Diri Rasa Dipenjara? Ini Filem Yang Sesuai Ditonton

Sembang, ZAP, ZeKool

Kehidupan manusia sejak kebelakangan ni diibaratkan seperti dipenjara selepas masing-masing terpaksa mengasingkan diri dan terus kekal berada di dalam rumah untuk tempoh yang lama disebabkan pandemik COVID-19. Memang betul lah bak kata Tokyo, salah satu watak dalam drama bersiri popular La Casa De Papel atau Money Heist yang mengatakan, manusia perlu bersosial untuk terus hidup. Nasib baik gak lah wujud media sosial.

Selain daripada media sosial, salah satu peneman dan penenang semasa kita diuji dengan gaya hidup baru, penjarakan sosial atau social distancing adalah filem dan juga drama bersiri. Setakat ni, dah berapa banyak filem bagus yang korang dah tengok?

Memandangkan kita boleh dikatakan “dipenjara” di dalam rumah untuk memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19, ini antara filem-filem yang melibatkan cerita di dalam penjara, penuh dengan pengajaran supaya kita lebih rasa takut dengan kehidupan di dalam penjara dan dah tentu sekali pernah menang beberapa anugerah ternama.

AMERICAN HISTORY X

Ditayangkan pada tahun 1998, American History X yang menampilkan Edward Norton sebagai pelakon utama mengisahkan tentang Derek Vinyard (Edward Norton) yang dihukum penjara selepas membunuh dua orang remaja yang cuba mencuri keretanya. Keluar daripada penjara, Derek Vinyard cuba untuk menyelamatkan adiknya daripada mengikut jejak langkahnya yang mengamalkan gaya hidup Skinhead dan Nazi, membenci orang berkulit gelap.

Pada tahun 1999, Edward Norton tercalon untuk anugerah Best Actor di Academy Awards menerusi mutu lakonan yang dipuji ramai dalam filem American History X dan berjaya menang anugerah Best Actor di Golden Satellite Awards. Filem American History X juga dikatakan pernah menjadi bahan rujukan di beberapa buah negara untuk tujuan pembelajaran dan pengajian.

THE GREEN MILE

Diadaptasikan daripada sebuah novel hasil tulisan penulis popular, Stephen King, The Green Mile merupakan sebuah filem fantasi jenayah yang menceritakan mengenai Paul Edgecomb lakonan Tom Hanks, seorang pegawai penjara yang ditugaskan mengawasi banduan yang menunggu hukuman mati, terjumpa dengan seorang banduan yang mempunyai kuasa ajaib.

Berdurasi selama 3 jam dengan penuh beremosi, The Green Mile pernah tercalon untuk 4 anugerah di Academy Awards dan menang 4 anugerah di Saturns Awards pada tahun 2000. Walaupun mempunyai durasi yang panjang, tapi filem The Green Mile dikatakan mampu untuk buat penonton terdiam selama 3 jam.

THE SHAWSHANK REDEMPTION

Juga diadaptasikan daripada sebuah novel yang ditulis oleh Stephen King, The Shawshank Redemption yang ditayangkan pada tahun 1994, dianggap ramai sebagai sebuah filem yang mampu memberi inspirasi kepada setiap penonton, disokong oleh beberapa invididu berpengaruh dan selebriti.

Menampilkan dua orang pelakon utama, Tim Robbins dan Morgan Freeman, The Shawshank Redemption mengisahkan tentang seorang pegawai bank, Andy Dufresne (Tim Robbins) yang dihukum penjara atas kesalahan membunuh isterinya dan teman lelaki, di sebuah penjara yang paling kejam dikenali sebagai Shawshank State Penitentiary, walaupun dirinya mengaku tidak bersalah. Semasa di dalam penjara, Andy Dufresne berkenalan dengan Red (Morgan Freeman) dan mula terlibat dalam keganasan di dalam penjara, membantu warden dan melakukan aktiviti money laundering atau pengubahan wang haram selama 19 tahun di Shawshank State Penitentiary.

Filem The Shawshank Redemption pernah tercalon untuk 7 anugerah di Academy Awards pada tahun 1995 dan pernah diiktiraf oleh Amerika Syarikat sebagai filem yang penuh dengan budaya, sejarah dan mempunyai nilai kesenian yang penting.

KATALAKI: Antara 3 filem ni, ada yang korang dah pernah tengok?

Last modified: 6 May 2020