Evos Legends – Juara Indonesia Dan Kini Juara Dunia!

Game, Tech

Pada minggu lepas, kejohanan Mobile Legends World Cup M1 yang pertama kali diadakan telah berlangsung di Axiata Arena. Sebanyak 16 pasukan terhebat dari 14 buah negara telah bertanding bagi merebut gelaran juara dunia dan juga prize pool berjumlah USD250,000!

Daripada 16 pasukan, hanya 8 pasukan telah berjaya ke playoff apabila selebihnya telah tewas di peringkat Group Stage. Dua pasukan daripada Malaysia iaitu Todak dan juga Axis Esports telah berjaya ke Group Stage apabila berjaya mengalahkan pasukan yang berada di Group B dan juga Group C. Juara MPL MY/SG Season 4 iaitu Evos SG juga kecundang di peringkat Group Stage.

Dalam Playoff yang dijalankan pada 15 November 2019, pasukan Todak merupakan pasukan pertama yang akan bertanding menentang pasukan RRQ daripada Indonesia. Namun naib juara MPL ID Season 4 iaitu RRQ telah berjaya menumbangkan pasukan Todak dengan mata 2-0 dan ini telah membuatkan pasukan Todak turun ke Lower Bracket.

Pada hari yang sama juga, Pasukan Axis Esports telah bertembung dengan pasukan daripada Jepun iaitu 10S Gaming Plus dalam Lower Bracket. Ternyata pasukan daripada Jepun ini bukanlah pasukan yang boleh dipandang rendah apabila mereka berjaya menggagalkan niat Axis Esports untuk terus bertanding dalam M1. Pasukan Axis Esports telah tewas kepada pasukan 10S Gaming Plus dengan mata 0-2. Dengan itu, hanya pasukan Todak sahaja akan pergi ke peringkat seterusnya bagi mewakili Malaysia.

Image Via: https://www.thelaki.com.my/

Pasukan Evos Legends juga berjaya ke peringkat seterusnya apabila menewaskan pasukan Burmese Ghouls dari Myanmar. Pasukan Burmese Ghouls dilihat sangat mantap dalam peringkat Group Stage apabila berjaya dengan 6 kemenangan dan tiada kekalahan.

Pada hari sabtu, playoff masih diteruskan dengan perlawanan pertama memperlihatkan dua pasukan gergasi dari Indonesia bertembung sekali lagi selepas MPL ID Season 4. Walaupun sebelum ini pasukan RRQ kalah dengan pasukan Evos Legends di MPL ID Season 4, itu tidak mematahkan semangat mereka untuk berlawan sekali lagi di Playoff M1 hari kedua.

Namun nasib hasrat RRQ untuk terus ke Grand Final telah digagalkan oleh pasukan Evos Legends apabila pasukan Evos Legends berjaya menang dengan mata 3-0 keatas pasukan RRQ. Ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada pasukan RRQ yang mana mereka cuma ada satu lagi peluang sahaja untuk bertanding di Final Lower Bracket.

Satu lagi perlawanan di peringkat Lower Bracket adalah antara pasukan Todak dengan pasukan 10S Gaming Plus. Selepas pasukan kedua Malaysia iaitu Axis Esports tumbang kepada pasukan Jepun ini, Todak nampaknya lebih bersedia dan berhati-berhati dengan permainan pasukan 10S Gaming Plus.

Dengan strategik yang dibawakan oleh pasukan Todak, mereka berjaya menumbangkan pasukan 10S Gaming Plus dengan mata 2-1. Perlawanan sengit ini membawa sehingga ke game ketiga dengan memperlihatkan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Namun pasukan 10S Gaming Plus terpaksa akur dengan kehebatan Todak. Ini membuatkan pasukan Todak akan mara ke peringkat Lower Bracket seterusnya menentang pasukan Burmese Ghouls apabila pasukan tersebut berjaya mengalahkan pasukan Sunsparks dengan mata 2-1.

Bagi mencari siapakah yang akan menentang pasukan RRQ di peringkat Final Lower Bracket, pasukan Todak akan menentang pasukan Burmese Ghouls. Sekali lagi pasukan Todak berjaya membuktikan yang mereka merupakan pasukan terhebat daripada Malaysia apabila berjaya menumbangkan pasukan Burmese Ghouls dengan cemerlangnya. Todak berjaya mara ke peringkat Final Lower Bracket apabila mengalahkan pasukan Burmese Ghouls dengan mata 2-0.

Walaupun mara keperingkat Final Lower Bracket, perjalanan Todak kembali menjadi sukar apabila mereka terpaksa menentang pasukan RRQ daripada Indonesia. Ini merupakan perlawanan antara naib johan MPL MY/SG Season 4 menentang pasukan naib johan MPL ID Season 4. Perlawanan ini merupakan perlawanan penting kerana pemenang akan menentang pasukan Evos Legends di peringkat Grand Final.

Di peringkat Final Lower Bracket ini, mereka akan bermain dalam permainan Best of Five. Pada perlawanan pertama dan kedua, pasukan Todak masih tidak menjumpai rentak permainan mereka dan ini telah mengakibatkan mereka kalah dalam kedua-dua game. Pada game ketiga, pasukan Todak kembali menganas dan berjaya memperolehi mata pertama. Tapi pasukan Todak terpaksa akur dengan tempat ketiga apabila pada game keempat, pasukan RRQ berjaya memperoleh mata ketiga dan ini telah melayakan mereka ke Grand Final menentang pasukan daripada negara mereka iaitu pasukan Evos Legends. Pasukan Todak berjaya membawa pulang RM83,000 sebagai hadiah tempat ketiga.

Akhirnya perlawanan yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Dua pasukan dari Indonesia yang mana sebelum ini telah berentap di peringkat Grand Final MPL ID Season 4 kembali merebut gelaran juara. Dan kali ini impian mereka lebih besar iaitu mendapatkan gelaran juara dunia!

Perlawanan pertama dilihat sangat sengit apabila ia telah berlangsung selama 34 minit. Kedua-dua pasukan saling membalas serangan dan akhirnya pasukan Evos Legends terpaksa akur dengan memberikan mata pertama kepada pasukan RRQ. Persaingan kedua-dua pasukan ini terus dibawa ke game ketujuh iaitu yang terakhir apabila kedua-dua pasukan saling membalas kemenangan dan akhirnya seri dengan mata 3-3 pada game keenam.

Pada game ketujuh dan terakhir, peminat kedua-dua pasukan terus menggegarkan Axiata Arena dengan sorakan mereka. Penonton daripada Malaysia juga dilihat masih berada di Axiata Arena demi melihat siapakah akan membawa gelaran juara dunia walaupun pasukan Todak telah tersungkur.

Game terakhir memperlihatkan pasukan kedua-dua pasukan ini lebih sengit berlawan. Setiap pasukan lebih berhati-hati dan menunggu pasukan lawan membuat kesilapan. Akhirnya pasukan RRQ telah dihukum apabila mereka telah melakukan sedikit mistake dan peluang ini telah membuatkan pasukan Evos Legends terus membunuh LORD dan terus maju ke base pasukan RRQ dan akhirnya menamatkan impian RRQ untuk menjulang piala Mobile Legends World Cup M1.

Jika sebelum ini pasukan Evos Legends bergelar pasukan terbaik di Indonesia, kini mereka mendapat satu lagi gelaran iaitu pasukan terbaik dunia apabila mereka berjaya memenangi Mobile Legends World Cup M1 dan membawa pulang hadiah berjumlah USD80,000! Tapi kejutan tidak berhenti disitu apabila Moonton telah mengumumkan yang Mobile Legends World Cup M2 akan dijalankan di Indonesia pula pada tahun hadapan!

KATALAKI: Adakah di M2 Indonesia nanti pasukan daripada Malaysia berjaya membawa pulang piala Mobile Legends World Cup M2?

Last modified: 20 November 2019