Do’s & Don’t Hari Raya Aidilfitri Semasa PKPB

Sembang

Buat pertama kali dalam sejarah, kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan cara yang berbeza pada tahun 2020. Takde siapa lagi yang pernah mengalami situasi yang kita alami sekarang ni terutama sekali di Malaysia. Tak boleh balik kampung, tak boleh bersentuhan semasa hari raya dan bermacam-macam lagi perkara yang dilarang demi menjaga kesihatan dan keselamatan setiap individu daripada dijangkiti wabak COVID-19 yang masih lagi menjadi mimpi ngeri manusia di seluruh dunia termasuk lah rakyat Malaysia.

Untuk memudahkan korang faham apa yang boleh dan tak boleh dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri, ada beberapa standard operating procedure (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan kesihatan setiap rakyat Malaysia terjamin dan tidak timbul kluster Hari Raya pada masa akan datang. Kita sendiri pun mesti tak nak anak, adik, ibu, bapa, atuk dan nenek terdedah dengan virus yang mampu mengancam nyawa, betul?

SOLAT SUNAT AIDILFITRI

Hanya melibatkan masjid terpilih, setiap individu dinasihatkan untuk mengambil air wuduk dari rumah dan membawa sejadah masing-masing jika berhasrat untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid. Individu yang mempunyai penyakit kronik, warga emas berusia 70 tahun ke atas dan kanak-kanak berumur bawah 15 tahun tidak dibenarkan untuk menghadirkan diri ke masjid. Sebarang aktiviti bersalaman juga dilarang. Untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia lebih terjamin, setiap individu dinasihatkan untuk solat sunat Aidilfitri di rumah.

SAMBUTAN HARI RAYA

Seperti yang dijangka setiap tahun, hari raya pertama merupakan hari yang paling meriah, kecoh, riuh-rendah dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam kemeriahan kita menyambut hari raya tahun 2020 ni, setiap individu kena sentiasa beringat yang dunia baru je hampir pulih daripada pandemik COVID-19. Memakai face mask, kerap mencuci tangan dengan sabun dan memakai hand sanitizer adalah perkara yang wajib dilakukan ketika menyambut hari raya.

Selain tu, setiap individu juga perlu patuh kepada prinsip 3C yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ketika menyambut hari raya iaitu elakkan berada di kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elakkan juga bersembang antara satu sama lain dengan jarak yang dekat (Close conversation).

KATALAKI: Ingat, meriah beraya tetap kena amalkan penjarakan sosial. Kita sendiri tak nak sejarah hitam pandemik COVID-19 berulang kembali.

Last modified: 23 May 2020