Dunia Bakal Menghadapi Krisis 2020?

Sembang, ZAP, ZeKool

Seperti yang semua sedia lalui, pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak urusan perniagaan terhenti. Ini amat merisaukan bagi sektor ekonomi sehingga Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM250 bilion. Manakala Presiden Amerika Syarikat pula mengumumkan pakej yang sama kepada rakyat di Amerika Syarikat sebanyak 2 trilion USD, menjadikan ia pakej rangsangan ekonomi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Negara-negara lain turut mengambil langkah yang sama untuk menstabilkan ekonomi masing-masing.

Boleh dikatakan seluruh dunia terkesan dengan wabak ini dan ekonomi dunia terhenti seketika. Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kilang-kilang dan syarikat terpaksa di tutup seketika dan ada juga yang terkesan sehingga diberhentikan kerja. Nampaknya, kesan daripada penularan wabak COVID-19 tidak akan berakhir dengan baik dan akan mengakibatkan krisis ekonomi yang baharu.

SEJARAH KRISIS EKONOMI DUNIA

Banyak faktor sebenarnya yang boleh mengakibatkan krisis ekonomi dunia seperti hilang kepercayaan pelabur-pelabur, pasaran ekonomi yang merundum dan jumlah hutang yang tinggi. Tentu sekali wabak penyakit jarang dikaitkan dengan berlakunya kemelesetan ekonomi, tetapi bagi tahun 2020 ianya sudah pun berlaku. Keseluruhan hutang negara-negara di dunia adalah sekitar 253 trilion USD. Jika dibahagikan dengan populasi dunia seramai 7.7 bilion, maka setiap seorang akan menanggung hutang sebanyak 32,500 USD. Maksudnya lahir-lahir je dah ada hutang. Tapi dah tentu majoriti penduduk bumi tak mampu untuk menampung jumlah tersebut.

Mengikut info di channel  Youtube APHD, dalam tempoh 50 tahun ke belakang, sejarah dunia telah menyaksikan tiga krisis ekonomi global yang dasyat. Krisis ekonomi yang pertama bermula pada tahun 1970 sehingga 1989 di Amerika Latin. Punca krisis pertama ini disebabkan banyak negara-negara di Amerika Latin yang meminjam duit dari negara luar bagi tujuan pembangunan negara mereka. Kesannya, hutang bagi negara yang terlibat adalah sebanyak 327 bilion USD pada tahun 1982.

Gelombang krisis ekonomi dunia kedua pula adalah antara tahun 1990 sehingga 2001, dimana puncanya bermula daripada sektor swasta, terutamanya bank. Pada ketika itu, negara yang terjejas teruk adalah negara-negara membangun di Asia seperti Indonesia, Korea Selatan, Malaysia, Filipina, dan Thailand. Di sini lah kalau korang masih ingat lagi tahun 1997 dan 1998 dikenali sebagai tahun krisis ekonomi buat Malaysia. Krisis ini juga dikenali sebagai ‘Krisis Kewangan Asia’ pada ketika itu.

Gelombang krisis ekonomi yang terakhir berlaku pada tahun 2002 sehingga 2009, dan kemuncaknya adalah pada tahun 2007 dan 2008. Krisis ini mengakibatkan banyak nilai hartanah jatuh menjunam. Berkenaan krisis ekonomi gelombang ketiga ni korang boleh tengok filem The Big Short lakonan Ryan Gosling, Christian Bale, Steve Carell dan pelakon-pelakon hebat lain. Filem ni menceritakan secara terperincin bagaimana kejatuhan housing market berlaku didepan mata mereka.

GELOMBANG KRISIS EKONOMI KEEMPAT

Melihat kepada situasi semasa, boleh dikatakan wabak COVID-19 menjadi antara penyumbang terbesar kepada kemerosotan ekonomi dunia. Ditambah pula dengan harga komoditi minyak mentah dunia yang jatuh pada paras bawah 30 USD bagi satu tong, ia mengurangkan lagi hasil pendapatan negara kita. Harga minyak mentah dunia sebenarnya sedang mengalami kejatuhan sebelum pandemik COVID-19 lagi akibat krisis antara Arab Saudi dan Rusia. Tapi disebabkan operasi kilang terpaksa dihentikan seketika dan pergerakan menggunakan kenderaan pun semakin berkurang, demand minyak mentah pun berkurangan dan mengakibatkan lambakan di pasaran.

Antara industri besar yang terkesan adalah industri penerbangan dengan jangkaan kerugian sebanyak RM122.67 bilion akibat daripada pandemik COVID-19. Saham syarikat penerbangan juga dilihat jatuh menjunam selepas ekonomi negara dihentikan buat seketika. Malaysia Airline terpaksa menawarkan cuti tanpa gaji kepada 13 ribu kakitangannya selama dua ke tiga bulan. Selain industri penerbangan, industri hiburan dan sukan yang melibatkan penonton juga dijangka mengalami kerugian. Sukan Olimpik yang sepatutnya diadakan di Tokyo, Jepun pada tahun ini juga terpaksa ditunda ke tahun 2021.

Bagi sesebuah industri yang besar, rantaian ekonomi yang dihasilkan juga adalah luas merangkumi industri perhotelan, pelancongan, penyiaran, makanan dan minuman, serta lain-lain. Jadi sebab itu kesannya bukan sekadar pada syarikat-syarikat besar, tetapi Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) juga turut terkena tempiasnya. Mungkin pengalaman dari krisis-krisis ekonomi sebelum ini dapat digunakan sebaiknya untuk menghadapi krisis yang mendatang, seterusnya memulihkan keadaan seperti sediakala.

KATALAKI: Harap korang berbelanja dengan cermat dan elakkan membeli barang yang tidak diperlukan…

Last modified: 27 May 2020