Dah 2020, Petua Ni Masih Legit?

Sembang

Masuk je tahun 2020, ada beberapa perkara yang dianggap kuno atau pun dah ketinggalan zaman antaranya memandu kereta nak masuk simpang tak bagi signal, buang air besar tak reti nak flush, takde akaun media sosial dan macam-macam lagi. Ada satu lagi perkara yang masih lagi dipertikaikan sama ada masih legit atau tak pada tahun 2020 ni iaitu petua.

Ada tak antara korang yang masih lagi mengamalkan petua yang pernah dipesan oleh datuk, nenek, mak atau ayah korang? Walaupun kadang-kadang kalau kita dengar sesuatu petua tu macam tak masuk akal, tapi petua ni selalunya diwujudkan untuk mengelakkan perkara yang tak baik berlaku. Jadi, kali ni kita nak tengok beberapa petua yang pernah wujud pada zaman dulu, masih boleh digunakan pada tahun 2020 atau tak.

KASUT BARU KENA GIGIT

Salah satu petua yang paling popular, kalau beli kasut baru kena gigit dulu kasut tu sebelum pakai. Kalau tak gigit nanti kaki boleh melecet. Ada tak antara korang yang masih lagi amalkan petua ni?

Sama ada mujarab atau pun tak, kasut baru selalunya memerlukan masa untuk sesuai dengan bentuk kaki korang. Sebab tu kadang-kadang kasut yang dah lama dipakai, semakin sedap korang guna. Cara lain untuk korang elak daripada kaki melecet adalah pakai losyen kat kaki supaya kulit kaki tak kering dan mudah melecet. Cara lain yang paling senang, pakai stokin. Settle.

JANGAN POTONG KUKU WAKTU MALAM

Siapa yang berani untuk potong kuku pada waktu malam, maknanya orang tersebut mendoakan ibunya mati. Korang pernah dengar petua ni? Secara logiknya, apa kena-mengena potong kuku dengan doa dan mati, betul?

Tapi kalau dikaji balik apa maksud tersirat yang ada dalam petua ni, potong kuku waktu malam dalam keadaan gelap, mungkin boleh menyebabkan korang terpotong kulit sekali sebab tak nampak.

MAKAN PINDAH TEMPAT KAHWIN BANYAK

Tengah sedap korang mengunyah nasi berlauk ayam gulai dan ikan bakar, tiba-tiba ada sekumpulan kawan korang ajak pindah meja lain lak. Masa ni lah dalam otak korang akan terfikir mengenai petua kalau makan pindah tempat akan kahwin banyak suatu hari nanti. Kalau petua ni betul-betul mujarab, memang berebut orang berpindah-randah masa tengah makan. Siapa je yang tak nak kahwin banyak? Kalau mampu.

Petua ni wujud mungkin disebabkan tak nak korang sepahkan tempat lain waktu makan. Makan satu tempat pun dah macam kapal karam, apa tah lagi kalau makan kat banyak tempat. Satu hal lak orang lain nak kemas korang punya tempat makan.

MENIARAP KAKI KE ATAS, MAK AYAH MATI

Masa zaman kanak-kanak, memang takut betul dengan petua ni. Kalau baring meniarap dan kaki dibengkokkan ke atas, maknanya mendoakan mak dan ayah mati. Masalahnya, baring meniarap pastu bengkok kaki kat atas tu yang paling selesa.

Petua ni mungkin bertujuan untuk mengelakkan dada terhimpit yang menyebabkan susah untuk bernafas dan kaki menjadi kebas sebab darah tak jalan bila dibengkokkan ke atas. Kan bahaya tu.

LEPAS MAKAN, LETAK AIR SIKIT ATAS PINGGAN

Lepas makan, letak air sikit atas pinggan supaya rezeki tak kering. Rasanya petua ni ramai lagi yang amalkan sama ada percaya dengan petua ni atau dah terbiasa dan jadi amalan lepas habis makan.

Makanan memang merupakan rezeki yang paling berharga dan bermakna untuk manusia yang hidup di muka bumi. Tapi, petua ni wujud berkemungkinan untuk mengelakkan sisa makanan menjadi kering, melekat kat pinggan dan susah untuk dicuci.

KATALAKI: Dalam banyak-banyak petua, petua mana satu yang masih lagi menghantui korang walaupun dah masuk tahun 2020? Jangan tangkap gambar 3 orang nanti salah seorang mati?

Last modified: 14 January 2020