Dee Dee Blanchard – Seorang Ibu “Penyayang” Yang Kejam!

Sembang, ZAP, ZeKool

Melihat tajuk di atas, mesti timbul kekeliruan bila korang bacakan? Korang jangan risau sebab tajuk yang aku tulis ini bukan typo dan hari ini aku nak bercerita dengan korang kisah Dee Dee Blanchard, seorang yang dari segi luaran nampak seperti seorang ibu yang sangat penyayang namun sebenarnya merupakan seorang yang kejam dan sanggup merosakkan hidup anaknya sendiri iaitu, Gypsy Rose Blanchard.

Dee Dee Blanchard telah dilahirkan pada 1967 di Louisiana, Amerika Syarikat. Semasa kecil, Dee Dee selalu terlibat dengan kes-kes kecurian dan sering bertindak ganas apabila dia tak dapat apa yang dia nak. Semasa umur 24 tahun dia telah berkahwin dengan Rod Blanchard yang mana ketika itu masih berumur 17 tahun.

Pada tahun 1991, Dee Dee telah melahirkan anak pertamanya iaitu Gypsy Rose. Sebaik sahaja Gypsy dilahirkan, Rod dan Dee Dee telah bercerai dan Dee Dee telah membawa Gypsy untuk tinggal bersama-sama dengan keluarganya. Ketika Gypsy berumur 3 bulan, Dee Dee telah membawa Gypsy ke hospital kerana mengesyaki anaknya itu menghidapi Sleep Apnea, satu penyakit yang menyebabkan seseorang sukar bernafas ketika sedang tidur.

Doktor yang memeriksa Gypsy tidak menjumpai apa-apa simptom yang boleh mengaitkan penyakit Sleep Apnea pada Gypsy dan menyatakan Gypsy tidak mempunyai apa-apa penyakit pun. Namun Dee Dee tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh doktor tersebut dan yakin Gypsy mempunyai penyakit. Semenjak itu, Dee Dee akan menjaga Gypsy dengan ketat.

Ketika Gypsy berumur 8 tahun, dia telah terjatuh daripada motor datuknya. Walaupun hanya luka kecil sahaja, Dee Dee terus membawa Gypsy ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas mendapatkan rawatan, Dee Dee tetap tidak berpuas hati dan menyatakan Gypsy memerlukan beberapa pembedahan jika tidak Gypsy mungkin tidak dapat berjalan seperti biasa. Semenjak dari hari itu, Dee Dee telah memaksa Gypsy untuk menggunakan kerusi roda untuk berjalan.

Ibu bapa Dee Dee mula risau dengan apa yang dia telah lakukan pada Gypsy. Dee Dee kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah dan berpindah ke rumah lain supaya ibu bapanya tidak boleh masuk campur bagaimana dia ingin menjaga Gypsy. Dia kemudianya menggunakan duit ehsan yang diberikan kepada Gypsy untuk meneruskan kehidupan.

Bila berpindah ke kawasan lain, jiran-jirannya kesian dengan keadaan Gypsy dan kagum bagaimana Dee Dee sanggup bersusah payah untuk menjaga seorang anak yang mempunyai “sakit” yang kronik. Dee Dee dan Gypsy juga mula dikenali ramai apabila mereka selalu bercakap bagi pihak orang yang kurang upaya. Mereka juga menerima sebuah rumah dengan lengkap dengan wheelchair ramp dan hot tub daripada Habitat for Humanity.

Media-media mula melaporkan tentang kisah Gypsy dan ibunya Dee Dee. Pelbagai doktor dari seluruh dunia telah menghubungi mereka untuk membantu merawat Gypsy. Salah seorang doktor tersebut adalah Bernardo Flasterstein, seorang doktor pakar saraf. Namun ketika Dee Dee membawa Gypsy ke kliniknya, doktor Bernardo menjumpai satu benda yang pelik.

Dia mendapati Gypsy tidak mempunyai apa-apa sakit saraf dan tidak mempunyai apa-apa penyakit yang telah diberitahu oleh Dee Dee. Doktor tersebut mula melakukan siasatan dan cuba menghubungi doktor-doktor yang pernah menjumpai Gypsy. Hasilnya semua doktor tersebut menyatakan yang Gypsy tidak mempunyai apa-apa penyakit dan merupakan seorang kanak-kanak yang sihat!

Dee Dee bukan sahaja menipu anaknya mempunyai penyakit kronik, dia juga telah memberitahu Gypsy berumur 14 tahun padahal Gypsy sebenarnya berumur 19 tahun. Gypsy sendiri mula syak yang ada yang tidak kena dengan ibunya dan yakin dia sebenarnya tidak mempunyai apa-apa penyakit.

Gypsy telah beberapa kali cuba melarikan diri dari Dee Dee namun tidak berjaya. Kerana tertekan, Gypsy mula mencari kenalan di internet dan dia telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Nicholas Godejohn yang berumur 23 tahun dari Wisconsin. Nicholas mempunyai rekod jenayah dan mempunyai sejarah penyakit mental namun itu tidak membuatkan Gypsy berhenti berborak dengannya di internet.

Gypsy akhirnya membuat keputusan untuk meminta bantuan Nicholas untuk membantunya melarikan diri dari rumah. Pada Jun 2015, selepas Dee Dee tidur, Gypsy telah membuka pintu untuk Nicholas masuk ke rumahnya. Nicholas kemudiannya telah pergi ke bilik Dee Dee dan telah menghentak kepala Dee Dee sehingga mati. Mereka berdua kemudiannya melarikan diri dan tinggal di rumah Nicholas.

Selepas polis menjumpai mayat Dee Dee dirumah, pencarian Gypsy mula dilakukan kerana mereka takut yang Gypsy telah diculik. Hasil siasatan polis akhirnya berjaya menjejaki Gypsy dan Nicholas di rumahnya. Namun ketika Nicholas keluar menyerah diri, pihak polis dan media yang berada di situ terkejut apabila mereka melihat Gypsy turut berjalan keluar tanpa menggunakan kerusi roda dan juga tangki oxygen seperti mana yang selalunya dia gunakan.

Pada awalnya, Gypsy memberitahu dia tidak tahu apa yang telah terjadi kepada ibunya namun hasil desakan pihak polis, dia akhirnya mengaku dialah yang membuat perancangan untuk membunuh ibunya dan Nicholas telah melakukan pembunuhan tersebut.

Akhirnya pihak polis dan semua orang tahu yang Gypsy sebenarnya tidak sakit dan ibunya Dee Dee telah menipu dia dan orang ramai. Gypsy turut memberitahu ibunya akan memaksanya memakan banyak ubat setiap hari dan ini telah disahkan oleh pihak polis apabila mereka menjumpai sebuah almari yang penuh dengan ubat-ubatan di rumah mereka.

Walaupun ramai orang yang kesian dengan apa yang terjadi kepada Gypsy, dia tetap telah disabitkan kesalahan kerana bersubahat dalam pembunuhan Dee Dee. Gypsy telah dipenjarakan selama 10 tahun manakala Nicholas pula dikenakan hukuman seumur hidup. Walaupun Gypsy dikenakan hukuman penjara, dia merasa lega yang hidupnya kini tidak lagi dikawal oleh ibunya.

KATALAKI: Sebuah siri TV mengisahkan tentang kisah hidup Dee Dee dan Gypsy telah dikeluarkan pada tahun 2019 yang bertajuk The Act.

Last modified: 7 February 2020