Drive-Thru Paling Pelik Yang Pernah Wujud Di Dunia

Sembang

Baru-baru ni kecoh pasal majlis perkahwinan yang dilangsungkan secara drive-thru apabila kerajaan Malaysia memberi kelonggaran kepada pasangan yang bercadang untuk mengadakan majlis perkahwinan selepas lama tertangguh disebabkan pandemik COVID-19. Di Kulai, Johor, pasangan Norazura Mohd Ali dan Aguzz Aguss antara yang terawal mengadakan majlis perkahwinan secara drive-thru, dalam masa yang sama, masih mengamalkan standard operating procedure (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Macam mana agaknya perjalanan majlis perkahwinan normal baharu secara drive-thru ni? Apa yang berlaku semasa majlis perkahwinan Norazura Mohd Ali dan Aguzz Aguss berlangsung, kenderaan tetamu akan beratur menuju ke pelamin pengantin sebelum suhu badan diperiksa terlebih dahulu oleh anggota RELA. Seterusnya, tetamu perlu mengisi maklumat diri dan kekal berada di dalam kereta untuk berjumpa dengan pengantin yang menunggu di pelamin bagi mengucapkan tahniah dan menyampaikan hadiah. Setiap kenderaan juga hanya diberikan masa selama 1 minit untuk bersua muka dengan pengantin.

Majlis perkahwinan secara drive-thru boleh dikatakan trend terbaru yang bakal menjadi ikutan ramai memandangkan dunia masih lagi trauma dengan penularan wabak COVID-19 dan paling penting, boleh menjimatkan perbelanjaan. Selain daripada perkahwinan secara drive-thru yang mula muncul pada tahun 2020, sebelum ni pernah gak wujud majlis atau servis drive-thru yang pelik-pelik di serata dunia. Kalau ada yang tengah merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan secara drive-thru, mungkin korang boleh gunakan konsep drive-thru yang pelik ni sebagai inspirasi untuk majlis korang nanti.

DONUT DRIVE-THRU

Terletak di Los Angeles, Amerika Syarikat, sebuah syarikat perniagaan yang dikenali sebagai The Donut Hole menjalankan servis drive-thru untuk penggemar-penggemar donut mendapatkan donut kegemaran tanpa perlu melangkah keluar daripada kereta masing-masing. Ditubuhkan sejak tahun 1963, ada juga penduduk tempatan yang baru berkahwin mengamalkan tradisi masuk ke laluan drive-thru The Donut Hole sebagai tanda mengharapkan nasib yang baik dalam perkahwinan. Kemalangan yang melibatkan kereta pun pernah terjadi di The Donut Hole.

 

View this post on Instagram

 

We are open today. Happy Thanksgiving everyone. #thedonuthole

A post shared by The Donut Hole (@donutholee) on

PENGEBUMIAN DRIVE-THRU

Berlaku di Jepun, Aishoden Funeral Home pernah menganjurkan majlis pengebumian secara drive-thru untuk memberikan kemudahan kepada individu yang uzur atau individu yang mengalami kepayahan untuk bergerak bagi memberi penghormatan terakhir kepada si mati tanpa perlu keluar daripada kereta. Nama dan visual individu yang datang memberikan penghormatan terakhir secara drive-thru juga dipertontonkan kepada tetamu yang berada di dalam dewan pengebumian supaya tetamu lain sedar mengenai kehadiran tetamu yang mempunyai kekurangan upaya untuk turun keluar daripada kereta.

BANK DRIVE-THRU

Metro Bank yang beroperasi di sekitar United Kingdom pernah memperkenalkan sistem perbankan secara drive-thru, kali pertama pada tahun 2015 untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan mengeluarkan wang, membuka akaun baru, memohon pinjaman dan bermacam-macam lagi servis perbankan yang boleh dilaksanakan tanpa perlu keluar daripada kereta. Servis perbankan secara drive-thru oleh Metro Bank masih lagi dijalankan sehingga kini memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih lagi di tahap berjaga-jaga.

CENDOL DRIVE THRU

Dah nama pun cendol, pastinya berlaku di Malaysia. Cendol Bakar Kuala Selangor antara kedai cendol popular yang mengamalkan perniagaan secara drive-thru kepada pelanggan. Macam-macam jenis cendol yang ditawarkan termasuk lah cendol yang disertakan dengan durian, pulut, tapai atau nata de coco. Masa dulu ramai yang beranggapan Cendol Bakar Kuala Selangor menjual cendol yang dibakar. Bayangkan, cendol tu dibakar. Tapi sebenarnya Bakar yang dimaksudkan adalah nama pemilik perniagaan Cendol Bakar Kuala Selangor.

KATALAKI: Rasanya, apa lagi bisnes drive-thru yang boleh diusahakan kat Malaysia. Fikirkan.

Last modified: 3 July 2020