Dibina Sejak Empayar Byzantine – Ini Sejarah Hagia Sophia

Sembang

Baru-baru ni Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan mengumumkan untuk menjadikan Hagia Sophia sebagai sebuah masjid. Ia telah menerima pelbagai reaksi. Ada pihak yang menyambut baik dan ada pihak yang kurang bersetuju. Walau apa pun, yang tak boleh dinafikan ialah ia merupakan struktur unik yang kaya dengan sejarah dan diiktiraf UNESCO.

Sebelum pengumuman oleh Presiden Turki baru-baru ini, ia sebenarnya adalah sebuah muzium dan sebenarnya bermula sebagai sebuah gereja. Sejarah pembinaan Hagia Sophia pula boleh dilihat kembali semasa zaman Empayar Byzantine, iaitu semasa Empayar Rom purba mengalami era keruntuhan. Dikatakan Hagia Sophia yang korang nampak hari ni tak sama dengan Hagia Sophia yang terbina pada awalnya dahulu.

 

SEJARAH AWAL PEMBINAAN HAGIA SOPHIA

Bagi yang tak tahu, sebenarnya Hagia Sophia ni siap dibina sebagai sebuah gereja pada tahun 360. Bayangkan lah punya lama Hagia Sophia ni dah terbina. Ketika itu, ia dibina di zaman pemerintahan Maharaja Constantius II dan ia diberi nama ‘Magna Ecclesia’ yang bermaksud ‘Great Church.’ Dikatakan juga ‘Magna Ecclesia’ ini dibina berdekatan dengan istana, dan merupakan gereja yang paling besar berbanding gereja-gereja lain di seluruh empayar. Jadi sebab dia begitu besar lah sehingga digelarkan ‘Great Church.’ 

Tapi tiada satu pun peninggalan yang kekal daripada era ‘Great Church’ hingga sekarang kerana malangnya, ia pernah dibakar suatu ketika dahulu. Dikatakan ketua bishopGreat Church’ pada zaman itu bergaduh besar dengan isteri maharaja sehingga mencetuskan pemberontakan. Bagi menghentikan pemberontakan, gereja tersebut dibakar oleh maharaja untuk menunjukkan tiada siapa yang boleh melawannya. 

DIBAKAR KALI KEDUA

Selepas kali pertama dibakar akibat pemberontakan, Hagia Sophia dibina semula menggunakan pelan yang sama dengan ‘Great Church.’ Pada tahun 415, pembinaan kedua Hagia Sophia pun siap dan dirasmikan, tapi untuk kali kedua ia dibakar akibat berlaku pemberontakan pada tahun 532. Tapi dari kebakaran kedua tersebut masih ada lagi saki baki yang ditinggalkan sehingga ke kerajaan Turki sekarang. Antara peninggalan yang masih boleh dilihat sehingga kini adalah seperti bongkah batu marmar yang mempunyai ukiran 12 ekor kambing biri-biri.

Kemudian pada tahun yang sama juga, pembinaan Hagia Sophia buat kali ketiga dijalankan. Dikatakan pembinaan kali ketiga ini berbeza dengan sebelumnya dimana ia mempunyai struktur binaan yang unik, besar dan lebih gah. Projek tersebut dikatakan juga sebagai projek terbesar dalam sejarah empayar Byzantine dimana lebih 10,000 orang buruh dikerah untuk menyiapkan projek tersebut dan mengambil masa selama 5 tahun 10 bulan untuk disiapkan. Tapi lepas dari tu, kerja-kerja baik pulih dan juga penambahbaikan tetap dijalankan dan sehingga lah kita nampak rupa bentuk Hagia Sophia seperti hari ini.

HAGIA SOPHIA BERTUKAR JADI MASJID

Tanggal 29 Mei 1453 dikatakan sebagai tarikh bersejarah bagi umat Islam dimana berlakunya kejatuhan empayar Byzantine dan penaklukan kerajaan Uthmaniyah di Konstantinopel (kini dikenali sebagai Istanbul). Pada waktu itu dunia menyaksikan runtuhnya sebuah kerajaan Kristian dan menangnya sebuah kerajaan Islam. Tentera Uthmaniyah ketika itu yang diketuai oleh Sultan Muhammad Al-Fateh memasuki Konstantinapel tanpa kekerasan terhadap penduduk di situ. Orang awam diminta untuk pulang ke rumah tanpa perlu risaukan keselamatan mereka.

Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fateh pun memasuki Hagia Sophia dan mengisytiharkan Hagia Sophia sebagai masjid. Ulama yang ketika itu bersama beliau terus melaungkan azan, sebagai tanda Hagia Sophia sudah bertukar status daripada sebuah gereja kepada sebuah masjid. Tapi terdapat kajian terbaru yang menyatakan bahawa Sultan Muhammad Al-Fateh sebenarnya membeli Hagia Sophia daripada paderi Hagia Sophia menggunakan duit baginda sendiri. Selepas dibeli, baru lah baginda menukar status Hagia Sophia kepada sebuah Masjid dan nama juga ditukar kepada Aya Sofia.

Asal usul bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh mengambil alih Hagia Sophia dan menukarkannya kepada sebuah masjid masih menjadi perdebatan dalam kalangan sarjana hari ini kerana munculnya bukti baru hasil daripada kajian.

MUZIUM MENJADI MASJID

Bermula era pemerintahan Presiden Turki Pertama iaitu Mustafar Kemal Ataturk, Hagia Sophia ditukarkan menjadi sebuah muzium pada tahun 1935. Tindakan Presiden pertama Turki ini adalah bagi menjayakan proses sekularisme Turki tanpa sebarang pengaruh agama Islam. Sebagai sebuah muzium, Hagia Sophia menjadi destinasi wajib dilawati sekiranya pelancong datang ke Turki. Dikatakan dalam setahun seramai 3.3 juta orang datang mengunjungi Hagia Sophia. 

Sebenarnya usaha untuk menukar Hagia Sophia menjadi sebuah masjid telah lama berlangsung sejak tahun 2013 sehingga lah akhirnya pada 10 Julai 2020 Hagia Sophia diisytiharkan untuk berfungsi sebagai sebuah masjid semula. Walau bagaimanapun, peranannya sebagai muzium masih tidak hilang.

KATALAKI: Sebenarnya sejarah dan asal usul Hagia Sophia ni panjang dan menarik untuk korang baca. Apa yang aku tulis ni adalah versi paling ringkas…

Last modified: 16 July 2020