Danilo Petrucci Sah Tinggalkan Ducati

Aktif, Motorsports, ZAP, ZeKool

Pelumba MotoGP yang berasal dari Itali, Danilo Petrucci sah akan meninggalkan pasukan Ducati bermula tahun 2021 untuk menyertai pasukan baru, pasukan yang pernah disertai oleh Hafizh Syahrin pada tahun 2019, Red Bull KTM Tech 3. Danilo Petrucci dah bersama dengan pasukan Ducati sejak tahun 2019, bergandingan dengan Andrea Dovizioso sebagai rakan sepasukan. Musim pertama bersama Ducati, Danilo Petrucci berjaya menamatkan saingan musim 2019 di tempat ke-6 secara keseluruhan, dengan 1 kemenangan perlumbaan yang pernah dicatat di litar lumba Mugello, Itali. Disebabkan perlumbaan MotoGP untuk musim 2020 masih lagi tertangguh, masih ada lagi masa dan peluang untuk Danilo Petrucci membuktikan kehebatan menunggang jentera Ducati untuk musim yang terakhir.

Peminat sukan MotoGP mesti dah ramai yang tahu, bukan senang untuk pelumba MotoGP menunggang jentera Ducati di dalam litar lumba. Hanya pelumba yang istimewa je yang mampu sebati dengan jentera Ducati yang mempunyai kelajuan melampau bila berhadapan dengan jalan lurus yang panjang. Walaupun digelar legenda MotoGP, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Nicky Hayden antara pelumba yang pernah menunggang jentera Ducati, tapi gagal mencari keserasian bersama jentera Ducati yang menjadi kebanggaan Itali. Setakat ni, hanya Loris Capirossi, Casey Stoner dan Andrea Dovizioso je yang pernah menyerlahkan kehebatan sebenar jentera Ducati di dalam litar lumba.

Sebenarnya, hubungan baik antara Danilo Petrucci dengan Ducati dah terbina sejak tahun 2015 apabila Danilo Petrucci diberi kepercayaan untuk menunggang jentera Ducati, tapi bukan bersama pasukan utama Ducati, sebaliknya bersama dengan pasukan Pramac Racing yang menggunakan jentera Ducati untuk beraksi dalam perlumbaan MotoGP. Semasa bersama dengan Pramac Racing, peminat sukan MotoGP sendiri boleh nampak kehandalan Danilo Petrucci yang mahir mengendalikan jentera Ducati selepas beberapa kali mampu mencabar dan bersaing dengan pelumba-pelumba yang berada jauh di depan. Akhirnya, pada tahun 2019, Danilo Petrucci sah ditawarkan untuk bersama dengan pasukan utama Ducati, bergandingan dengan Andrea Dovizioso.

Danilo Petrucci bukan lah tergolong dalam pelumba Ducati yang gagal sebab musim pertama bersama Ducati pada tahun 2019, Danilo Petrucci berada di tempat ke-6 secara keseluruhan dalam senarai mata yang dikumpul oleh pelumba sepanjang musim. Kalau nak masuk dalam senarai top 10 pun bukan senang. Tapi mungkin disebabkan Ducati dan Danilo Petrucci ada rancangan masing-masing yang berbeza, tahun 2020 merupakan musim terakhir untuk Danilo Petrucci menunggang jentera Ducati, sebelum berpindah ke Red Bull KTM Tech 3 pada tahun 2021 nanti. Danilo Petrucci akan bergandingan dengan pelumba baru, Iker Lecuona di Red Bull KTM Tech 3, bagi membentuk dan menyerlahkan kehebatan sebenar jentera KTM yang masih lagi gagal bersaing dengan jentera Honda, Yamaha, Ducati dan Suzuki.

KATALAKI: Pelumba yang hebat bersama jentera Honda dan Yamaha belum tentu lagi boleh selesa bila menunggang jentera Ducati.

Last modified: 29 June 2020