dalam bahasa inggeris. Jadi, walaupun aku cakap dengan member dan keluarga dalam Bahasa Melayu, bahasa inggeris tak pernah lari jauh daripada identiti diri aku. Aku berlatih mendengar, menonton, membaca, dan menulis bahasa inggeris daripada kecik, jadi tu lah pasaipa aku selesa dengan bahasa inggeris, sampai aku rasa macam aku tak ada kebolehan selain daripada berbahasa inggeris, sampai last-last bila aku jadi meningkat dewasa, aku ambik keputusan untuk jadi cikgu bahasa inggeris.

Cara Untuk Hangpa Belajar Bahasa Inggeris

Macam aku cerita di atas, sebahagian besar daripada mempelajari bahasa inggeris (dan juga bahasa-bahasa lain) ialah untuk kita banyak dedahkan diri kita kepada bahasa tu. Kalau hangpa fikirkan balik, kat sekolah dulu kita banyak masuk kelas bahasa inggeris. Sejam sehari, lima hari seminggu, 180 hari setahun, untuk sebelas tahun. Kenapa ada dalam kalangan kita yang tak fasih pun bahasa inggeris?

Jawapan mudahnya ialah: pasai tu tak cukup.

Mungkin ia cukup untuk kita faham sikit-sikit sana situ bahasa inggeris, tapi kalau nak betul-betul fasih, kita kena tambah lagi masa kita berinteraksi dengan bahasa itu.

Budak-budak yang terer bahasa inggeris, depa bukan sejam time kelas BI ja berinteraksi dengan bahasa inggeris, tapi bila depa balik rumah pun depa tengok TV cerita bahasa inggeris, dengar lagu bahasa inggeris, baca surat khabar bahasa inggeris, dan main game bahasa inggeris. Jadi daripada sejam sehari, depa dapat empat jam sehari mungkin.

Kalau kita bezakan antara orang yang dengar/baca bahan bahasa inggeris sejam sehari untuk 180 hari dengan orang yang dengar/baca bahasa inggeris 4 jam sehari untuk 300 hari, agak-agak siapa yang akan lagi lancar berbahasa inggeris selepas setahun?

Jadi yang tu langkah nombor satu: tingkatkan pendedahan kita dengan bahasa inggeris.

Seterusnya, part yang memerlukan kita untuk usaha sikit. Berlatih.

Bagi aku, kemahiran berbahasa ni macam kemahiran lain dalam kehidupan macam bawa kereta, main Dota, masak, dan main bola. Kita boleh baca sebanyak buku atau artikel tentang kemahiran-kemahiran tu yang kita nak, tapi kalau tak berlatih, kalau tak buat benda tu secara langsung, sampai bila pun tak terer.

Kita ambil contoh bawa kereta. Kita pergi kelas memandu, cikgu tu tunjuk kat whiteboard, “Okay, ni stereng, ni gear, ni brek, ni minyak, ni tayar, bla bla bla,” paihtu kita pun sebagai pelajar yang baik, tulis dalam nota, balik rumah dan study, dan kita tengok orang lain bawak kereta macam mana. Kita buat benda-benda tu tiap-tiap hari untuk setahun. Agak-agak, selepas setahun tu, kita dah pandai bawak kereta tak?

Sama jugak dengan bahasa. Kita boleh pi kelas, tengok movie, baca buku apa semua, tapi kalau kita tak guna bahasa tu, sama jugak lah dengan study untuk bawak kereta. Sampai kiamat pun takkan terer.

And sama jugak dengan bawak kereta, kita tak boleh percaya yang kita akan terer selepas sekali atau dua kali ja kita buat. Selepas setahun buat pun mungkin akan naik kita punya kebolehan tu sikit ja. Tapi kita kena percaya yang lagi kerap kita buat, lagi senang benda tu akan jadi.

Dan pada permulaan proses pembelajaran tu memang la kita akan kurang lancar. Bila kita mula-mula bawak kereta pun, kita kena fikir satu-satu “Oh, nak kena adjust tiga-tiga cermin, pakai tali pinggang keledar, brek sini, minyak sini, tukar gear macam ni, lepas brek perlahan-lahan, tekan minyak perlahan-lahan, ops, tu brek rupanya, okay, yang ni minyak, okay,” tapi lama-lama kita buat, kita dah boleh bawak kereta tanpa perlu fikirkan proses pembawaan kereta tu sangat, jadi boleh lah kita bawak kereta sambil karaoke dengan kawan-kawan lagu Bobo Di Mana sementara nak sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Sama juga dengan penggunaan bahasa inggeris. Kita akan gugup-gagap pada permulaan proses tu. Kita akan perlahan dalam kebolehan kita berbahasa. Tapi kalau kita teruskan dan tak berhenti berlatih serta guna bahasa tu tiap-tiap hari, lama-kelamaan kita boleh nyanyi dengan lancar lagu Where Is Bobo pula (translation lagu Bobo Di Mana).

Kita boleh latih kita punya penggunaan bahasa inggeris dengan pelbagai cara. Salah satunya ialah menulis. Saya akan cadangan hangpa buat blog (yang tak perlu kongsi dengan sesiapa pun alamatnya) dimana hangpa cuma tulis ja dalam bahasa inggeris. Tak perlu risau tentang ketepatan atau kesalahan grammar dalam ayat. Yang penting ialah hangpa guna bahasa inggeris untuk menulis apa yang terkandung didalam sanubari. Tulis ja apa-apa pun nak tulis, tak kira la luahan perasaan ka, nak kongsi pendapat tentang muzik ka, nak membawang seorang diri ka, nak tulis puisi ka, nak tulis cerita seram ka, tulis ja. Hangpa tak perlu kongsi blog tu kalau hangpa takmaw. Blog tu boleh jadi hangpa punya “zon selamat untuk berbahasa inggeris” tanpa mata-mata lain mengecam.

Satu lagi cara ialah dengan bercakap. Kalau ada member untuk teman kita cakap bahasa inggeris, bagus lah. Itu yang terbaik sebenarnya. Tapi kadang-kadang susah nak cari kawan yang sanggup dengar kita berlatih bahasa inggeris, terutamanya bila kita baru nak start. Jadi apa yang saya cadangkan ialah cakap dengan kamera. Sekarang semua telefon dan laptop ada kamera dah, jadi senang nak rakam diri sendiri. Dulu masa saya nak start memperbaiki kebolehan bercakap saya, saya rakam diri sendiri bercakap dengan webcam laptop saya setiap hari selama lima minit, untuk enam bulan berturut-turut. Setiap kali selepas saya merakam diri saya bercakap, saya akan dengar balik dan cuba untuk membuat pembaikan daripada apa yang saya dengar. Saya rasa proses tu sangat membantu saya untuk menjadi orang yang saya jadi pada hari ini.

Sekali lagi, rakaman-rakaman tu tak perlu dikongsi dengan sesiapa pun. Kalau hangpa takmaw orang tengok, jangan bagi orang tengok. Kita berlatih untuk perbaiki diri sendiri, bukan untuk tontonan awam pun kalau kita takmaw ia jadi bahan tontonan awam.

Demikian saja apa yang saya boleh kongsi tentang usaha-usaha yang kita boleh ambil untuk menjadi lebih fasih dalam bahasa inggeris. Kita kena dedahkan diri kita dengan bahasa tu, dan berlatih ikut kemampuan kita. Dan kita perlu bersabar. Belajar sesebuah bahasa adalah sesuatu yang tak akan berhenti, kerana bahasa adalah sesuatu yang tak berhenti berkembang dan berubah. Yang paling penting ialah orang faham apa yang kita nak kata bila kita guna bahasa tu. Bila kita boleh saling memahami antara satu sama lain, mungkin dunia boleh menjadi tempat yang lebih baik.

KATALAKI: Paling penting sekali, kena confident and rajin nak bercakap dalam bahasa inggeris. Dah pi hafal semua lagu omputeh

Last modified: 17 January 2019

One Response to :
Cara Nak Fasih Bahasa Inggeris

  1. Nastro says:

    It is all about how much we exposed ourselves to the intended language. I learned the same way too…tv shows, songs, comic books etc. But, sadly nowadays contents are not that friendly to children and teenagers. lots of filtering need to be done, parents guidance. Astro is killing the way of learning English through tv shows as they gave the option of changing the language uttered. Watching sponge bob in Malay…soooo awkward.

Comments are closed.