Dulu Penjenayah, Kini Selebriti

Sembang, ZAP, ZeKool

Walaupun jarang sekali melakonkan watak baik atau hero dalam filem atau drama, Danny Trejo merupakan salah seorang pelakon Hollywood ternama yang dikenali di seluruh dunia dengan wajahnya yang seakan-akan seorang penjenayah. Tapi korang tahu tak sebenarnya Danny Trejo memang seorang penjenayah suatu masa dahulu?

Berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang dari Mexico dan membesar di Los Angeles, Amerika Syarikat, Danny Trejo mula terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ketika berumur belasan tahun sebelum terjebak dengan pelbagai aktiviti jenayah lain sehingga ditangkap dan dicampak ke dalam penjara. Puas keluar masuk penjara beberapa kali, akhirnya Danny Trejo secara tidak sengaja terlibat dalam pembikinan sebuah filem yang bertajuk Runaway Train, ketika bertugas sebagai pembimbing masalah dadah di kalangan remaja di penjara.

Berbekalkan pengalaman menjadi juara sukan tinju semasa menjalani hukuman penjara, Danny Trejo ditawarkan untuk berlakon sebagai pelakon tambahan, memegang watak peninju dalam filem Runaway Train yang ditayangkan pada tahun 1985. Bermula dari situ lah Danny Trejo semakin aktif terlibat dalam dunia lakonan dan meninggalkan tabiat penagihan dadah jenis kokain yang pernah diamalkan.

Filem Desperado (1995), Heat (1995), From Dusk Till Dawn (1996) dan Con Air (1997) antara filem popular terawal yang dilakonkan oleh Danny Trejo sebelum melakonkan lebih banyak watak-watak penting dalam filem yang seterusnya. Salah satu filem yang paling memberi makna dalam karier lakonan Danny Trejo adalah menerusi filem Machete yang ditayangkan pada tahun 2010, Danny Trejo diberi tanggungjawab untuk melakonkan watak utama bergandingan dengan Steven Seagal, Michelle Rodriguez, Jessica Alba dan Robert De Niro.

Selain daripada filem, Danny Trejo pernah gak memegang watak sampingan dan watak penting dalam beberapa drama bersiri popular antaranya Breaking Bad, Brooklyn Nine Nine, The X-Files, King of the Hill, dan Sons of Anarchy. Tak cukup dengan filem dan drama, Danny Trejo juga pernah berkarya melalui penampilan dalam permainan video Grand Theft Auto: Vice City, Def Jam: Fight for NY, Call of Duty: Black Ops dan yang paling terkini, Call of Duty: Black Ops 4 pada tahun 2019.

Yang terbaru, kisah perjalanan Danny Trejo yang berubah daripada seorang penjenayah kepada seorang selebriti terkenal difilemkan menerusi filem dokumentari yang bertajuk Inmate #1: The Rise of Danny Trejo, mula ditayangkan pada 22 Jun 2020. Menampilkan Danny Trejo yang menceritakan sendiri kisah benar perubahan hidupnya, filem dokumentari Inmate #1: The Rise of Danny Trejo juga turut menampilkan individu yang membawa Danny Trejo ke dalam dunia lakonan dan beberapa pelakon terkenal yang mengenali siapa sebenarnya Danny Trejo, antaranya Michelle Rodriguez.

KATALAKI: Selain berlakon, Danny Trejo juga menjalankan perniagaan yang berjaya dalam bidang makanan di Amerika Syarikat.

Last modified: 12 June 2020